10
Wed, Jun

MARITIM NEGERI PERAK TAHAN VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C

LUMUT, 11 JUN – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C yang menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak di kedudukan 22.5 batu nautika barat Hutan Melintang pada sekitar pukul 11.40 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, VNT itu dikesan oleh aset Maritim Malaysia dalam satu operasi yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Nashrun bin Abdul Ghani ketika melakukan rondaan di kawasan tersebut.

Pemeriksaan lanjut mendapati, tekong dan awak-awak vesel yang terdiri daripada lima warga Myanmar tidak mempunyai permit kebenaran bekerja daripada Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat lesen dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak memiliki pas yang sah serta majikan membenarkan pendatang tanpa izin memasuki atau mendiami di permis.

“Vesel, hasil tangkapan, dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut oleh,” ujar Kepten Maritim Mohamad Shukri.

Maritim Malaysia sentiasa memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang menerusi operasi dan rondaan bagi memastikan keselamatan dan keamanan di perairan negara sentiasa terpelihara.

Sebarang aduan, maklumat mengenai aktiviti jenayah dan insiden kecemasan yang berlaku di perairan negara, orang ramai boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05-683 2254) untuk maklum balas segera.

 

LUMUT TUND2
 
LUMUT TUND3

GABUNGAN KUASA DARAT DAN LAUT | MARITIM MALAYSIA DAN JPJ MANTAPKAN KERJASAMA

KOTA BHARU, 10 JUN – Satu kunjungan hormat telah diadakan oleh Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi bersama delegasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan ke atas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan, Tuan Mohd Misuari bin Abdullah, di pejabat JPJ Negeri Kelantan hari ini.

Kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua perkhidmatan serta membincangkan peluang kerjasama strategik dalam aspek pengurusan keselamatan, penguatkuasaan maritim dan darat serta perkongsian maklumat operasi yang lebih efektif di negeri Kelantan.

Kedua-dua pihak bersepakat untuk meneruskan komitmen terhadap usaha sama yang lebih kukuh dengan mewujudkan koordinasi yang lebih tersusun dan efisien dalam aspek penguatkuasaan undang-undang, khususnya berkaitan keselamatan jalan raya dan perairan negeri demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Kelantan terus menjadi keutamaan.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah para pegawai daripada kedua-dua agensi. Kunjungan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat dan berterusan antara Maritim Negeri Kelantan dan JPJ Kelantan dalam memperkukuh aspek keselamatan, penguatkuasaan dan kesejahteraan.

 

JPJ MARITIM MALAYSIA4
 
JPJ MARITIM MALAYSIA5
 
JPJ MARITIM MALAYSIA

ZON MARITIM MERSING LAKSANA BANTUAN EVAKUASI PESAKIT DARI PULAU TINGGI

MERSING, 9 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing melaksanakan satu operasi bantuan aset bagi membawa seorang pesakit warga emas dari Pulau Tinggi ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan lanjut di sini, hari ini.

Pesakit, Renah binti Mohd Tasan, 73, disyaki mengalami serangan strok selepas dilaporkan mengalami lemah separuh badan. Klinik Desa Pulau Tinggi telah memohon bantuan pemindahan kecemasan pada pukul 10.15 pagi tadi berikutan kekangan fasiliti dan keperluan rawatan segera.

Aset Maritim Malaysia, Bot Ronda PENGGALANG 43, telah diatur gerak dari pangkalan dan tiba di jeti Pulau Tinggi bagi melaksanakan bantuan aset.

Turut mengiringi pesakit ialah dua orang pegawai perubatan dari pasukan ‘rescue team’ Pulau Tinggi yang memastikan pesakit berada dalam keadaan stabil sepanjang perjalanan.

Bot ronda tersebut selamat tiba di Jeti Syahbandar Mersing pada pukul 11.45 pagi, dan pesakit telah diserahkan kepada pihak Hospital Mersing untuk rawatan lanjut.

Zon Maritim Mersing sentiasa bersiap siaga untuk memberikan bantuan aset kepada komuniti maritim yang memerlukan, khususnya di kawasan pulau yang sukar diakses melalui jalan darat.

 

MEDIVAC MERSING
 
MEDIVAC MERSING4

MARITIM MALAYSIA SANTUNI KOMUNITI TEMERLOK, RM1 JUTA DISALURKAN BAGI TUJUAN PEMBANGUNAN

TRONG, 10 JUN – Kampung Temerlok di Trong, Perak hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila menerima suntikan pembangunan bernilai RM1 juta menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI yang dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, komitmen Agensi ini tidak hanya terhad di lautan, tetapi kini diperluas ke daratan dengan memberi tumpuan kepada kesejahteraan masyarakat luar bandar yang memerlukan perhatian.

“Maritim Malaysia hari ini membuktikan bahawa peranan kami bukan sekadar menjaga keselamatan di laut, tetapi juga menyentuh hati rakyat melalui program kemasyarakatan dan projek komuniti bersasar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Korban dan Kerohanian APMM sempena Kampung Angkat MADANI di Kampung Temerlok, di sini pagi tadi.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Bahagian Perisikan (MIND) Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Md Fauzi bin Othman, Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia (BCLBB), Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh, Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Shukri bin Khotob, serta pegawai-pegawai kanan dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran pemimpin setempat iaitu Penghulu Tertinggi Daerah Larut, Matang dan Selama, YBrs. Ahmad Jais bin Rofiee, Penghulu Mukim Trong, YBrs. En Shahrul Nizam bin Abdul Rasid, Ketua Kampung Temerlok, YBrs. En Mohd Tahir bin Mohd Khalid, dan Ketua Kampung Tebok, YBrs. En Abu Hashim bin Abu Yazid.

Lima projek utama akan direalisasikan di bawah inisiatif peruntukan khas Kementerian Kewangan ini adalah merangkumi kerja-kerja pembinaan dan pembaikan Jeti Nelayan Sungai Tok Lin yang menjadi nadi ekonomi nelayan tempatan, pembaikan bumbung Sekolah Agama Rakyat Al-Mahmudiah bagi meningkatkan keselesaan pembelajaran, pembaikan Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Temerlok, pembaikan dan penyelenggaraan Masjid Al Mahmudiah dan pembersihan kawasan masjid serta tapak perkuburan Islam.

Pihak Maritim Malaysia dan penduduk kampung juga mengadakan gotong royong membersihkan kawasan kampung, kawasan masjid lama dan tanah perkuburan Islam di sana.

Selain itu, Masjid Al-Mahmudiah turut menerima sumbangan dua buah unit penghawa dingin yang diletakkan di bilik mesyuarat Masjid tersebut.

Lebih 150 pegawai dan anggota Maritim Malaysia dari Ibu Pejabat serta Maritim Negeri Perak berganding bahu bersama penduduk dalam gotong-royong komuniti, menjadikan majlis ini lebih bermakna dan penuh semangat kebersamaan.

Bersempena sambutan Aidiladha, Maritim Malaysia turut menyumbangkan tiga ekor lembu untuk ibadah korban untuk diagihkan kepada 200 orang penduduk kampung terdiri daripada warga emas, ibu tunggal serta golongan kurang berkemampuan.

“Program hari ini membawa mesej jelas, bahawa agensi penguat kuasa seperti Maritim Malaysia turut memainkan peranan sosial dalam menyemai semangat perpaduan dan memperjuangkan kesejahteraan komuniti,” ujar Datuk Haji Mohd Rosli.

Beliau turut menegaskan bahawa, usaha ini seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kasih sayang, keadilan sosial dan kepercayaan antara kerajaan dan rakyat.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyampaian ‘mock-up’ sumbangan penghawa dingin kepada wakil Masjid Al-Mahmudiah, penyerahan cenderahati kepada penghulu dan ketua kampung serta lawatan ke tapak projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.

Inisiatif Kampung Angkat MADANI ini bukan sekadar satu program bantuan, tetapi lambang keikhlasan agensi kerajaan dalam menyantuni rakyat dengan pendekatan mesra dan berimpak tinggi.

Kerajaan MADANI bersama agensi pelaksana seperti Maritim Malaysia terus membuktikan bahawa kemajuan bukan hanya di kota, tetapi turut dipacu hingga ke desa.

Pada hari ini, Kampung Temerlok menjadi bukti nyata bahawa suara rakyat di pinggir negara tidak pernah diabaikan, malah diberi perhatian demi kesejahteraan semua.

 

WhatsApp Image 2025 06 10 at 11.44.59 AM
 
WhatsApp Image 2025 06 10 at 11.44.59 AM 1
 
WhatsApp Image 2025 06 10 at 11.45.01 AM
 
WhatsApp Image 2025 06 10 at 12.03.16 PM

LANGGAR SYARAT SAH LESEN, VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

TANJUNG KARANG, 9 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B1 pada sekitar pukul 3.20 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, vesel nelayan itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia, KM DANGA dalam OP EHSAN / OP MURNI / OP TIRIS 3.0 ketika melakukan aktiviti perikanan di kedudukan lebih kurang 7.1 batu nautika Barat Daya Kampung Sungai Terap, Tanjung Karang, Selangor.

Hasil pemeriksaan mendapati, vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong dan tiga kru disyaki warga Myanmar dalam lingkungan umur 30 hingga 41 tahun.

Kesemua kru dan vesel dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana menggunakan mata pukat yang kurang daripada 38mm untuk menangkap ikan, meletakkan tanda kelas kapal tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan melakukan aktiviti perikanan di bawah lapan batu nautika dari pantai tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 013-6606652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia (03-89957820) untuk maklum balas segera.

 

TG KARANG VNT2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON