25
Sat, Jul

MARITIM GAGALKAN SELUDUP MINYAK, 20 TONG BAHAN API DIRAMPAS DI PERAIRAN PERLIS

KUALA PERLIS, 9 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 20 tong minyak petrol bersubsidi ke negara jiran dalam satu operasi di kedudukan 0.52 batu nautika dari barat daya Kuala Perlis, Perlis, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom memaklumkan, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan dalam OP AMAN dan OP TIRIS 3.0 menerima maklumat risikan sebelum mengesan sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran bersama enjin bergalah dalam keadaan mencurigakan.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati sampan berkenaan ditinggalkan tanpa kehadiran pemilik.

Namun setelah diperiksa, dianggarkan lebih 600 liter minyak petrol iaitu 20 tong minyak yang dianggarkan 30 liter setiap tong telah dijumpai.

Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Pindaan 2021) dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki atau membawa keluar tanpa permit dan kebenaran dari pihak berkuasa.

Kesemua hasil rampasan yang dianggarkan berjumlah hampir RM25 ribu itu dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Tambah Nak Rong, kes ini merupakan rampasan pertama bagi tahun ini dan kejayaan tersebut membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia, khususnya Zon Maritim Kuala Perlis, dalam membanteras aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi yang boleh menjejaskan hasil negara.

Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera.

TONG PERLIS
 
TONG PERLIS3
 
TONG PERLIS4

DUA TANGKAPAN DALAM SEMINGGU, MARITIM PULAU PINANG PERKETAT KAWALAN PERAIRAN

PULAU PINANG, 9 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang merekodkan dua tangkapan berasingan dalam tempoh seminggu hasil pemantauan dan rondaan berterusan di perairan negeri ini.

Dalam kejadian terbaharu kira-kira pukul 6.45 petang semalam, sebuah kapal layar ditahan selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang. Tindakan itu diambil susulan maklumat risikan yang diterima Maritim Negeri Pulau Pinang.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pemeriksaan mendapati kapal layar berkenaan mengibarkan bendera United Kingdom dan dikendalikan oleh dua warga British berusia 48 dan 67 tahun, dengan salah seorang daripadanya merupakan nakhoda.

“Kapal layar tersebut disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, yang merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” jelas beliau.

Dalam kejadian berasingan, Maritim Negeri Pulau Pinang turut menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C yang dikendalikan oleh tiga warga Thailand berusia antara 41 hingga 58 tahun pada 4 Januari lalu.

Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan menjalankan aktiviti perikanan di bawah 15 batu nautika, sekali gus melanggar syarat lesen yang ditetapkan.

Menurut Muhammad Suffi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen vesel nelayan tempatan Kelas C.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas seorang kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua kru dan vesel terlibat telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau menegaskan Maritim Negeri Pulau Pinang akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang maritim, khususnya berkaitan aktiviti perikanan, demi melindungi keselamatan perairan serta kelestarian sumber marin negara.

TANGKAP PNG
 
TANGKAP PNG2
 
TANGKAP PNG3
 
TANGKAP PNG4

DUA BOT TUNDA DITAHAN BERSAUH TANPA KEBENARAN

MERSING, 8 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing telah menahan dua bot tunda berpendaftaran luar negara bersama tongkang ditahan pada kedudukan 0.4 batu nautika barat laut Pulau Besar sekitar pukul 11.00 malam, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, sebuah bot tunda bersama tongkang tersebut ditahan oleh pasukan peronda Maritim Malaysia ketika melaksana OP JAKSA / OP TIRIS 3.0.

Hasil pemeriksaan mendapati, dua bot tunda bersama tongkang disyaki telah melakukan kesalahan tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen pula mendapati, kesemua 17 kru daripada kedua-dua bot tunda tersebut disyaki warga Indonesia dalam lingkungan berumur 34 hingga 51 tahun termasuk Nakhoda. Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Nakhoda dan semua kru ditahan sebelum dibawa ke jeti Maritim Mersing untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia (ZMM) bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

MERSING TAHAN3
 
MERSING TAHAN
 
MERSING TAHAN4

ISU PENDATANG ASING TANPA IZIN MELALUI LORONG TIKUS DAN OPERASI PENGUATKUASAAN DI PERAIRAN NEGARA

PUTRAJAYA, 9 JANUARI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung promosi aktiviti membawa masuk dan keluar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui laluan yang tidak diwartakan, termasuk dari Selangor, Malaysia ke Tanjung Balai, Asahan, Indonesia.

Berdasarkan hasil siasatan Bahagian Perisikan Maritim Malaysia yang mendapati bahawa akaun-akaun terlibat dimiliki dan dikendalikan oleh individu dari negara jiran yang menetap di sana serta tidak melibatkan sebarang penglibatan, pembiaran atau kompromi oleh Maritim Malaysia.

Selain itu, kebanyakan pengusaha bot laju atau bot pancung yang terlibat dalam kegiatan tersebut juga berpangkalan di Indonesia. Maritim Malaysia juga sedar wujud pelbagai akaun di TikTok yang mempromosikan kegiatan tersebut yang mana sekiranya berlaku ianya jelas menyalahi undang-undang negara dan menimbulkan risiko keselamatan maritim, selain memberi implikasi sosial dan ekonomi yang serius.

Namun, daripada puluhan akaun yang dipantau, terdapat juga promosi seumpama yang bersifat penipuan (scam) melalui hantaran komen individu warga negara jiran yang pernah menggunakan perkhidmatan tersebut.

Maritim Malaysia sentiasa memantau dan menjalankan operasi penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras aktiviti membawa masuk dan keluar PATI.

Antara tangkapan terbaharu yang berjaya dibuat di mana Maritim Negeri Selangor berjaya menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas B bernombor pendaftaran SLFA 4649 pada 5 Januari 2026, sekitar jam 5.00 pagi di kedudukan 2.5 batu nautika ke barat Sekinchan.

Vesel tersebut didapati membawa keluar PATI melalui laluan tidak diwartakan. Kru VNT terdiri daripada seorang tekong dan tiga awak-awak, semuanya warganegara Indonesia, manakala seorang PATI lelaki turut berada di dalam bot.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Perikanan Malaysia 1985, iaitu menggaji pekerja tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan, serta pelanggaran Akta Imigresen 1959/63, kerana membawa keluar PATI melalui jalan yang tidak diwartakan. VNT dan semua individu yang terlibat telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah.

Sebagai usaha bersepadu untuk menangani isu ini, Maritim Malaysia turut mengambil langkah proaktif seperti menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan TikTok untuk menjejaki pemilik akaun yang mempromosikan aktiviti jenayah ini, dengan tumpuan terhadap mereka yang berada di Malaysia untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Maritim Malaysia juga menegaskan komitmen padu untuk melindungi keselamatan perairan negara daripada sebarang ancaman lintas sempadan. Mencegah kegiatan jenayah rentas sempadan melalui pengawasan berterusan, penguatkuasaan tegas, dan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi berkaitan.

Maritim Malaysia ingin menekankan bahawa aktiviti membawa masuk dan keluar PATI bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara. Segala usaha penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi.

Justeru, masyarakat khususnya komuniti maritim disarankan untuk berkongsi maklumat sekiranya terdapat sebarang tindakan atau aktiviti yang mencurigakan kepada Maritim Malaysia dengan kadar segera menerusi talian NG MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim (POMAR) 019-2611833 untuk tindakan pantas diambil.

SCAM PATI 2

BOT KARGO DITAHAN DI BAWAH ORDINAN PERKAPALAN SAUDAGAR DI PERAIRAN SELANGOR

PELABUHAN KLANG, 8 JANUARI – Sebuah bot kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di kedudukan kira-kira 0.43 batu nautika barat Tanjung Harapan, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dibuat pada sekitar pukul 2.20 petang oleh aset Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan rutin OP EHSAN, dan OP TIRIS 3.0 di perairan Selangor.

“Bot tersebut yang membawa muatan kargo 26 tong yang berisi ikan campur ditahan untuk pemeriksaan. Hasilnya mendapati, kapal tersebut dikendalikan oleh seorang nahkoda berumur 35 tahun bersama seorang kru yang berumur 25 tahun, masing-masing adalah warga tempatan,” kata Muhaimin.

Hasil pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, lesen bot telah tamat tempoh. Bot bersama kru dan muatan tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana lesen bot telah tamat tempoh.

Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undangundang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor.

Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (013-6606652) / Pusat Operasi Maritim Malaysia (03-89957820) untuk maklum balas segera.

KARGO SEL2
 
KARGO SEL3
 
KARGO SEL4
 
KARGO SEL5

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON