MIRI, 7 APRIL – Meskipun masih berada dalam kemeriahan sambutan Syawal, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri tetap melaksanakan operasi dengan menahan sebuah vesel tunda di kedudukan lebih kurang 3.9 batu nautika barat laut Lutong sekitar pukul 10.30 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, tangkapan dibuat oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia ketika menjalankan Op Khas Pagar Laut 1/2025, Op Permai 01/2019, Op Naga Timur serta Op Tiris 3.0 di kawasan perairan berkenaan.
“Pemeriksaan terhadap vesel tunda tersebut mendapati, berlaku pelanggaran di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, apabila pihak pengurusan gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan seperti yang diwajibkan,” jelas beliau.
Vesel terbabit bersama tiga kru lelaki warga tempatan berusia antara 23 hingga 45 tahun telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat.
Khairol Anuar dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia akan terus memperhebat kawalan serta rondaan demi memastikan undang-undang di perairan negara sentiasa dipatuhi.
Maritim Malaysia turut menyeru orang awam agar segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan atau kecemasan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016.


















.svg.png)

