10
Wed, Jun

30 BUBU NAGA DIRAMPAS DI PERAIRAN PULAU TALANG

LUMUT, 29 MEI – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak berjaya mematahkan satu lagi cubaan penggunaan peralatan menangkap ikan yang diharamkan apabila 30 unit bubu naga dirampas di perairan negeri ini, semalam.

Rampasan dibuat kira-kira pukul 1.15 petang ketika rondaan rutin dijalankan bot peronda Maritim Malaysia di kedudukan 1.4 batu nautika barat laut Pulau Talang, lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas kegiatan haram tersebut.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, pasukannya menemui beberapa pelampung serta bendera yang digunakan sebagai penanda lokasi bubu naga berkenaan.

“Penggunaan bubu naga adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20 ribu atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.

Menurut beliau, rampasan ini membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam membanteras penggunaan peralatan yang boleh menjejaskan ekosistem dan kelestarian sumber laut negara.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang laut negara. Tindakan tegas akan terus diambil demi menjamin keselamatan perairan dan menjaga kepentingan komuniti nelayan,” tambah beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah maritim diminta menyalurkan maklumat segera ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254.

 

BUBU TGKP2
 
BUBU TGKP3

RISIKAN TEPAT, ZON MARITIM LABUAN TAHAN EMPAT PENUMPANG DISYAKI TERLIBAT DENGAN DADAH

LABUAN, 29 MEI – Kecekapan risikan dan tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan membuahkan hasil apabila berjaya menahan empat individu yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback di atas sebuah feri penumpang kenderaan dalam perjalanan ke Labuan, hari ini.

Penahanan dibuat hasil maklumat perisikan yang diterima dan tindakan susulan telah dilaksanakan oleh anggota Maritim Malaysia yang melakukan pemeriksaan rapi ke atas kenderaan tersebut ketika feri berada di perairan Labuan.

Pemeriksaan mendapati keempat-empat penumpang terbabit disyaki terlibat dengan aktiviti yang melanggar peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Mereka telah ditahan serta-merta untuk siasatan lanjut.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi bin Hj Idros, menegaskan bahawa Maritim Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keselamatan perairan negara terpelihara daripada sebarang unsur jenayah, termasuk kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah.

"Maklumat risikan yang tepat dan kerjasama antara agensi menjadi kunci utama kepada kejayaan operasi ini. Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan pemeriksaan, khususnya di kawasan strategik seperti laluan feri," katanya.

Orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427882 atau talian kecemasan 999.

 

DADAH FERI2

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN, AWAK-AWAK WARGA ASING GUNA DOKUMEN MERAGUKAN

LUMUT, 27 MEI – Sebuah vesel nelayan tempatan kelas A ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas dikesan menggajikan warga asing tanpa kebenaran dan melanggar syarat lesen, dalam operasi penguatkuasaan di perairan Pantai Remis, semalam.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel berkenaan ditahan pada sekitar jam 10.20 pagi di kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Muara Pantai Remis, setelah mengesan pergerakan mencurigakan oleh pasukan operasi Maritim Malaysia ketika rondaan rutin.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga awak-awak warga Myanmar berada di atas vesel tersebut, dipercayai digajikan tanpa kebenaran rasmi Ketua Pengarah Perikanan, selain memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan,

“Vesel bersama kesemua kru, peralatan menangkap ikan dan hasil laut telah dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.

Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, dalam operasi sama, Maritim Malaysia turut merampas 30 set bubu naga yang ditinggalkan di laut di lokasi berasingan iaitu di kedudukan 3.2 batu nautika barat daya Pulau Talang, pada sekitar jam 9.20 pagi.

“Pasukan rondaan menemukan beberapa bendera dijadikan penanda lokasi bubu naga oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengaburi mata penguat kuasa,

“Bubu naga merupakan alat menangkap ikan yang dilarang penggunaannya kerana boleh mengancam ekosistem laut,

“Pemilik boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20 ribu atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya,” jelas beliau.

Shukri dalam pada itu turut menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan menjejaskan sumber hasil laut negara.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254 untuk tindakan dan maklum balas segera.

 

VESEL MUT2
 
VESEL MUT3
 
VESEL MUT4

MEDEVAC | MARITIM MALAYSIA SELAMATKAN MANGSA SUKAR BERNAFAS DI PULAU TIOMAN

KUANTAN, 28 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah melaksanakan satu operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) bagi menyelamatkan seorang lelaki yang mengalami kesukaran bernafas di Pulau Tioman, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Klinik Kesihatan Tekek pada jam 7.30 malam yang memohon bantuan segera bagi memindahkan pesakit, Ng Kuan Zhi, 26, yang memerlukan bantuan pernafasan menggunakan alat 'high flow mask' selepas dipercayai lemas.

Menurut beliau, aset Maritim Malaysia, KM TATAU digerakkan dari Jeti Tekek pada jam 8.40 malam bersama seorang pengiring perubatan, Mohd Shahfiq bin Zahid serta tunang pesakit, Ho Kan Man.

"KM TATAU tiba di Jeti Pos Maritim Teluk Gading pada pukul 11.00 malam dan pesakit terus dibawa menaiki ambulans ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya lagi.

Operasi yang dikendalikan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan itu berjalan lancar dan ditamatkan sejurus pesakit diserahkan kepada pihak hospital.

Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga untuk menjalankan tugasan kecemasan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat di perairan negara sentiasa terjamin.

 

MEDEVAC TIOMAN

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN BEROPERASI DI KAWASAN TIDAK DIBENARKAN

LUMUT, 26 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak bertindak menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) yang menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan melanggar syarat sah lesen kerana beroperasi di kawasan yang tidak dibenarkan iaitu pada jarak 6.8 batu nautika barat daya Pulau Buloh pada Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, empat warga Myanmar mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan didapati mengendalikan vesel terbabit. Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Vesel, kesemua awak-awak, peralatan menangkap ikan dan hasil laut ditahan untuk siasatan lanjut,” ulas Shukri.

Dalam operasi berasingan, sebanyak 80 set bubu naga turut dirampas di perairan Pulau Talang, kawasan panas penggunaan peralatan haram tersebut.

“Bubu naga berisiko tinggi memusnahkan ekosistem laut. Penggunaannya dilarang dan pemilik boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985. Jika sabit kesalahan, hukuman denda sehingga RM20 ribu atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan,” tambahnya.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen penuh dalam membanteras kegiatan haram demi kelestarian sumber laut dan keselamatan perairan negara.

Sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim boleh disalurkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 2254.

 

VESEL LMT2
 
VESEL LMT3
 
VESEL LMT4
 
VESEL LMT5

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON