PELABUHAN KLANG, 7 APRIL – Cubaan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B1 menangkap ikan secara haram di perairan Tanjung Karang gagal apabila ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dalam operasi petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 6.10 petang oleh sebuah Kapal Maritim yang sedang menjalankan rondaan rutin di kedudukan sekitar 9.2 batu nautika barat daya Tanjung Karang.
“Pemeriksaan mendapati vesel terbabit dikendalikan oleh seorang tekong lelaki, pemastautin tetap berusia 67 tahun, bersama dua awak-awak warga Indonesia berumur 43 dan 37 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” jelas beliau.
Selain itu, hasil siasatan awal turut mendapati vesel berkenaan melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk penggunaan mata pukat kurang daripada 38 milimeter yang dilarang dalam operasi penangkapan ikan.
Turut dirampas ialah kira-kira 100 kilogram ikan campur, dipercayai hasil tangkapan aktiviti yang menyalahi undang-undang. Ketiga-tiga individu bersama vesel dan hasil rampasan telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut dua akta utama iaitu Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat lesen serta kegagalan membawa dokumen pengenalan diri.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan lesen sah.
Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di perairan negeri Selangor bagi membanteras aktiviti perikanan haram di perairan negeri ini,” tegas Muhaimin lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui taliani 03-3176 0627 bagi tindakan segera.




















.svg.png)

