KUCHING, 4 MEI – Dua buah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas A bersama empat kru warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak selepas dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Haji Mohd Khairi bin Abd Aziz berkata, bot ronda Maritim Malaysia melakukan tangkapan itu ketika melakukan rondaan Op TIRIS 3.0 dan Op PERMAI 01/2019 kira-kira 4.58 batu nautika dan 6.6 batu nautika Timur Laut Pulau Burung sekitar pukul 1.30 tengah hari semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua buah vesel tersebut dikendalikan empat kru warga tempatan berumur antara 28 hingga 39 tahun itu telah melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda yang jelas telah melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua buah vesel tersebut turut didapati membawa serta memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan dalam buku perlesenan.
Kedua-dua buah vesel bersama semua kru telah diiring ke Jeti Kompleks Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Sebarang maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.












