10
Wed, Jun

BOT PAM BOM IKAN DITAHAN, TEKONG LARIKAN DIRI

SEMPORNA, 5 MEI – Sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna di perairan Pulau Bum Bum, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir bin Shubli berkata, bot terbabit dikesan dalam rondaan sekitar pukul 12.20 tengah hari kira-kira 0.8 batu nautika dari Tanjung Pantau-Pantau.

“Hasil pemeriksaan menemui lebih 50 kilogram ikan dipercayai diperoleh menggunakan bahan letupan buatan sendiri,

“Suspek yang mengendalikan bot bagaimanapun sempat melarikan diri ke kawasan perairan cetek,” katanya lagi.

Menurut Amir lagi, kegiatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985, malah boleh merosakkan terumbu karang dan ekosistem laut secara berpanjangan.

Beliau turut berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek dan rangkaian yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Orang ramai, khususnya komuniti nelayan digesa bekerjasama menyalurkan maklumat sekiranya melihat aktiviti mencurigakan di laut,” ujar Amir lagi.

Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan lanjut.

 

BOT PAM2

CUBAAN SELUDUP PREKURSOR BERNILAI HAMPIR RM15 JUTA TUMPAS

ALOR GAJAH, 5 MEI – Usaha licik sindiket dadah menyeludup bahan kimia campuran bernilai RM15 juta melalui perairan Pengkalan Balak, Melaka gagal apabila pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya mematahkan cubaan tersebut pada malam 1 Mei lalu.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, rampasan tersebut adalah kejayaan terbesar yang direkodkan oleh Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan bagi tahun ini.

Ujar Mohd Zawawi, ia adalah hasil kerjasama Unit Risikan Maritim Negeri bersama Bahagian Perisikan Maritim (MIND) dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Jelas beliau lagi, operasi ini telah membawa kepada penemuan 15 kotak dibalut plastik hitam di pesisir Pantai Pengkalan Balak, berhampiran Pusat Latihan Perahu Layar.

“Hasil pemeriksaan sekitar pukul 9.40 malam menemukan 179 botol cecair bahan kimia yang digunakan dalam pemprosesan dadah sintetik. Nilai rampasan bahan ini bagi pasaran gelap dianggarkan bernilai hampir RM15 juta,

“Sekiranya menjalani pemprosesan, bahan ini berupaya menghasilkan lebih kurang 150kg dadah sintetik yang dianggarkan mampu diedarkan kepada lebih 300,000 hingga 800,000 orang penagih,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu, Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi bin Hassan serta Timbalan Pengarah Siasatan Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Lefternan Komander Maritim Abd Hafis bin Hussin.

Mohd Zawawi dalam pada itu turut memaklumkan, tiada tangkapan dibuat di lokasi tersebut. Ini kerana beliau percaya penyeludup telah meninggalkan bahan tersebut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Kes kini disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kerana melibatkan bahan kimia terkawal yang disalahgunakan untuk penghasilan dadah berbahaya.

“Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan rondaan, risikan dan kerjasama strategik dengan agensi keselamatan lain untuk membanteras jenayah rentas sempadan,” tambah Mohd Zawawi.

Beliau turut menyeru komuniti pesisir dan para nelayan agar menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim yang beroperasi 24 jam.

 

PREKURSOR
 
PREKURSOR2
 
PREKURSOR4
 
PREKURSOR5

KEJADIAN KELONG RUNTUH ; TUJUH SELAMAT, SEORANG PEMANCING DITEMUI MAUT

BATU PAHAT, 5 MEI – Detik cemas lapan pemancing di perairan Parit Hailam, Senggarang bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan maut selepas kelong yang disewa runtuh dilanda ribut, awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd Faizal Mohd Nor, 45, dilaporkan hilang selepas tercampak ke laut ketika kelong tempat mereka memancing ranap dipukul angin kencang dan ombak besar sekitar pukul 3.00 pagi. Kesemua mangsa berusia antara 31 hingga 52 tahun.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) segera digerakkan oleh Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru sejurus menerima maklumat kejadian.

“Tujuh pemancing lain termasuk lima rakyat tempatan dan tiga warga Indonesia sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada tiang kelong sebelum diselamatkan Bot PETIR 51 dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat,” katanya.

Operasi ini melibatkan aset Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan diteruskan sepanjang hari.

Mayat mangsa akhirnya ditemukan pada petang tadi di bawah runtuhan kelong oleh pasukan bomba sebelum dibawa ke pantai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Justeru, Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada agensi sahabat serta orang awam yang terlibat dalam Op CARILAMAT ini.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menasihati komuniti maritim agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti laut susulan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Sebarang kejadian kecemasan boleh dilaporkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui 999 untuk tindakan segera.

 

KELONG RUNTUH2
 
KELONG RUNTUH3
 
KELONG RUNTUH4

VESEL NELAYAN TEMPATAN SALAH GUNA LESEN, GAJIKAN WARGA ASING TANPA PERMIT

KUANTAN, 4 MEI – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C disita Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang selepas didapati menggajikan kru warga asing tanpa permit kerja yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Kuantan, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, bot tersebut dikesan sekitar pukul 11.00 pagi, kira-kira enam batu nautika dari timur muara Kuala Kuantan, ketika rondaan rutin menerusi Op Makmur dan Op Tiris dijalankan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lima individu berada di atas vesel berkenaan termasuk seorang tekong.

“Kesemua mereka merupakan warga Myanmar berumur antara 30 hingga 44 tahun dan gagal mengemukakan permit kerja serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah,” kata Mazlan lagi.

Kes kini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. Vesel bersama hasil laut seberat kira-kira dua tan metrik serta peralatan menangkap ikan telah diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan pemilik bot yang melanggar syarat lesen dan peraturan, terutamanya dalam aspek menggajikan pekerja asing tanpa kelulusan yang sah.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan lesen perikanan atau kegiatan mencurigakan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

KUANTAN LESEN2

BEROPERASI TANPA NAKHODA YANG SAH, BOT TUNDA DITAHAN DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 5 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda di kedudukan 1.4 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena, Bintulu petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda bewarna putih yang sedang dalam pelayaran menuju muara Sungai Kemena.

Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh dua orang kru warganegara India. Kedua - dua mereka masing-masing berusia 28 dan 20 tahun.

Bot tunda terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22(2A), Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu tidak memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal berhubung pertukaran nama nakhoda di dalam sijil pendaftaran kapal yang memperuntukan hukuman kompaun sebanyak RM 2,500.

Bot nelayan berserta kru telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia mengingatkan agar semua komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi segala peraturan atau undang-undang serta mengamalkan prosedur keselamatan ke laut bagi mengelak serta mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini berlaku.

Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.

 

NAKHODA TAHAN2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON