23
Thu, Apr

MARITIM NEGERI SELANGOR PERKUKUH KESIAPSIAGAAN ASET MENERUSI LATIHAN PRA-PTKK KM DANGA DAN KM BAGAN DATUK

PELABUHAN KLANG, 5 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor terus memperkasa kesiapsiagaan operasi apabila melaksanakan Latihan Pra-Penentuan Tahap Kecekapan Kapal (Pra-PTKK) selama tiga hari bermula 3 Februari lalu, sebagai persediaan menghadapi penilaian sebenar Penentuan Tahap Kecekapan Kapal (PTKK) dalam masa terdekat.

Latihan intensif itu melibatkan dua aset utama Maritim Negeri Selangor iaitu Kapal Maritim (KM) DANGA dan KM BAGAN DATUK, yang menjadi tulang belakang rondaan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Selangor.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, pelaksanaan Pra-PTKK merupakan langkah kritikal bagi memastikan standard pengoperasian aset serta kompetensi kru sentiasa berada pada tahap terbaik, selaras dengan keperluan operasi semasa yang semakin mencabar.

“Latihan ini bukan sahaja menguji keupayaan fizikal dan teknikal kru kapal, malah menilai aspek pengurusan serta ketahanan mental anggota dalam mendepani pelbagai situasi kecemasan di laut,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Selain simulasi di lapangan, pemeriksaan menyeluruh turut dijalankan oleh Pasukan Pra-PTKK Maritim Negeri Selangor melibatkan beberapa komponen utama termasuk semakan dokumentasi bagi memastikan rekod selenggara serta operasi sentiasa dikemas kini, pemeriksaan kelengkapan bagi menjamin peralatan navigasi dan keselamatan berfungsi secara optimum, serta pengujian Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menilai tahap pematuhan kru terhadap protokol keselamatan dan penguatkuasaan.

Menurutnya, proses Pra-PTKK ini merupakan saringan awal sebelum penilaian penuh dilaksanakan oleh Seksyen Latihan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) yang menjadi penentu tahap kecekapan sebenar aset serta kru.

Sepanjang latihan berlangsung, seluruh kru menunjukkan semangat kerja berpasukan yang tinggi serta komitmen luar biasa, sekali gus mencerminkan profesionalisme Maritim Malaysia dalam melaksanakan amanah sebagai benteng keselamatan perairan negara.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan setiap aset dan anggota sentiasa berada pada tahap “siap siaga”, bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan perairan negara khususnya di perairan negeri itu.

PTKK SEL2
 
PTKK SEL4
 
PTKK SEL5
 
PTKK SEL7

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON