SINGAPURA, 9 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh kerjasama strategik di peringkat serantau dan antarabangsa melalui penyertaan dalam Pameran dan Persidangan Pertahanan Maritim Antarabangsa (IMDEX) Asia 2025 yang berlangsung dari 5 hingga 9 Mei di Singapura.
IMDEX Asia, yang telah diadakan secara dwi-tahunan sejak 1997, merupakan salah satu platform pertahanan maritim paling berprestij di dunia. Acara ini menghimpunkan pemimpin tertinggi tentera laut, coast guard, pemain industri global, dan pakar akademik untuk bertukar pandangan serta memperkukuh kerjasama berkaitan keselamatan maritim.
Pameran ini turut menampilkan teknologi terkini dan inovasi canggih dalam bidang pertahanan maritim, bagi mempersiapkan negara-negara peserta menghadapi cabaran masa hadapan.
Delegasi Maritim Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, turut menyertai Persidangan Keselamatan Maritim Antarabangsa ke-9 (IMSC), yang menjadi acara teras IMDEX Asia 2025.
Dengan tema 'Safe and Secure Seas', persidangan ini membincangkan isu-isu kritikal seperti cabaran geopolitik semasa, keperluan memperkukuh kerjasama serantau serta impak kemajuan teknologi ke atas landskap keselamatan maritim global.
Salah satu sorotan penting sepanjang penyertaan ini ialah lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Singapore Police Coast Guard (SPCG) di Pangkalan Brani, yang disambut oleh Commander SPCG, Senior Assistant Commissioner (SAC) Ang Eng Seng.
Lawatan ini memperkukuh hubungan dua hala dalam aspek latihan, operasi serta pemahaman keupayaan aset, teknologi dan fasiliti strategik yang dapat mempertingkat kecekapan operasi Maritim Malaysia.
Selain itu, Maritim Malaysia turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Republic of Singapore Navy dan Korea Coast Guard, yang memfokuskan kepada hala tuju kerjasama masa depan termasuk pemuktamadan memorandum persefahaman, pelaksanaan latihan bersama, perkongsian maklumat dan inisiatif pembangunan strategik.
Penyertaan Maritim Malaysia dalam IMDEX Asia 2025 membuktikan komitmen berterusan agensi dalam memperkukuh keselamatan maritim serantau melalui jalinan kerjasama erat dengan agensi-agensi maritim antarabangsa. Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi untuk memastikan perairan negara kekal aman, selamat dan stabil demi kesejahteraan serantau.













