10
Wed, Jun

GAGAL PAMERKAN LESEN PERKAPALAN DALAM NEGERI, BOT TUNDA DITAHAN DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 8 APRIL  – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda di kedudukan 5 batu nautika barat laut Kuala Kemena, Bintulu pada sekitar pukul 12.10 tengah hari tadi.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda berwarna putih yang sedang belayar menuju laut lepas.

Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda warga Myammar dan seorang kru warga India. Kedua -dua mereka masing-masing berusia 28 tahun dan 27 tahun.

Bot tunda disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Lembaga Perlesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981 iaitu Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah tidak disimpan di atas kapal yang memperuntukan hukuman kompaun sebanyak RM5 ribu.

Bot tunda berserta dokumen telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi undnag-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Sebarang maklumat serta aduan, insiden atau maklumat mengenai aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.

 

GAGAL BINTULU2

ZON MARITIM KUALA KEDAH JAYAKAN PROGRAM PEMURNIAN ABU AL-QURAN

KUALA KEDAH, 8 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu telah melaksanakan Program Pelupusan Abu Pembakaran Teks Al-Quran Kali Pertama Tahun 2025 di perairan negeri Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, pelaksanaan program ini telah disempurnakan dengan kehadiran enam pegawai daripada PPD Kubang Pasu serta lapan pegawai dan anggota Zon Maritim Kuala Kedah diketuai oleh Leftenan Madya Maritim Mohamad Sikdiq bin Zulkifli.

Program yang julung kali diadakan ini melibatkan pelupusan sebanyak dua tan teks Al-Quran yang telah dibakar dan menghasilkan 200 kilogram abu yang kemudiannya dilupuskan melalui kaedah penenggelaman kira-kira 5.0 batu nautika dari Pulau Payar.

Kesemua abu berkenaan yang diletakkan secara berasingan di dalam 50 bungkusan plastik dibawa menggunakan bot PERKASA 1226 milik Maritim Malaysia.

Terdapat beberapa kaedah khusus yang perlu dilakukan sekiranya ingin melupuskan Al-Quran antaranya ialah dengan membakar Al-Quran tersebut di tempat yang sesuai dan abunya dihanyutkan ke dalam air sungai atau air laut yang deras.

Al-Quran juga boleh dibakar dan kemudian abunya ditanam ke dalam tanah atau Al-Quran yang sudah rosak boleh ditanam ke dalam tanah yang tidak dilalui orang atau binatang buas.

Dengan mengambil kira cara terbaik bagi melupuskan Al-Quran, kesemua abu Al-Quran berjaya dilupuskan dengan kaedah penenggelaman di laut bagi memastikan kesucian dan kemuliaan Al-Quran terpelihara.

Usai pelupusan dilakukan, sesi penyampaian cenderahati di antara PPD Kubang Pasu dan Zon Maritim Kuala Kedah telah diadakan sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih.

 

QURAN KEDAH3
 
QURAN KEDAH5

BOT REKREASI GAGAL KEMUKA LESEN DITAHAN DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 7 APRIL – Sebuah bot rekreasi memancing yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu dalam rondaan pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot berkenaan dikesan sekitar pukul 9.50 pagi di kedudukan 4.3 batu nautika utara Kuala Kemena oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, Op Tiris 3.0 dan Op Permai 01/2019.

Pemeriksaan mendapati bot tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen termasuk lesen bot. Bot berkenaan dikendalikan oleh seorang kru lelaki warga tempatan berusia 26 tahun, katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Kaedah-kaedah Bot 1953 kerana gagal mempamerkan dan mengemukakan dokumen serta lesen sah, yang jika disabitkan boleh dikenakan denda atau kompaun.

Susulan itu, bot bersama kru telah diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

Maritim Malaysia dalam pada itu menasihatkan komuniti maritim, khususnya pengusaha bot rekreasi dan nelayan, agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memastikan semua dokumen berkaitan bot lengkap dan sah sebelum ke laut.

