TUMPAT, 3 FEBRUARI – Cubaan menyeludup rokok tanpa cukai menggunakan laluan Sungai Golok gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya merampas hampir satu juta batang rokok putih bernilai RM640,000 yang ditinggalkan di tebing sungai berkenaan, awal pagi baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, rampasan itu hasil maklumat risikan tepat yang diterima sekitar pukul 1.30 pagi pada hari kejadian mengenai pergerakan sebuah bot pancung mencurigakan dari Tak Bai, Thailand, ke arah Galeri Tengku Anis, Tumpat.
“Berdasarkan maklumat tersebut, aset Maritim Malaysia yang berada di sekitar kawasan berkenaan segera digerakkan untuk melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi mengesan pergerakan bot terbabit,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, sekitar pukul 2.00 pagi, sebuah bot pancung dikesan bergerak laju dalam keadaan gelap sebelum berpatah balik dari arah Galeri Tengku Anis menuju semula ke Tak Bai selepas menyedari kehadiran penguat kuasa Maritim Malaysia.
Usaha kejar buru telah dijalankan, namun bot suspek gagal dipintas dan berjaya meloloskan diri memasuki perairan Thailand.
Beliau turut berkata, rondaan di kawasan sekitar diteruskan dan kira-kira pukul 2.13 pagi, anggota Maritim Malaysia menemukan longgokan kotak rokok yang dibungkus dalam plastik lutsinar dan ditinggalkan di tebing Sungai Golok berhampiran Galeri Tengku Anis.
“Hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 94 peti dan kotak mengandungi 940,000 batang rokok putih tanpa cukai dengan nilai anggaran RM640,000,” katanya.
Tambah beliau, tiada individu ditemui atau ditahan di lokasi kejadian kerana suspek disyaki telah melarikan diri daripada ditahan pihak penguat kuasa.
Menurut Erwan Shah lagi, kesemua rampasan disita kerana disyaki melibatkan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Beliau menegaskan, kejayaan operasi itu membuktikan tahap kesiapsiagaan aset dan kecekapan anggota Maritim Malaysia dalam bertindak pantas berasaskan maklumat risikan.













