10
Wed, Jun

MARITIM NEGERI SELANGOR MENAHAN BOT KARGO AIR KERANA PELBAGAI KESALAHAN

PELABUHAN KLANG, 4 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah vesel jenis bot kargo air di kedudukan kira-kira 0.16 batu nautika selatan Tanjung Harapan, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot kargo air itu ditahan aset Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan OP EHSAN, OP MURNI dan OP TIRIS di sekitar perairan Klang.

Penahanan vesel tersebut dibuat ketika pemeriksaan pada sekitar jam 12.20 tengah hari, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama tiga kru warga Indonesia dalam lingkungan umur 38 hingga 48 tahun.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, vesel itu beroperasi dengan melanggar syarat lesen di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 atas pelbagai kesalahan iaitu nama nakhoda tidak seperti yang tertera dalam lesen dan kegagalan mengemukakan lesen 500GT Domestic Trade Voyages.

Bukan itu sahaja, terdapat dua kru bot kargo berkenaan tiada dalam senarai nama lesen, tidak mengaktifkan The Automatic Identification System (AIS) dan akhir sekali salah seorang kru tidak memiliki buku pelaut serta kargo menggajikan kru warga asing.

Selain kesalahan-kesalahan ini, bot kargo itu juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu seorang kru warga asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Vesel berserta seorang nakhoda dan dua kru dibawa ke jeti Pangkalan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuai atau sengaja melanggar peruntukan undang-undang negara di Zon Maritim Malaysia.

Sebarang aduan, maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

KARGO AIR2

 

OP TUAI LAUT PERKUKUH KERJASAMA SEMPENA KEAMATAN

KOTA KINABALU, 4 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh sinergi strategik bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menerusi pelaksanaan OP TUAI LAUT, operasi penguatkuasaan maritim bersepadu sempena sambutan Pesta Kaamatan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Malaysia, Komander Maritim Siti Khairunnisak Abd Aziz, berkata, operasi yang bermula pada 28 Mei dan berakhir pada 2 Jun lalu merupakan kerjasama tahun ketiga antara kedua-dua perkhidmatan, dan dilihat sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang di perairan Sabah dan Labuan sentiasa dipantau ketat, khususnya ketika peningkatan pergerakan pelancong dan penumpang semasa musim perayaan.

Beliau turut berkata, penjenamaan semula operasi tahun ini kepada OP TUAI LAUT adalah simbolik kepada semangat perayaan dan kerjasama erat antara dua entiti penguat kuasa laut di negara ini.

“Walaupun pada musim cuti, ia bukan halangan kepada petugas Maritim Malaysia dan JLM untuk terus menjalankan tanggungjawab demi keselamatan pengguna laut,” tegas beliau.

Pelaksanaan operasi menyaksikan penglibatan seramai 40 anggota serta penggunaan empat aset bot dari kedua-dua agensi, dengan fokus pemantauan tertumpu di kawasan perairan Kota Kinabalu dan Wilayah Persekutuan Labuan yang mana lokasi utama keluar masuk pelancong dan penduduk dari tanah besar yang mencatat peningkatan signifikan semasa musim cuti sekolah dan Kaamatan.

OP TUAI LAUT turut dilengkapi pendekatan empat fasa, bermula dengan Fasa Pengenalan pada 15 Mei yang menyaksikan sesi perancangan strategik antara dua agensi. Ia disusuli Fasa Taklimat Undang-Undang pada 28 Mei membabitkan penerangan mengenai Akta APMM 2004 (Akta 633) dan Enakmen Perkapalan Saudagar 1952/1960.

Fasa Operasi pula berlangsung dari 29 Mei hingga 2 Jun, merangkumi pemeriksaan dan pemantauan di jeti serta rondaan laut secara bersama. Fasa terakhir, iaitu Debrief, diadakan selepas tamat operasi bagi menilai dapatan dan impak keberkesanan tindakan yang telah diambil.

Menariknya, OP TUAI LAUT turut diperkukuh dengan penglibatan bukan operasi (non-operational engagement) melibatkan aktiviti sukan dan sosial antara Maritim Malaysia dan JLM, yang secara tidak langsung merapatkan hubungan serta memperkukuh semangat kerjasama rentas agensi di Sabah Barat dan WP Labuan.

Penganjuran OP TUAI LAUT disifatkan sebagai satu inisiatif berimpak tinggi dalam menjamin keselamatan dan pematuhan undang-undang laut, sekali gus memberikan keyakinan kepada komuniti maritim serta pengunjung bahawa kehadiran penguat kuasa sentiasa konsisten dan bersedia, tidak kira musim perayaan.

 

OP TUAI LAUT6
 
OP TUAI LAUT3
 
OP TUAI LAUT
 
OP TUAI LAUT4

MARITIM NEGERI PERAK TAHAN VESEL NELAYAN TEMPATAN LANGGAR SYARAT SAH LESEN

LUMUT, 4 JUN  – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C yang menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak di kedudukan 8.5 batu nautika barat daya Sungai Tiang kerana didapati melanggar syarat sah lesen iaitu menjalankan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan pada sekitar jam 6.00 petang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, VNT tersebut dikesan ketika sedang menjalankan aktiviti perikanan ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan di kawasan tersebut.

Pemeriksaan lanjut mendapati, tekong dan awak-awak vesel yang terdiri daripada empat warga Myanmar memiliki dokumen pengenalan diri yang diragui kesahihannya.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan di kawasan larangan, serta di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melibatkan awak-awak yang tidak memiliki permit dan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Vesel, hasil tangkapan, dan peralatan menangkap ikan turut dirampas bagi siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia,” jelas Shukri.

Maritim Malaysia mengingatkan bahawa penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman di perairan negara sentiasa terpelihara.

Sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim boleh disalurkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak melalui talian 05-683 2254 untuk maklum balas segera.

 

LUMUT VESEL2

LANGGAR SYARAT LESEN : VESEL NELAYAN DITAHAN DI PERAIARAN SABAH

KOTA KINABALU, 4 JUN – Tindakan licik sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang menjalankan aktiviti menunda pukat secara haram di bawah tiga batu nautika dari pantai akhirnya memakan diri apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, penahanan dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin dengan bantuan sistem pemantauan dari Stesen Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel terbabit beroperasi kira-kira satu batu nautika Barat Laut dari Tanjung Tembungo.

“Ketika ditahan, ia sedang menunda pukat secara haram dan dikendalikan oleh seorang juragan bersama lima kru, kesemuanya warga Indonesia,” kata Khairulanuar.

Menurut beliau lagi, vesel tersebut melanggar syarat sah lesen di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang dilarang.

“Kesemua kru bersama muatan ikan campur seberat satu tan telah ditahan. Nilai rampasan termasuk hasil tangkapan dan vesel dianggarkan berjumlah RM45 ribu,” jelasnya.

Tambah Khairulanuar, penggunaan kaedah tunda tepi dalam lingkungan kurang tiga batu nautika bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam ekosistem marin.

“Kaedah ini boleh memusnahkan habitat semula jadi, menggugat kitaran pembiakan ikan, dan paling ketara menjejaskan sumber rezeki nelayan tradisional yang bergantung kepada kawasan pesisir pantai,” katanya.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan bersepadu di kawasan perairan tumpuan menerusi sistem SWASLA serta pengoperasian aset-aset maritim secara strategik.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti perikanan haram atau pencerobohan boleh menyalurkan aduan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-270165 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

KK VESEL2

ZON MARITIM MERSING LAKSANA OPERASI SAR DUA BERADIK LEMAS DI PULAU MENTIGI

MERSING, 4 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing telah menerima maklumat daripada Malaysia Rescue Sub Centre (MRSC) Johor untuk mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) pada jam 4.25 petang (Isnin, 2 Jun 2025) berikutan panggilan aduan kecemasan 999 mendapati dua mangsa lemas ketika berkelah di pantai Pulau Mentigi (Atau nama lainnya Pulau Tinggi) Mersing.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, bot PERKASA 44 telah diatur gerak ke lokasi sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut pada hari kejadian.

Menurut maklumat yang diterima, mangsa pertama, Nur Awatif Udaima Mohd Hisam, 24, telah di jumpai di lokasi insiden oleh komuniti berdekatan tempat kejadian pada jam 4.30 petang.

Bot PERKASA 44 dan komuniti pulau telah meluaskan sektor pencarian untuk mencari dan menyelamat mangsa kedua yang masih hilang.

Pada lokasi sama, mangsa kedua, Ahmad Uwais Al Qarni Mohd Hisam, 8, telah dijumpai hasil pencarian menyelam oleh komuniti pulau pada jam 6.30 petang.

Kedua-dua mangsa lemas telah dibawa ke Jeti Pulau Tinggi sebelum diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) untuk dibawa balik ke Jeti Shahbandar Mersing dan diserahkan kepada pihak hospital untuk urusan selanjutnya.

Dalam pada itu, Suhaizan mewakili pihak Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada agensi sahabat dan komuniti maritim yang terlibat sepanjang operasi CARILAMAT ini dilaksanakan.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen dalam memastikan nyawa dan harta benda serta keselamatan di perairan negara, khususnya di kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut,orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

LEMAS TINGGI
 
LEMAS TINGGI2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON