15
Mon, Jun

MARITIM NEGERI PERAK TAHAN TIGA VESEL NELAYAN TEMPATAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN

LUMUT, 11 MAC – Maritim Negeri Perak berjaya menahan tiga vesel nelayan tempatan (VNT) di tiga lokasi berasingan kerana melakukan pelbagai kesalahan di sekitar perairan Rungkup pada hujung minggu yang lalu.

Kes berkenaan bukan sahaja membongkarkan pelbagai pelanggaran undang undang perikanan, malah turut membawa kepada penahanan tiga warga tempatan serta lapan warga asing.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, kejayaan ini hasil rondaan yang dijalankan oleh Kapal Maritim (KM) JEPAK dan bot ronda Maritim Malaysia yang giat mengawal kawasan tersebut.

Jelas beliau, bagi kes tangkapan pertama, sebuah VNT kelas B didapati tidak diusahakan sendiri serta menggaji kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

Berikutan itu, tekong bersama dua kru warga Indonesia berusia 35 hingga 45 tahun telah ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan membenarkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berada di atas vesel tersebut.

Sementara itu dalam kes berasingan, sebuah VNT kelas C bersama lima kru termasuk tekong warga Myanmar berusia antara 17 hingga 43 tahun ditahan atas kesalahan sama. Lebih mencurigakan, mereka turut disyaki memasuki negara ini tanpa menggunakan laluan sah, kata beliau lagi.

Manakala bagi kes ketiga, sebuah lagi VNT pukat tunda kelas B1 turut berjaya ditahan selepas dikesan beroperasi kurang dari jarak yang dibenarkan dari daratan.

Pemeriksaan lanjut mendapati tiga kru, termasuk tekong warga tempatan berusia 47 hingga 61 tahun, telah melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan di kawasan larangan dan tidak mengusahakan bot mereka sendiri.

“Kesemua kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana pelanggaran syarat lesen, menangkap ikan di zon larangan, serta menggajikan kru asing tanpa kebenaran,

“Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta disyaki memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah,” jelas Shukri melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Beliau menambah, kru warga asing telah ditahan untuk siasatan lanjut, manakala nelayan tempatan dilepaskan dengan jaminan bon. Bot, hasil tangkapan, serta peralatan perikanan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM950,000

Maritim Malaysia Negeri Perak menegaskan bahawa penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi mengekang aktiviti perikanan haram dan penyalahgunaan lesen yang semakin berleluasa.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dqan Komuniti maritim diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan berdepan tindakan tegas,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, boleh terus menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak melalui talian 05-6832254 bagi maklum balas segera.

 

 PERAK THN2
 
PERAK THN6
 
PERAK THN4
 
 PERAK THN5

ZON MARITIM TANJUNG MANIS LAKSANAKAN MEDEVAC SEORANG KRU VNT CEDERA DI KAKI

TANJUNG MANIS, 11 MAC – Zon Maritim Tanjung Manis melaksanakan Medical Evacuation (MEDEVAC) bagi memindahkan seorang kru Vesel Nelayan Tempatan (VNT) bernombor pendaftaran SF1- 4864 yang mengalami kecederaan di kaki kanan kerana terkena besi papan tunda semasa melakukan aktiviti menangkap ikan di sekitar perairan Belawai pagi semalam.

Pengarahnya, Komander Maritim Gilbert Tinggak anak Numpang berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching menerima panggilan telefon daripada Encik Ahmad Redzuan bin Shah Mat, iaitu Pegawai Jabatan Perikanan Laut Sarawak yang memaklumkan mengenai seorang kru VNT kelas C mengalami pendarahan pada kaki kanan semasa melakukan aktiviti menangkap ikan.

Sejurus tiba di jeti, mangsa, Safri bin Sakawi, 37, warga tempatan yang berada dalam keadaan lemah terus dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tanjung Manis untuk menerima rawatan lanjut.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh salurkan terus ke Pusat Operasi Maritim, Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35727765 atau di talian kecemasan 999 untuk tindakbalas segera.

 

WhatsApp Image 2025 03 10 at 4.29.59 PM 1
 
WhatsApp Image 2025 03 10 at 4.29.57 PM 1
 
WhatsApp Image 2025 03 10 at 4.29.58 PM 3

 

GAGAL PAMER DOKUMEN YANG SAH, SEBUAH BOT TUNDA DITAHAN

MIRI, 10 MAC – Zon Maritim Miri menahan sebuah bot tunda pada kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika barat muara Sungai Miri atas kesalahan gagal mempamerkan dokumen yang sah semasa diperiksa serta gagal mengemukakan port clearence semasa memasuki Pelabuhan Malaysia.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, bot tunda berkenaan telah ditahan pasukan bot ronda Maritim Malaysia semasa melaksanakan OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 pada sekitar jam 5.50 petang semalam.

Bot tunda bersama 11 kru termasuk nakhoda dalam lingkungan umur 22 hingga 41 tahun itu telah ditahan sebelum diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PVT) Miri untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mempamerkan dokumen yang sah dan mengemukakan Domestic Shipping License (DSL) semasa diperiksa serta Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan port clearence semasa memasuki Pelabuhan Malaysia.

Maritim Malaysia sentiasa komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi mencegah sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan jenayah maritim di sepanjang perairan Malaysia.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan ke Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085-649 111 atau Maritim Negeri Sarawak (082-432544/082-432016) atau melalui talian bantuan kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

BOT TUNDA2
 
BOT TUNDA3

MARITIM MALAYSIA TUMPASKAN KEGIATAN PENANGKAPAN IKAN HARAM DI SEMPORNA

SEMPORNA, 11 MAC – Tindakan licik seorang nelayan haram yang menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di perairan Semporna akhirnya berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna dalam satu operasi khas semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir bin Shubli berkata, operasi yang dikenali sebagai Op PLUTO TIMUR itu dijalankan di sekitar perairan Pulau Kalapuan, lokasi yang terkenal dengan keindahan terumbu karangnya.

“Kira-kira pukul 11.05 pagi, pasukan operasi telah mengesan sebuah bot pam berwarna kuning dan biru yang mencurigakan kerana tidak memiliki nombor pendaftaran.”

“Ketika dihampiri, individu di atas bot bertindak melarikan diri ke kawasan perairan cetek bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dipercayai terlibat dalam kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan, satu kaedah yang diharamkan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana merosakkan ekosistem marin dan membahayakan nyawa manusia.

Bot tersebut kemudiannya ditahan dan dibawa ke Jeti Pelancong Semporna untuk siasatan lanjut. Telah didapati nilai rampasan mencecah hampir RM5 ribu.

Menurut Amir, kejayaan operasi ini membuktikan ketegasan Maritim Malaysia dalam melindungi sumber laut negara dan memastikan perairan Semporna bebas daripada aktiviti perikanan haram yang mengancam kelestarian alam sekitar.

“Kegiatan penangkapan ikan menggunakan bahan letupan bukan sahaja memusnahkan habitat laut, tetapi juga memberi kesan jangka panjang kepada industri perikanan serta sektor pelancongan yang bergantung kepada keindahan ekosistem marin,” tegasnya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti perikanan haram dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619.

“Dengan kerjasama semua pihak, kita dapat memastikan sumber marin di Semporna terus terpelihara untuk dinikmati oleh generasi akan datang,” jelas beliau lagi.

 

 

SEMPORNA TUMPAS

LANGGAR SYARAT SAH LESEN, BOT PENUMPANG DITAHAN

MERSING, 10 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing menahan tiga buah bot penumpang yang didapati membawa penumpang melebihi had dibenarkan sekitar jarak satu batu nautika Muara Kuala Mersing,clebih kurang pukul 1.00 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, bot-bot tersebut ditahan dalam OP BERSEPADU antara Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sempena pembukaan balik aktiviti pelancongan di kawasan taman laut Mersing selepas musim Monsun.

Hasil pemeriksaan mendapati, tiga buah bot penumpang membawa penumpang melebihi dari syarat dan disiasat di bawah Peraturan Bot 1953.

Menurut beliau, tindakan segelintir pengusaha yang mengabaikan syarat-syarat sah lesen seperti membawa penumpang melebihi kapasiti boleh mengundang risiko bahaya dan kehilangan nyawa pada bila-bila masa.

“Kami memandang serius isu ini dan akan mempertingkatkan rondaan di kawasan-kawasan aktiviti pelancongan bagi memastikan keselamatan pelancong serta mencegah daripada sebarang insiden tidak diingini,” tambahnya.

Bot tersebut telah ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Mersing untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen dalam memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan perairan negara, khususnya di kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai.

 

BOT PENUMPANG2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON