PULAU PINANG, 26 September — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C yang disyaki melakukan pelanggaran syarat pelesenan serta Akta Imigresen 1959/63 dalam operasi rondaan di perairan Pulau Pinang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli berkata, VNT berkenaan dikesan oleh KM SEMILANG sekitar jam 9.55 pagi sebelum pemeriksaan dan penggeledahan dilakukan kira-kira jam 10.40 pagi di kedudukan 17 batu nautika barat daya Pulau Kendi.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan seorang tekong bersama empat awak-awak berusia antara 25 hingga 52 tahun, terdiri daripada dua warganegara Thailand dan tiga warga Myanmar.
Pemeriksaan lanjut mendapati pihak vesel gagal mengemukakan lesen serta dokumen berkaitan vesel dan peralatan menangkap ikan, manakala empat awak-awak warga asing berkenaan didapati tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Vesel bersama tekong dan kesemua awak-awak ditahan sebelum diiring ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dianggarkan berjumlah RM3 juta.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan undang-undang perikanan dan imigresen demi menjamin kelestarian hasil laut serta kedaulatan perairan negara,” katanya.
Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi memastikan aktiviti perikanan dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan, selain membanteras sebarang bentuk pelanggaran undang-undang serta melindungi kepentingan dan sumber maritim negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau 999.













.svg.png)

