MENANGKAP IKAN DI KAWASAN LARANGAN, BOT PUKAT JERUT BILIS DITAHAN
LAHAD DATU, 23 September - Sebuah bot pukat jerut bilis ditahan Maritim Malaysia di perairan Kunak selepas disyaki menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan, semalam.
Bot yang ditahan kira-kira 0.8 batu nautika timur laut Pulau Burong itu dikendalikan seorang tekong tempatan bersama tiga kru warga Filipina.
Bot dan kesemua kru dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.
IPMZ MERSING PERKUKUH KEMAHIRAN PENGENDALIAN SENJATA MENERUSI UKMSK SIRI 2/2026
SIMPANG RENGGAM, 25 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Mersing (IPMZ Mersing) telah melaksanakan Latihan dan Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil (UKMSK) Siri 2/2026 di Lapang Sasar Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam, Johor, semalam.
Latihan tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kemahiran, kecekapan dan kesiapsiagaan anggota dalam pengendalian senjata kecil, di samping memastikan setiap anggota sentiasa bersedia melaksanakan tugas penguatkuasaan maritim secara profesional, berdisiplin dan selamat.
Pelaksanaan UKMSK turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, pengendalian senjata mengikut prosedur yang ditetapkan, pematuhan arahan serta disiplin sepanjang latihan bagi memastikan tahap kecekapan anggota sentiasa memenuhi keperluan operasi.
Selain menjadi medium penilaian kemahiran, latihan ini turut menyokong usaha berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kompetensi sumber manusia serta meningkatkan kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi pelbagai situasi semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan di laut.
Maritim Malaysia akan terus melaksanakan latihan dan penilaian kompetensi secara berkala bagi memastikan tahap profesionalisme, disiplin serta kesiapsiagaan warga sentiasa berada pada tahap optimum dalam mendukung keselamatan, penguatkuasaan dan kepentingan negara di laut.