PUTRAJAYA, 4 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya, terus memperkukuh kesiapsiagaan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) apabila berjaya melaksanakan Latihan Komunikasi Mencari dan Menyelamat (SARCOMEX) secara dua hala bersama Maritime and Port Authority of Singapore (MPA), hari ini.
Latihan yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu bertujuan menguji keberkesanan saluran komunikasi rasmi di antara kedua-dua pihak, di samping meningkatkan kecekapan koordinasi operasi CARILAMAT melibatkan sempadan perairan Malaysia dan Singapura.
Dalam latihan tersebut, satu senario kecemasan telah disimulasikan membabitkan sebuah kapal kontena kargo yang terbakar di perairan Malaysia, sebelum 20 kru kapal dilaporkan hanyut ke perairan Singapura akibat arus laut serta tiupan angin.
Susulan kejadian itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru melalui MRCC Putrajaya telah mengaktifkan prosedur koordinasi dengan pihak Port Operations Control Centre (POCC), MPA Singapura bagi mendapatkan bantuan melaksanakan OP CARILAMAT di perairan negara itu.
Maritim Malaysia memaklumkan, latihan tersebut telah berjalan lancar dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, sekali gus membuktikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam aspek komunikasi serta keupayaan kerjasama rentas sempadan bagi menangani sebarang insiden kecemasan di perairan negara dan rantau ini.
Penganjuran SARCOMEX ini turut mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dan MPA dalam memastikan keselamatan pelayaran serta kesejahteraan komuniti maritim di rantau ini sentiasa terpelihara melalui tindakan pantas, koordinasi strategik dan perkongsian maklumat yang efektif.











