10
Wed, Jun

DUA NELAYAN HILANG DITEMUKAN LEMAS DI PERAIRAN BATU PAHAT

BATU PAHAT, 27 APRIL – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat selepas kejadian dua nelayan terjatuh ke laut berhampiran Kuala Sungai Suloh, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, pihaknya menerima aduan daripada anak salah seorang mangsa pada 12.20 tengah hari selepas kedua-dua nelayan gagal pulang sejak keluar ke laut pada 25 April, 3.00 petang.

“Bot PETIR 51 Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi sejurus aduan diterima. Mayat pertama, Mahat Rasiman, 77, ditemukan pada 1.00 tengah hari, diikuti mayat kedua, Mohamad Nizam Sarman, 51, kira-kira 45 minit kemudian, kedua-duanya di kedudukan sekitar 0.3 batu nautika barat daya Kuala Sungai Suloh,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai tergelincir dari bot gentian kaca ketika menangkap ikan. Kedua-dua mayat dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada polis untuk bedah siasat dan pengecaman ahli keluarga.

Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut, khususnya dalam keadaan cuaca buruk dan laut bergelora.

Sebarang maklumat kecemasan boleh disalurkan melalui talian hotline Zon Maritim Batu Pahat di 07-4344020 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

ORANG LEMAS2
 
ORANG LEMAS4
 
ORANG LEMAS3

BOT PENUMPANG DITAHAN MELAKUKAN PELBAGAI KESALAHAN

PELABUHAN KLANG, 27 APRIL – Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor pada kedudukan kira-kira 0.15 batu nautika Tenggara Sungai Lima, Pulau Ketam pada sekitar pukul 6.15 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot yang sarat dengan penumpang itu ditahan oleh KM DANGA yang sedang melaksanakan rutin rondaan dan OPERASI KHAS MARDOF di perairan Selangor.

Hasil pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati, terdapat dua lelaki warga tempatan, seorang berusia 60 tahun bertindak selaku nakhoda bot berkenaan dan seorang kru berusia 18 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu telah melakukan pelbagai kesalahan dibawah

Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, iaitu lesen dan insuran telah tamat tempoh dan membawa lebihan penumpang seramai 78 orang dan bot tersebut juga melakukan pengubahsuaian yang jelas melanggar syarat sah lesen.

Bot dan nakhoda dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah MSO.

Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim untuk sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi jika mendapati terdapat individu gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

BOT SALAH2

MARITIM MALAYSIA CEKUP VESEL NELAYAN TEMPATAN LANGGAR SYARAT LESEN DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 25 APRIL – Tindakan tidak bertanggungjawab sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C yang melanggar syarat sah lesen membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu dalam satu rondaan khas, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot terbabit dikesan melakukan aktiviti perikanan di kedudukan kira-kira 10.2 batu nautika dari Pantai Penipah, pada sekitar jam 7.00 pagi ketika rondaan OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019.

Hasil pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan telah menangkap ikan di zon larangan, iaitu kurang daripada 12 batu nautika dari pantai, yang jelas melanggar syarat lesen perikanan yang ditetapkan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bot berkenaan dikendalikan enam kru warga tempatan termasuk nakhoda, berumur di antara 28 hingga 54 tahun, yang kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bot bersama kru telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperketat kawalan serta penguatkuasaan undang-undang di perairan negara bagi memastikan sumber perikanan negara tidak dieksploitasi secara haram.

Maritim Malaysia menyeru komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di laut. Sebarang pelanggaran tidak akan dikompromi, tambah Muhammad Suffian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kejadian kecemasan di laut boleh menyalurkannya segera ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314 254 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432 544.

 

BINTULU LESEN2
 
BINTULU LESEN3

LATIHAN DECK LANDING, MARITIM MALAYSIA TLDM CATAT SEJARAH DI PERAIRAN SABAH

KOTA KINABALU, 25 APRIL – Evolusi latihan pendaratan helikopter (Deck Landing Training - DLT) mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mendarat di atas kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), KM BANGGI dalam satu latihan bersama yang berlangsung di perairan Sabah.

Latihan bersejarah ini merupakan sebahagian daripada Fasa Laut Penentuan Tahap Kecekapan Kapal (PTKK) bagi KM BANGGI dan KM IKHLAS, yang dilaksanakan oleh Cawangan Latihan dan Operasi (CLO), Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) dari 22 hingga 26 April.

Latihan melibatkan helikopter HOM AW139 dari Skuadron 503, Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK), dengan peranan kritikal dimainkan oleh pegawai Flight Deck Officer (FDO), Laskar Kanan Maritim Freddy bin Jango dan Helicopter Approach Controller (HAC), Laskar Kanan Maritim Farid bin Hussein.

Sesi persiapan termasuk dry run telah dilaksanakan terlebih dahulu melibatkan kru KM BANGGI dan KM ARAU, hasil bimbingan dan koordinasi rapi daripada pihak SUKK.

Kejayaan latihan ini menandakan pertama kali pendaratan helikopter luar, selain milik Maritim Malaysia, dilaksanakan di atas kapal luar pesisir pantai (OPV) KM BANGGI yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Komander Maritim Mahathir bin Mohammad.

Usaha ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memantapkan kesiapsiagaan anggota Maritim Malaysia, khususnya di Sabah, dalam menangani operasi pelbagai domain yang memerlukan sokongan udara di laut lepas.

Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen padu melalui platform Jawatankuasa Kerjasama Kecil (J3KAT Timur) TLDM – Maritim Malaysia yang memungkinkan koordinasi latihan ini berjalan dengan lancar dan berjaya.

 

 LANDING DECK5
 
LANDING DECK3
 
LANDING DECK4
 
493994356 1085289170291474 5346330968582448882 n1

MARITIM MALAYSIA LUPUS DADAH BERNILAI LEBIH RM67 RIBU MELALUI PROSEDUR SELAMAT

BUKIT RAMBAI, 25 APRIL – Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan melaksanakan proses pelupusan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM67,400 yang dirampas hasil beberapa operasi penguatkuasaan sepanjang tahun lalu di sini baru-baru ini.

Pegawai menanggung tugas Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Leftenan Komander Maritim Norrimi bin Hassan berkata, proses pelupusan yang dilaksanakan ini mengikut prosedur yang ketat dan terkawal di Medivest Sdn. Bhd. Bukit Rambai.

“Setiap sesi pelupusan dihadkan kepada maksimum 80 kilogram dadah dengan tempoh kira-kira 8 jam untuk proses penghancuran lengkap sehingga menjadi abu.

“Pelupusan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memerangi jenayah rentas sempadan, terutamanya penyeludupan dadah melalui perairan negara,” kata beliau lagi.

Norrimi turut memaklumkan, sisa abu hasil pelupusan tersebut akan disalurkan kepada syarikat berdaftar yang diiktiraf untuk tujuan penanaman abu secara sah dan terkawal, selaras dengan garis panduan pihak berkuasa.

Proses ini jelas beliau dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan tiada sisa yang boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar.

“Program ini bukan hanya mengenai pemusnahan dadah, tetapi ia juga mencerminkan kejayaan kerjasama antara Maritim Malaysia, agensi penguat kuasa lain dan komuniti tempatan dalam usaha menjaga keselamatan perairan negara,” tambahnya.

Tindakan ini juga menandakan langkah tegas Maritim Malaysia dalam membanteras kegiatan penyeludupan dadah yang berterusan, sekaligus memastikan perairan negara bebas daripada aktiviti jenayah yang boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat Malaysia.

Dengan pelaksanaan prosedur pelupusan yang ketat, Maritim Malaysia terus membuktikan komitmen agensi dalam memperkukuhkan keselamatan perairan Malaysia.

 

LUPUS RAMBAI2
 
LUPUS RAMBAI3
 
LUPUS RAMBAI4

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON