LAHAD DATU, 8 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu telah menahan sebuah bot nelayan yang sedang melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan Felda Sahabat, Tungku, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, tangkapan dilakukan sekitar pukul 10.30 pagi oleh Pasukan bot ronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin di bawah OP PLUTO TIMUR 2/2013 dan OP TIRIS 3.0.
Bot berwarna putih biru tanpa nombor pendaftaran sah itu dikesan berada di posisi 4.1 batu nautika selatan Tanjung Tungku.
Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga asing berada di atas bot berumur 28 tahun, gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau permit sah untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara ini.
Menurut Dzulfikhar, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, dan akan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Nilai tangkapan adalah dalam lingkungan RM300 ribu.
Pihak Maritim Malaysia menegaskan komitmennya membanteras pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing serta aktiviti perikanan haram yang menjejaskan sumber hasil laut tempatan.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.











