KOTA KINABALU, 13 MEI – Tindakan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang beroperasi dalam keadaan mencurigakan membawa padah apabila ia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di kedudukan 31.6 batu nautika barat Tanjung Aru, sekitar jam 4.10 petang semalam.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, tangkapan dibuat ketika Kapal Peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan perairan Beting Menggalong.
“Pemeriksaan ke atas vesel terbabit yang dinaiki juragan dan lima kru mendapati mereka telah melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memenuhi keperluan keanggotaan minimum yang ditetapkan,” jelas beliau lagi.
Lebih mengejutkan, dua daripada kru didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri mahupun permit kerja yang sah, sekali gus melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“Vesel dan kru bersama muatan ikan campur seberat lebih kurang 900 kilogram telah ditahan kemudiannya diiringi ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM200 ribu,” tambah beliau.
Ujar beliau lagi, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang dan mengabaikan aspek keselamatan serta peraturan operasi di laut.
“Maritim Malaysia akan terus memperketatkan pemantauan, khususnya di kawasan panas yang dikenal pasti menjadi tumpuan vesel nelayan ingkar terhadap peraturan yang ditetapkan,” tegasnya.
Oleh itu, beliau menyeru kepada orang awam terutamanya komuniti maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.











