KUALA LUMPUR, 24 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan dan penyiasatan jenayah maritim menerusi penyertaan pegawai dalam Training on Digital Evidence Extraction from Device at Sea anjuran Global Maritime Crime Programme, UNODC - United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), dari 22 hingga 24 September 2026.
Latihan yang disertai 17 peserta, termasuk sembilan pegawai Maritim Malaysia, empat pegawai Pasukan Polis Marin (PPM) dan empat pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), memberi fokus kepada kemahiran mengenal pasti, mengekstrak, mengendalikan dan menganalisis bukti digital daripada peranti elektronik yang ditemukan di atas kapal.
Seiring perkembangan teknologi maritim, peranti navigasi dan komunikasi, telefon pintar, komputer serta sistem pemantauan kini menjadi antara sumber bukti penting dalam siasatan. Penyertaan ini turut menyokong perancangan strategik Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (BSJM) untuk memperkasa Forensik Digital Maritim, termasuk usaha ke arah pembangunan Makmal Forensik Digital Maritim pada masa hadapan.
Pemerkasaan kompetensi ini mencerminkan komitmen Maritim Malaysia untuk mendepani evolusi jenayah maritim berasaskan teknologi melalui pengurusan bukti digital yang lebih sistematik, berintegriti dan berteraskan keperluan siasatan, sekali gus memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta sokongan terhadap proses pendakwaan jenayah maritim.













.svg.png)

