22
Wed, Apr

KEJADIAN KELONG RUNTUH ; TUJUH SELAMAT, SEORANG PEMANCING DITEMUI MAUT

BATU PAHAT, 5 MEI – Detik cemas lapan pemancing di perairan Parit Hailam, Senggarang bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan maut selepas kelong yang disewa runtuh dilanda ribut, awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd Faizal Mohd Nor, 45, dilaporkan hilang selepas tercampak ke laut ketika kelong tempat mereka memancing ranap dipukul angin kencang dan ombak besar sekitar pukul 3.00 pagi. Kesemua mangsa berusia antara 31 hingga 52 tahun.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) segera digerakkan oleh Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru sejurus menerima maklumat kejadian.

“Tujuh pemancing lain termasuk lima rakyat tempatan dan tiga warga Indonesia sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada tiang kelong sebelum diselamatkan Bot PETIR 51 dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat,” katanya.

Operasi ini melibatkan aset Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan diteruskan sepanjang hari.

Mayat mangsa akhirnya ditemukan pada petang tadi di bawah runtuhan kelong oleh pasukan bomba sebelum dibawa ke pantai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Justeru, Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada agensi sahabat serta orang awam yang terlibat dalam Op CARILAMAT ini.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menasihati komuniti maritim agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti laut susulan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Sebarang kejadian kecemasan boleh dilaporkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui 999 untuk tindakan segera.

 

KELONG RUNTUH2
 
KELONG RUNTUH3
 
KELONG RUNTUH4
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON