22
Rab, Apr

Grid List

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN KELUAR 31 TONG DIESEL MELALUI PERAIRAN NEGARA

VESEL PUKAT TUNDA KELAS B DITAHAN BEROPERASI DI ZON LARANGAN

BOT TUNDA LANGGAR SYARAT DITAHAN MARITIM MALAYSIA

AKTIVITI SUNSET CRUISE LANGGAR SYARAT, KAPAL PERSIARAN DITAHAN

VESEL NELAYAN KELAS C DITAHAN, DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN KESALAHAN IMIGRESEN

MESYUARAT IPC SAREX LANG BRONOK 2026, PERKUKUH KESIAPSIAGAAN OPERASI

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN, TANGKAP IKAN KURANG 12 BATU NAUTIKA DARI PANTAI

NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT

OPERASI KHAS OP TANJUNG 2 SIRI 1/2026 BENDUNG PENCEROBOHAN VESEL NELAYAN ASING

PULAU PINANG, 6 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan Operasi Khas Op Tanjung 2 Siri 1/2026 bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan kedaulatan perairan negara, khususnya di kawasan Selat Melaka Utara yang sering berdepan ancaman pencerobohan Vesel Nelayan Asing (VNA).

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, operasi khas berkenaan dilaksanakan bagi membendung aktiviti pencerobohan nelayan asing serta sebarang gangguan penguasa luar, khususnya dari negara jiran.

Jelas beliau, bagi memastikan keberkesanan operasi, Maritim Malaysia menggerakkan 14 kapal dan 29 bot daripada Maritim Negeri Pulau Pinang serta beberapa Maritim Negeri lain secara berfasa dan berjadual bagi menjamin kehadiran berterusan aset penguatkuasaan di kawasan operasi.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan rondaan berterusan, kehadiran fizikal aset di laut dirasai serta tindak balas pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan maritim,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Pelancaran Operasi Khas Op Tanjung 2 Siri 1/2026, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, kira-kira 40 pegawai dan anggota Maritim Negeri Pulau Pinang termasuk pegawai gunasama turut hadir sebagai simbol komitmen berterusan pasukan dalam menjayakan operasi ini.

Dalam pada itu, Zawawi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Maritim Malaysia yang terlibat secara langsung dalam Operasi Khas Op Tanjung sejak ia mula dilancarkan pada 1 Februari 2021, selain menghargai peranan Maritime Operation Command Center (MOCC) Maritim Negeri Pulau Pinang sebagai pusat penyelarasan utama operasi.

Sementara itu, beliau memaklumkan Operasi Khas Op Tanjung Bil. 1/2021 masih diteruskan sehingga kini di Perairan Selat Melaka Utara sebagai usaha berterusan mengekang pencerobohan dan melindungi kepentingan negara.

Pada operasi kali ini, Ketua Gugus Tugas (KGT) dilantik dalam kalangan kepimpinan kanan Maritim Malaysia, terdiri Pengarah Bahagian Operasi Udara, Laksamana Pertama Maritim Ragu a/l Sundarajan, Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang selaku MOCC, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli serta Pengarah Maritim SWASLA Lumut, Perak, Kepten Maritim Aidil Adzhar Salleh.

Manakala Gugus Tugas (GT) melibatkan Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob serta Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

Selain rondaan di laut, operasi ini turut disokong dengan pemantauan udara secara berkala menggunakan pesawat Maritim Malaysia bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal, memantau pergerakan VNA serta memperkukuh tindakan penguatkuasaan di laut secara lebih menyeluruh dan berkesan.

OP TANJUNG3
 
OP TANJUNG4
 
OP TANJUNG2
 
OP TANJUNG5

CUBAAN SELUDUP BENIH KERANG BERNILAI RM134 RIBU GAGAL, WARGA THAILAND ANTARA DITAHAN

KUALA KEDAH, 7 FEBRUARI – Cubaan membawa benih kerang secara haram ke negara jiran berjaya digagalkan, apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot kayu dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kedah, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, bot berkenaan dikesan pada kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika barat Kuala Tunjang sekitar pukul 1.40 petang, hasil risikan Unit Risik Maritim Negeri Kedah dan Perlis dengan kerjasama Zon Maritim Kuala Kedah serta Zon Maritim Kuala Perlis.

Beliau turut berkata, bot terbabit dikesan dalam perjalanan menuju ke daratan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.

“Bot PERKASA 1226 berjaya memintas bot kayu itu dan pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Thailand berada di atas bot tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya lagi.

Menurut Azreyanti lagi, bot berkenaan turut disyaki membawa benih kerang dalam kuantiti besar secara haram, tanpa kebenaran bertulis atau permit sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Sementara itu dalam operasi yang sama, dua lelaki tempatan turut ditahan di Jeti Kerpan bersama dua buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang dipercayai digunakan untuk mengangkut benih kerang tersebut.

Bot, benih kerang dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM132 ribu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana membawa benih kerang tanpa kebenaran bertulis serta kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Zon Maritim Kuala Kedah akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan di perairan negara, sambil menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan haram, penyeludupan atau sebarang aktiviti jenayah di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut, diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-731 0579 untuk tindakan segera.

KERANG KUALA2
 
KERANG KUALA
 
KERANG KUALA5
 
KERANG KUALA6

TINDAKAN PANTAS MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC SELAMATKAN KRU KAPAL DAGANG DI PERAIRAN LUMUT

LUMUT, 5 FEBRUARI – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) berjaya menyelamatkan seorang kru kapal dagang yang cedera selepas terjatuh di atas kapal kira-kira 3.9 batu nautika barat daya Pulau Dua, pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, Pusat Operasi Maritim (POMAR) Negeri Perak menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.52 pagi yang memaklumkan seorang kru lelaki warga India berusia 54 tahun mengalami kecederaan pada kaki, leher dan muka di atas kapal MV ARTENOS akibat terjatuh.

Susulan maklumat itu, Bot PERKASA 1223 segera diatur gerak ke lokasi sebelum mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat ke daratan.

Mangsa dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh dan diserahkan kepada pasukan ambulans untuk rawatan lanjut di Hospital Pantai Seri Manjung.

Sementara itu Mohamad Shukri menegaskan, setiap panggilan kecemasan di laut akan diberi keutamaan tanpa mengira lokasi atau kewarganegaraan mangsa.

“Kecekapan anggota dan kesiapsiagaan aset membolehkan bantuan disalurkan segera. Keselamatan nyawa di laut sentiasa menjadi keutamaan Maritim Malaysia,” katanya.

Beliau turut menasihatkan komuniti maritim agar segera melaporkan sebarang kecemasan melalui talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 8737 bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil.

 

MEDIVAC LUMUT2
 
MEDIVAC LUMUT3

BOT PENUMPANG TANPA LESEN SAH DITAHAN MARITIM NEGERI PULAU PINANG

PULAU PINANG, 6 FEBRUARI – Sebuah bot penumpang yang disyaki beroperasi tanpa lesen sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang kira-kira 0.7 batu nautika di barat Pulau Jerejak, petang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan tersebut dibuat hasil maklumat dan aduan awam yang diterima berhubung aktiviti bot penumpang yang mencurigakan di sekitar perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit membawa seramai 28 penumpang terdiri daripada tujuh lelaki dan 19 perempuan, selain seorang kapten serta tiga kru yang mengendalikan bot berkenaan. Kesemua individu terbabit merupakan warga tempatan,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati, bot penumpang tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 474(1), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa dan mengendalikan bot tanpa lesen yang sah.

Sehubungan itu, bot penumpang berkenaan bersama kru telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperketat penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna perairan serta pematuhan undang-undang maritim sentiasa dipatuhi.

BOT PENUMPANG XLESEN

MARITIM NEGERI SELANGOR PERKUKUH KESIAPSIAGAAN ASET MENERUSI LATIHAN PRA-PTKK KM DANGA DAN KM BAGAN DATUK

PELABUHAN KLANG, 5 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor terus memperkasa kesiapsiagaan operasi apabila melaksanakan Latihan Pra-Penentuan Tahap Kecekapan Kapal (Pra-PTKK) selama tiga hari bermula 3 Februari lalu, sebagai persediaan menghadapi penilaian sebenar Penentuan Tahap Kecekapan Kapal (PTKK) dalam masa terdekat.

Latihan intensif itu melibatkan dua aset utama Maritim Negeri Selangor iaitu Kapal Maritim (KM) DANGA dan KM BAGAN DATUK, yang menjadi tulang belakang rondaan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Selangor.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, pelaksanaan Pra-PTKK merupakan langkah kritikal bagi memastikan standard pengoperasian aset serta kompetensi kru sentiasa berada pada tahap terbaik, selaras dengan keperluan operasi semasa yang semakin mencabar.

“Latihan ini bukan sahaja menguji keupayaan fizikal dan teknikal kru kapal, malah menilai aspek pengurusan serta ketahanan mental anggota dalam mendepani pelbagai situasi kecemasan di laut,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Selain simulasi di lapangan, pemeriksaan menyeluruh turut dijalankan oleh Pasukan Pra-PTKK Maritim Negeri Selangor melibatkan beberapa komponen utama termasuk semakan dokumentasi bagi memastikan rekod selenggara serta operasi sentiasa dikemas kini, pemeriksaan kelengkapan bagi menjamin peralatan navigasi dan keselamatan berfungsi secara optimum, serta pengujian Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menilai tahap pematuhan kru terhadap protokol keselamatan dan penguatkuasaan.

Menurutnya, proses Pra-PTKK ini merupakan saringan awal sebelum penilaian penuh dilaksanakan oleh Seksyen Latihan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) yang menjadi penentu tahap kecekapan sebenar aset serta kru.

Sepanjang latihan berlangsung, seluruh kru menunjukkan semangat kerja berpasukan yang tinggi serta komitmen luar biasa, sekali gus mencerminkan profesionalisme Maritim Malaysia dalam melaksanakan amanah sebagai benteng keselamatan perairan negara.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan setiap aset dan anggota sentiasa berada pada tahap “siap siaga”, bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan perairan negara khususnya di perairan negeri itu.

PTKK SEL2
 
PTKK SEL4
 
PTKK SEL5
 
PTKK SEL7

Lebih banyak artikel..

Grid List

MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026

KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.

“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.

Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.

Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.

Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.

Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.

Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.

Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.

OSTEX MARITIM
 
OSTEX MARITIM2
 
OSTEX MARITIM4
 
OSTEX MARITIM6

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC