KUALA KEDAH, 8 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu telah melaksanakan Program Pelupusan Abu Pembakaran Teks Al-Quran Kali Pertama Tahun 2025 di perairan negeri Kedah.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, pelaksanaan program ini telah disempurnakan dengan kehadiran enam pegawai daripada PPD Kubang Pasu serta lapan pegawai dan anggota Zon Maritim Kuala Kedah diketuai oleh Leftenan Madya Maritim Mohamad Sikdiq bin Zulkifli.
Program yang julung kali diadakan ini melibatkan pelupusan sebanyak dua tan teks Al-Quran yang telah dibakar dan menghasilkan 200 kilogram abu yang kemudiannya dilupuskan melalui kaedah penenggelaman kira-kira 5.0 batu nautika dari Pulau Payar.
Kesemua abu berkenaan yang diletakkan secara berasingan di dalam 50 bungkusan plastik dibawa menggunakan bot PERKASA 1226 milik Maritim Malaysia.
Terdapat beberapa kaedah khusus yang perlu dilakukan sekiranya ingin melupuskan Al-Quran antaranya ialah dengan membakar Al-Quran tersebut di tempat yang sesuai dan abunya dihanyutkan ke dalam air sungai atau air laut yang deras.
Al-Quran juga boleh dibakar dan kemudian abunya ditanam ke dalam tanah atau Al-Quran yang sudah rosak boleh ditanam ke dalam tanah yang tidak dilalui orang atau binatang buas.
Dengan mengambil kira cara terbaik bagi melupuskan Al-Quran, kesemua abu Al-Quran berjaya dilupuskan dengan kaedah penenggelaman di laut bagi memastikan kesucian dan kemuliaan Al-Quran terpelihara.
Usai pelupusan dilakukan, sesi penyampaian cenderahati di antara PPD Kubang Pasu dan Zon Maritim Kuala Kedah telah diadakan sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih.



















.svg.png)

