LUMUT, 27 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak terus mendekati generasi muda melalui penyertaan dalam Pameran Kerjaya sempena Karnival Kokurikulum Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, pameran yang berlangsung dari 8 pagi hingga 1 tengah hari itu memberi peluang kepada warga sekolah, khususnya pelajar, mengenali dengan lebih dekat peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia.
Katanya, pelajar turut mendapat pendedahan mengenai peluang kerjaya dalam bidang penguatkuasaan maritim termasuk penguatkuasaan undang-undang, mencari dan menyelamat (SAR), keselamatan maritim serta operasi pengawasan dan rondaan di perairan negara.
Sepanjang pameran, warga Maritim Malaysia berkongsi penerangan berkaitan skop tugas, laluan kerjaya, peranan anggota serta kemahiran yang diperlukan bagi menceburi bidang penguatkuasaan maritim.
Penyertaan ini menjadi platform untuk memupuk kesedaran maritim dalam kalangan generasi muda, di samping memperkenalkan bidang penguatkuasaan maritim sebagai salah satu pilihan kerjaya yang boleh diceburi selepas tamat persekolahan.
Maritim Malaysia terus memperluas jalinan bersama institusi pendidikan melalui program pendidikan, kesedaran dan pendedahan kerjaya bagi meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap kepentingan keselamatan, penguatkuasaan dan kedaulatan perairan negara.













.svg.png)

