PELABUHAN KLANG, 5 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal tangki dan sebuah bot pancung dalam dua operasi berasingan di perairan negeri ini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, penahanan kapal tangki itu dibuat kira-kira pukul 12.30 tengah malam hasil pemantauan radar Area Control Centre (ACC) Klang sebelum sebuah bot ronda digerakkan ke lokasi sejauh 18.9 batu nautika barat daya Kuala Sungai Besar.
Ujar beliau, kapal berkenaan dikendalikan seorang kapten warga China bersama 21 kru terdiri daripada 11 warga China, lapan Myanmar dan dua Bangladesh berusia antara 24 hingga 52 tahun.
“Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun kapten gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh. Kapal disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya.
Beliau turut berkata, perintah penahanan telah dikeluarkan dan kapten bersama pegawai jurutera kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi siasatan lanjut.
Dalam kes berasingan, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditahan kira-kira pukul 5.10 petang di kedudukan 1.55 batu nautika barat Kapar selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen kebenaran menjalankan aktiviti penangkapan ikan,” katanya.
Tambah Abdul Muhaimin, bot dan individu terbabit diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.
Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti haram di perairan Selangor.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 013-660 6652 untuk tindakan segera.