Pemilik dan pengendali bot perlu menitikberatkan aspek pematuhan undang-undang dan keselamatan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini, tegas Suffian.

Sebarang aduan, maklumat atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314254, atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 untuk tindakan segera.

 

BOT REKREASI BINTULU2

CURI MASUK DAN ROMPAK HASIL LAUT, DUA VESEL NELAYAN VIETNAM DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KUDAT, 7 APRIL – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan dua Vesel Nelayan Asing (VNA) Vietnam yang sedang rancak merompak hasil laut negara di perairan Kudat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam yang diterima pihaknya. Susulan maklumat tersebut, dua aset rondaan Zon Maritim Kudat iaitu Bot CENDERAWASIH 10 dan ADAL 04 yang sedang melaksanakan Op Khas Pagar Laut digerakkan ke lokasi berkenaan sekitar pukul 3.15 petang.

“Sebaik tiba di kawasan sasaran kira-kira 11 batu nautika timur laut Pulau Sibogor, pasukan operasi mengesan dua VNA Vietnam sedang leka menjalankan aktiviti perikanan haram,

“Semasa cuba dihampiri, suspek bertindak memotong tali tunda serta membiarkan tali terjuntai panjang di bahagian belakang vesel serta memasang palang besi di bahagian kiri dan kanan vesel terbabit kerana enggan memberi kerjasama ketika diarahkan untuk berhenti,” jelas Hasbullah.

Namun, helah tersebut gagal apabila berlaku aksi kejar-mengejar selama 15 minit sebelum anggota Maritim berjaya melompat ke atas VNA berkenaan bagi menghentikannya.

Setelah penggeledahan dilakukan, kedua-dua bot nelayan terbabit disyaki melakukan aktiviti menunda dan menangkap balat dengan penemuan peralatan yang diperbuat daripada besi padu yang direka khas untuk menangkap balat.

Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot berkenaan juga turut menemui lebih kurang 45kg balat basah serta sekitar 500 liter minyak diesel dibawa setiap bot berkenaan.

Seramai 12 individu merupakan warganegara Vietnam berumur lingkungan 30 hingga 53 tahun ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Semua yang terbabit termasuk bot serta hasil laut diiring masuk ke Jeti untuk siasatan lanjut. Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan lebih RM4 juta. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.

Maritim Malaysia merakamkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh masyarakat awam khususnya komuniti maritim di sekitar perairan Kudat yang sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan salah laku yang berlaku di perairan ini.

 

KUDAT VIETNAM2

 

 

VNT DITAHAN DI TANJUNG KARANG, DUA WARGA ASING GAGAL KEMUKA DIOKUMEN SAH

PELABUHAN KLANG, 7 APRIL – Cubaan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B1 menangkap ikan secara haram di perairan Tanjung Karang gagal apabila ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dalam operasi petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 6.10 petang oleh sebuah Kapal Maritim yang sedang menjalankan rondaan rutin di kedudukan sekitar 9.2 batu nautika barat daya Tanjung Karang.

“Pemeriksaan mendapati vesel terbabit dikendalikan oleh seorang tekong lelaki, pemastautin tetap berusia 67 tahun, bersama dua awak-awak warga Indonesia berumur 43 dan 37 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” jelas beliau.

Selain itu, hasil siasatan awal turut mendapati vesel berkenaan melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk penggunaan mata pukat kurang daripada 38 milimeter yang dilarang dalam operasi penangkapan ikan.

Turut dirampas ialah kira-kira 100 kilogram ikan campur, dipercayai hasil tangkapan aktiviti yang menyalahi undang-undang. Ketiga-tiga individu bersama vesel dan hasil rampasan telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut dua akta utama iaitu Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat lesen serta kegagalan membawa dokumen pengenalan diri.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan lesen sah.

Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di perairan negeri Selangor bagi membanteras aktiviti perikanan haram di perairan negeri ini,” tegas Muhaimin lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui taliani 03-3176 0627 bagi tindakan segera.

 

KLANG VNT2
 
KLANG VNT3
 
KLANG VNT4

 

 

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON