10
Wed, Jun

HELANG SAMUDERA : PERISAI MARITIM NEGARA, NASKAH SEJARAH DEDIKASI KEPADA WIRA MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 22 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus mengukir sejarah tersendiri apabila melancarkan buku istimewa bertajuk 'Helang Samudera : Perisai Maritim Negara' sempena sambutan 20 tahun penubuhannya dalam satu majlis penuh istiadat dan berprestij di Putrajaya, hari ini.

Majlis peluncuran buku ini menjadi lebih bermakna apabila Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, sudi mencemar duli menyempurnakan peluncuran buku tersebut, sebagai simbol sokongan dan keprihatinan tinggi baginda terhadap peranan strategik Maritim Malaysia dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam ucapannya menyifatkan penerbitan naskhah ini sebagai satu penghormatan besar buat wira-wira maritim negara yang selama dua dekad telah mempertaruhkan keselamatan diri demi keselamatan perairan negara.

“Buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah, tetapi khazanah bernilai tinggi yang memaparkan keberanian, kecekalan dan dedikasi anggota APMM dalam menangani jenayah rentas sempadan, pencerobohan perairan dan operasi menyelamat berisiko tinggi,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian, ketika menyampaikan ucapan sempena majlis berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik bin Jeman, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, serta Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, YBhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), buku berbentuk coffee table dengan 180 halaman muka surat ini menampilkan naratif visual berkualiti tinggi, cerita-cerita operasi sebenar, serta momen dramatik yang selama ini tidak pernah dikongsi kepada khalayak umum.

Antara bab menarik dalam buku ini termasuk sejarah penubuhan Maritim Malaysia, kejayaan operasi menyelamat, rampasan kapal penyeludup, pelaksanaan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), penggunaan teknologi pengawasan canggih serta latihan berterusan yang membentuk kecekapan pasukan.

Penerbitan buku ini turut menyerlahkan kerjasama strategik Maritim Malaysia bersama agensi antarabangsa seperti US Coast Guard, Interpol, Australia Border Force (ABF), dan penguat kuasa maritim serantau dari Indonesia, Thailand dan Filipina. Jalinan kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan perairan negara, malah menjadi batu asas kepada kestabilan rantau ini secara keseluruhan.

Sebagai usaha memperluas manfaat dan kesedaran awam terhadap peranan Maritim Malaysia, buku Helang Samudera: Perisai Maritim Negara akan diedarkan ke perpustakaan di seluruh negara, institusi pendidikan dari peringkat sekolah sehingga ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Selain itu, buku ini juga akan dihantar kepada agensi sahabat dalam dan luar negara sebagai simbol jalinan kerjasama strategik dan perkongsian ilmu dalam bidang keselamatan maritim.

Naskhah ini bukan sahaja menjadi rujukan berharga kepada pengkaji dan pencinta dunia maritim, malah berpotensi menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk memahami kepentingan mempertahankan keselamatan maritim negara.

 

WhatsApp Image 2025 04 22 at 1.33.50 PM
 
WhatsApp Image 2025 04 22 at 1.34.05 PM
 
WhatsApp Image 2025 04 22 at 1.34.35 PM
 
WhatsApp Image 2025 04 22 at 1.34.47 PM

GAGAL KEMUKA LESEN DAN DOKUMEN, BOT REKREASI DITAHAN DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 22 APRIL – Sebuah bot rekreasi memancing yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu dalam rondaan pada 19 April (Sabtu).

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot berwarna putih yang sedang belayar menuju laut lepas.

Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru warga tempatan. Kedua - dua mereka masing-masing berusia 26 dan 21 tahun.

Bot disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 474 (1), Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengemukakan Lesen Bot dan dokumen berkaitan bot semasa pemeriksaan dijalankan, yang jika disabitkan boleh dikenakan denda atau kompaun.

Bot berserta kru telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Sebarang maklumat serta aduan, insiden atau maklumat mengenai aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.

 

BOT REK2

MARITIM MALAYSIA TINJAU TAPAK CADANGAN PEJABAT TETAP ZON MARITIM LAHAD DATU

LAHAD DATU, 20 APRIL – Usaha memperkasa keselamatan perairan timur Sabah terus diperkukuh apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengambil langkah proaktif dengan meninjau tapak cadangan pembinaan Pejabat Tetap Zon Maritim Lahad Datu di Silam, semalam.

Lawatan strategik tersebut diketuai Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairulanuar Abd Majid @ Razali, disertai Ketua Staf Bahagian Operasi Laut, ESSCOM, Laksamana Pertama Maritim Abd Razak bin Mohamed, Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan bin Raman, Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir bin Shubli.

Inisiatif pembinaan pejabat tetap ini dilihat sebagai pemacu utama dalam memperkukuh kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan maritim, terutamanya di kawasan perairan berisiko tinggi seperti Lahad Datu.

Dengan kemudahan baharu yang lebih lengkap dan bersepadu, operasi pengawasan, penguatkuasaan dan tindak balas kecemasan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Sebelum tinjauan dijalankan, delegasi turut menghadiri Sambutan Hari Raya MADANI yang berlangsung meriah di Lahad Datu. Acara anjuran bersama ESSCOM, Pejabat Daerah Lahad Datu dan Penjara Daerah Lahad Datu itu menghimpunkan lebih 30 gerai juadah tradisional dan moden yang dikendalikan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, antaranya Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam yang mewakili YAB Ketua Menteri Sabah serta YBhg. Dato’ Abdul Halim bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mewakili YB Menteri Dalam Negeri.

Sambutan penuh muhibah ini bukan sahaja mencerminkan semangat perpaduan antara agensi dan komuniti, malah turut memberi ruang interaksi langsung antara kepimpinan keselamatan negeri dengan rakyat setempat.

Peninjauan tapak dan pelan pembangunan ini membuktikan komitmen jitu Maritim Malaysia dalam memelihara kedaulatan perairan negara, khususnya di Zon Maritim Lahad Datu, satu kawasan strategik yang menjadi tumpuan kawalan sempadan maritim dan pengurusan ancaman rentas sempadan.

 

WhatsApp Image 2025 04 21 at 11.28.55 AM
 
WhatsApp Image 2025 04 21 at 11.28.53 AM 1
 
WhatsApp Image 2025 04 21 at 11.28.54 AM 3
 
WhatsApp Image 2025 04 21 at 11.28.54 AM 2

OPERASI BERSAMA APMM – DOF DILANCARKAN DI PERAIRAN KELANTAN

PASIR PUTEH, 20 APRIL – Maritim Negeri Kelantan bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melaksanakan Operasi Bersama OP MARDOF di perairan Negeri Kelantan bagi membanteras kegiatan haram yang melanggar Akta Perikanan 1985 dan Akta APMM 2004.

Operasi strategik ini dilaksanakan untuk menjaga keamanan dan kedaulatan di Zon Maritim Malaysia (ZMM), khususnya kawasan tanggungjawab Maritim Negeri Kelantan.

OP MARDOF memberi tumpuan utama kepada isu pencerobohan oleh Vesel Nelayan Asing (VNA) yang kerap berlaku di perairan negara. Operasi pada kali ini menumpukan pemeriksaan di jeti bagi memeriksa dan memantau ketat sebarang pelanggaran syarat lesen termasuk pengubahsuaian tidak sah ke atas tangki minyak, dan penggunaan peralatan tangkapan yang tidak mematuhi piawaian.

Seramai 30 anggota gabungan dari APMM dan DOF yang diketuai oleh Komander Maritim Amiludin bin Yenggah Timbalan Pengarah Operasi Negeri telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh di jeti nelayan di kawasan Tok Bali. Pemeriksaan tersebut bertujuan memastikan pematuhan nelayan tempatan terhadap undang-undang perikanan dan keselamatan maritim, termasuk semakan dokumen vesel, peralatan tangkapan, serta pengaktifan sistem Mobile Transceiver Unit (MTU) yang wajib dipasang pada Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C dan C2.

Sepanjang operasi ini, sebanyak 26 buah vesel nelayan berjaya diperiksa oleh pasukan operasi bersama. Hasilnya pemeriksaan, satu tangkapan dibuat atas kesalahan pemalsuan dokumen vesel, manakala satu kesalahan dikenakan kompaun kerana gagal mengaktifkan sistem MTU. Selain itu, tiga sitaan dilakukan ke atas pukat mata keroncong yang tidak mematuhi saiz mata jaring minimum 38 milimeter, atau tidak mengikut saiz yang ditetapkan undang-undang.

Kerjasama erat antara APMM dan DOF dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang maritim dijadikan sebagai pendekatan dalam meningkatkan keberkesanan operasi dan mengekang sebarang bentuk kegiatan haram di perairan negara.

OP MARDOF mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara dan memastikan kelestarian sumber marin. Kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan ini dijangka dapat mengukuhkan lagi sistem pengawasan maritim negara bagi menangani pelbagai ancaman terhadap keselamatan dan sumber perikanan Malaysia.

 

MARDOF KELANTAN3
 
MARDOF KELANTAN2
 
MARDOF KELANTAN4
 
MARDOF KELANTAN5

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN KERANA LANGGAR SYARAT LESEN, GUNA KRU ASING TANPA DOKUMEN SAH

KUANTAN, 19 APRIL – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C dikesan melanggar syarat lesen dan menggajikan kru asing tanpa dokumen sah dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, bot tersebut ditahan kira-kira 12 batu nautika dari Timur Laut Nenasi pada pukul 12.45 tengah hari oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia menerusi Op MAKMUR dan Op TIRIS.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan enam kru warga Vietnam berusia antara 29 hingga 48 tahun. Mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta tiada sebarang permit kerja atau kelulusan daripada Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, pemilik bot berkenaan disyaki telah melanggar syarat lesen sah yang ditetapkan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah bot, peralatan menangkap ikan serta kira-kira 150 kilogram hasil laut yang kesemuanya dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia memberi amaran tegas bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim, khususnya dalam isu penggajian Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Pemilik bot yang mengambil kesempatan menggajikan PATI demi kepentingan sendiri bakal berdepan tindakan undang-undang yang keras,” tegas Haji Mazlan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan lanjut.

 

VESEL ASING PHG2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON