10
Wed, Jun

300KG SYABU DIRAMPAS DI SUNGAI AYAM, MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP DADAH RM10 JUTA

BATU PAHAT, 20 MEI – Cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 300 kilogram bernilai kira-kira RM10 juta berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat dalam satu operasi di perairan Sungai Ayam, Batu Pahat, awal pagi Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri bin Kamil berkata, rampasan terbesar itu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung pergerakan mencurigakan sebuah bot fiber asing di kawasan terbabit.

Tambah beliau, berikutan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi sebaik menerima maklumat.

“Apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak melarikan diri ke kawasan cetek sebelum terjun dan meloloskan diri ke arah hutan paya bakau,” katanya lagi.

Bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu dipercayai ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa, dan menggunakan enjin sangkut Yamaha berkuasa 200 kuasa kuda.

Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut menemui 12 guni berisi bungkus an plastik mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu.

Setiap guni dianggarkan seberat 25 kilogram dengan jumlah keseluruhan rampasan mencecah 300 kilogram.

Kesemua barang rampasan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kama Azri turut menegaskan, Maritim Malaysia memandang serius aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara, khususnya penyeludupan dadah dan pendatang asing tanpa izin.

“Maritim Malaysia tidakvakan berkompromi dan akan terus meningkatkan operasi serta tindakan Penguatkuasaan demi menjamin keselamatan perairan negara,” ujarnya.

Beliau turut menyeru komuniti maritim dan masyarakat setempat agar terus menyalurkan maklumat serta menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dalam usaha membanteras jenayah maritim.

 

SYABU2
 
SYABU3
 
SYABU4
 
SYABU5

KAUT KEUNTUNGAN DAN MUSNAHKAN ALAM, VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN

KUALA PERLIS, 12 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis terus memperketat penguatkuasaan terhadap aktiviti penangkapan hasil laut secara haram apabila berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) tanpa nombor pendaftaran di perairan Kuala Perlis, pagi semalam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain, vesel tersebut dikesan kira-kira tiga batu nautika dari barat pesisir pantai Sungai Padang, Perlis ketika sedang leka menangkap siput menggunakan sangkar besi.

Hasil pemeriksaan mendapati, vesel yang berpangkalan di Kuala Perlis itu dikendalikan oleh seorang tekong dan 2 orang awak-awak, warga tempatan berusia 20 dan 27 tahun.

“Walaupun pihak kami telah memberi amaran serta kerap melakukan rondaan dan tangkapan, aktiviti menangkap siput secara haram masih berleluasa. Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(a) kerana melanggar syarat lesen dan Seksyen 11(3)(c) kerana memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda atau hukuman lebih berat.

Vesel, peralatan menangkap siput, serta hasil tangkapan dianggarkan bernilai lebih RM100 ribu telah dirampas dan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut. Kesemua suspek turut ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia mengingatkan semua pengusaha perikanan supaya mematuhi peraturan sedia ada demi kelestarian ekosistem marin.

“Aktiviti menangkap siput sememangnya menjadi sumber ekonomi bagi sebahagian masyarakat, namun ia perlu dilakukan secara bertanggungjawab. Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat dan kebenaran daripada Jabatan Perikanan Negeri Perlis sebelum menjalankan sebarang aktiviti perikanan,” tambahnya.

Maritim Malaysia turut menyeru orang awam agar melaporkan sebarang kegiatan jenayah maritim termasuk penyeludupan dan aktiviti perikanan haram.

Sebarang aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau menghubungi talian kecemasan 999.

 

KUALA PERLIS THN
 
KUALA PERLIS THN3
 
KUALA PERLIS THN4

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN, DOKUMEN TAK CUKUP, KRU TIADA PERMIT

KOTA KINABALU, 13 MEI – Tindakan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang beroperasi dalam keadaan mencurigakan membawa padah apabila ia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di kedudukan 31.6 batu nautika barat Tanjung Aru, sekitar jam 4.10 petang semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, tangkapan dibuat ketika Kapal Peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan perairan Beting Menggalong.

“Pemeriksaan ke atas vesel terbabit yang dinaiki juragan dan lima kru mendapati mereka telah melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memenuhi keperluan keanggotaan minimum yang ditetapkan,” jelas beliau lagi.

Lebih mengejutkan, dua daripada kru didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri mahupun permit kerja yang sah, sekali gus melanggar Akta Imigresen 1959/63.

“Vesel dan kru bersama muatan ikan campur seberat lebih kurang 900 kilogram telah ditahan kemudiannya diiringi ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM200 ribu,” tambah beliau.

Ujar beliau lagi, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang dan mengabaikan aspek keselamatan serta peraturan operasi di laut.

“Maritim Malaysia akan terus memperketatkan pemantauan, khususnya di kawasan panas yang dikenal pasti menjadi tumpuan vesel nelayan ingkar terhadap peraturan yang ditetapkan,” tegasnya.

Oleh itu, beliau menyeru kepada orang awam terutamanya komuniti maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

 

KK SALAH3
 
KK SALAH2

CUBAAN RENTAS SEMPADAN GAGAL, MARITIM MALAYSIA TAHAN ‘BOT HANTU’ SARAT MINYAK & 14 WARGA ASING

SANDAKAN, 14 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya mematahkan dua cubaan rentas sempadan dari Filipina dalam operasi berasingan di perairan timur laut Pulau Berhala, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain memaklumkan, dalam insiden pertama sekitar pukul 11.49 pagi, Kapal Maritim PINTAR (KM PINTAR) mengesan sebuah vesel mencurigakan kira-kira satu batu nautika dari Timur Laut Pulau Berhala yang dipercayai keluar dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke perairan Malaysia.

Pemeriksaan mendapati vesel berdaftar di bawah lesen kargo itu membawa 14 individu termasuk seorang tekong, terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita berumur antara lapan hingga 70 tahun. Majoriti penumpang adalah bukan warganegara dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Lebih mengejutkan, salah seorang penumpang cuba menyogok pegawai penguat kuasa dengan wang tunai, namun cubaan itu gagal apabila pegawai bertugas bertindak tegas menolaknya dan merampas wang tersebut sebagai bahan bukti.

Vesel dan semua penumpang ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan pada pukul 2.53 petang untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dalam operasi berasingan pada hari yang sama sekitar pukul 12.00 tengah hari, sebuah lagi vesel tanpa nombor pendaftaran yang digelar sebagai ‘bot hantu’ telah dipintas kira-kira 4.3 batu nautika dari Pulau Berhala.

Mengulas lanjut, Suhairy turut berkata, pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Filipina yang hanya memiliki MyKas, bersama dua awak-awak warga asing dan seorang warga tempatan.

Paling mengejutkan, pemeriksaan lanjut menemui 12 tong jerrycan berisi petrol dianggarkan sebanyak 300 liter, selain 700 liter lagi disimpan dalam tangki utama bot bagi menggerakkan tiga enjin luar 250 kuasa kuda. Bahan api ini dipercayai digunakan untuk perjalanan ulang alik antara Malaysia dan Filipina.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk bot tidak berdaftar dan tidak dilesenkan (Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002) serta membawa petrol tanpa permit sah (Akta Kawalan Bekalan 1961).

“Ini bukan sekadar bot tidak sah. Ini perangkap maut terapung yang sarat bahan mudah terbakar, tanpa sebarang ciri keselamatan. Bot terbabit dipercayai terlibat dalam aktiviti rentas sempadan secara senyap,” tegas beliau lagi.

Kesemua suspek serta vesel telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyeludupan, pemerdagangan manusia atau pencerobohan.

 

SANDAKAN PATI
 
SANDAKAN PATI2

GAGAL PATUH SYARAT LESEN, BOT TUNDA DITAHAN DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 12 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda di kedudukan 1 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena, Bintulu pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda berwarna putih yang sedang menunda tongkang membawa muatan kayu balak. Ketika pemeriksaan dilakukan, bot tunda dalam pelayaran menuju perairan Bintulu dari Kudat, Sabah.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh tiga orang kru termasuk nakhoda warganegara Myammar, dua orang kru warga tempatan dan dua orang kru warganegara India.

Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 26 hingga 64 tahun.

Bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 65F (2), Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu pemilik atau nakhoda mengemukakan maklumat palsu atau berbeza sepertimana maklumat tertera dalam Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang jika disabitkan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM 2,500.

Bot berserta kru telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia mengingatkan agar semua komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi segala peraturan atau undang-undang serta mengamalkan prosedur keselamatan ke laut bagi mengelak serta mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini berlaku.

Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.

 

BINTULU BOT TUNDA
 
BINTULU BOT TUNDA3

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON