PULAU PINANG, 28 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C yang disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli berkata, penahanan tersebut dilakukan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penangkapan ikan yang disyaki melanggar syarat sah lesen.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sebuah bot ronda yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah digerakkan ke lokasi sebelum berjaya menahan vesel berkenaan berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh tiga kru, termasuk seorang tekong, kesemuanya warganegara Malaysia berusia antara 42 hingga 65 tahun.
Vesel terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan beroperasi bagi tujuan menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai.
Kesemua kru bersama vesel berkenaan kemudiannya ditahan dan diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan dan siasatan lanjut.
Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan aktiviti perikanan dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan, di samping melindungi kelestarian sumber marin serta memelihara keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau MERS 999.













.svg.png)

