BINTULU, 8 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda di kedudukan 5 batu nautika barat laut Kuala Kemena, Bintulu pada sekitar pukul 12.10 tengah hari tadi.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda berwarna putih yang sedang belayar menuju laut lepas.
Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda warga Myammar dan seorang kru warga India. Kedua -dua mereka masing-masing berusia 28 tahun dan 27 tahun.
Bot tunda disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Lembaga Perlesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981 iaitu Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah tidak disimpan di atas kapal yang memperuntukan hukuman kompaun sebanyak RM5 ribu.
Bot tunda berserta dokumen telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi undnag-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Sebarang maklumat serta aduan, insiden atau maklumat mengenai aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.


















.svg.png)

