08
Sel, Sep

Grid List

MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN

MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG

SEORANG LAGI MANGSA DITEMUKAN, OPERASI CARILAMAT MASUK HARI KETIGA

SEORANG LAGI MANGSA DITEMUI MENINGGAL DUNIA, DUA MASIH HILANG DI TANJUNG LOMPAT

BOT PENUMPANG BAWA LEBIH MUATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

DUA VESEL DITAHAN DISYAKI LAKUKAN AKTIVITI KAPAL KE KAPAL TANPA KEBENARAN

EMPAT REMAJA MASIH HILANG, OPERASI CARILAMAT DIAKTIFKAN DI PANTAI TANJUNG LOMPAT

MARITIM MALAYSIA BANTU PINDAHKAN PESAKIT SERANGAN JANTUNG DARI LANGKAWI

MENTERI DALAM NEGERI KETUAI TINJAUAN KESELAMATAN ESSZONE BERSAMA WAKIL 10 NEGARA, EU

SANDAKAN, 10 Ogos – Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, hari ini mengetuai lawatan tinjauan keselamatan ke Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Selingan bersama 14 wakil dari 10 negara serta Kesatuan Eropah (EU) bagi meninjau sendiri tahap keselamatan, kesiapsiagaan agensi keselamatan dan keberkesanan kawalan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Lawatan tersebut turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim; Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd. Majid @ Razali; Ketua Staf Bahagian Operasi Laut Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Laksamana Pertama Maritim Abdul Razak Mohamed; Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain, serta pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Maritim Malaysia dan agensi keselamatan berkaitan.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada delegasi antarabangsa mengenai situasi keselamatan semasa, tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan serta keberkesanan mekanisme kawalan yang dilaksanakan bagi memastikan ESSZONE kekal selamat, stabil dan kondusif.

Rombongan bertolak dari Jeti Maritim Malaysia, Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan menuju ke Pulau Bakungan Kecil sebelum meneruskan lawatan ke Pulau Selingan.

Di Pulau Bakungan Kecil, delegasi diberikan walking brief berkaitan aspek keselamatan kawasan sebelum menerima taklimat daripada Taman-Taman Sabah mengenai pengurusan kawasan perlindungan marin, usaha pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan ekopelancongan. Rombongan turut menandatangani buku pelawat, menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada petugas serta mengadakan sesi bergambar.

Lawatan kemudiannya diteruskan ke Pulau Selingan bagi meninjau kawasan penetasan penyu serta menyaksikan pelaksanaan Program Turtle Nest Adoption, antara inisiatif pemuliharaan spesies penyu yang dilaksanakan oleh Taman-Taman Sabah. Delegasi turut menerima taklimat keselamatan dan berinteraksi dengan wakil agensi yang terlibat.

Sepanjang lawatan, delegasi turut diberi penerangan mengenai pelaksanaan rondaan bersepadu, kesiapsiagaan aset serta kerjasama strategik antara Maritim Malaysia, ESSCOM dan agensi keselamatan lain dalam memastikan keselamatan ESSZONE sentiasa berada pada tahap terbaik.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara, di samping meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap Sabah sebagai destinasi yang selamat untuk pelancongan, pelaburan dan pembangunan.

Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan, operasi penguatkuasaan dan kerjasama strategik bersama Kementerian Dalam Negeri, ESSCOM serta agensi keselamatan lain bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan Sabah Timur sentiasa terpelihara.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan di talian 089-229 504 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

KEMBARA MERDEKA JALUR GEMILANG MARITIM NEGERI SABAH DAN W.P. LABUAN SEMARAK SAMBUTAN HKHM 2026

TUARAN, 9 Ogos — Kembara Merdeka Jalur Gemilang Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan di daerah Tuaran hari ini dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Program yang berlangsung di Sulaman, Tuaran itu menyaksikan warga setempat bersama peserta daripada SKILLBOX@ Kelab Malaysiaku Sabah dan W.P. Labuan mengibarkan serta mengagihkan Jalur Gemilang kepada masyarakat.

Kembara berkenaan turut melalui beberapa lokasi termasuk Futsal Arena, Petronas KKIP dan Pusat Latihan RELA, Tuaran sebelum diteruskan dengan aktiviti berjalan kaki sejauh tiga kilometer sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Penganjuran program itu mencerminkan komitmen Maritim Malaysia dalam menyokong usaha memperkukuh semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara menerusi penglibatan warga serta komuniti setempat.

Kembara Merdeka Jalur Gemilang Maritim Malaysia Sabah dan W.P. Labuan akan diteruskan ke daerah Penampang dan Putatan pada 12 Ogos ini.

Program tersebut turut mendukung inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) serta tema sambutan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.

Maritim Malaysia menyeru masyarakat agar bersama-sama menyemarakkan sambutan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang perpaduan, identiti dan kecintaan kepada Malaysia.

PROGRAM IKHTIAR HIDUP DAN SAHSIAH DIRI PASKAM UMPSA PERKUKUH JATI DIRI KADET

KUANTAN, 22 Julai – Seramai 48 Kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Siri 3/2025 telah menyertai Program Ikhtiar Hidup dan Sahsiah Diri yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Hutan Lipur Sungai Pandan, Kuantan, dari 15 hingga 17 Julai lalu.

Program yang dikendalikan dengan kerjasama pegawai, jurulatih dan fasilitator PASKAM itu bertujuan membentuk kepimpinan, memupuk semangat berpasukan, memperkukuh kemahiran komunikasi serta meningkatkan pengetahuan peserta mengenai asas ikhtiar hidup sebagai persediaan menghadapi pelbagai situasi kecemasan.

Sepanjang program berlangsung, para kadet mengikuti pelbagai aktiviti termasuk latihan fizikal, water confidence, kembara malam, jungle trekking, latihan ikhtiar hidup serta pengisian kerohanian menerusi solat berjemaah bagi membentuk keseimbangan aspek fizikal, mental dan rohani.

Program turut diserikan dengan lawatan Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab, yang menyampaikan amanat dan suntikan motivasi kepada para peserta.

Beliau berkata, program seumpama ini merupakan platform terbaik dalam membentuk modal insan yang berdisiplin, berintegriti serta memiliki daya tahan tinggi selaras dengan nilai-nilai yang diterapkan oleh Maritim Malaysia.

Menurut beliau, selain menguji ketahanan fizikal dan mental, program ini turut membina keyakinan diri, semangat kepimpinan dan keupayaan membuat keputusan dalam kalangan kadet sebagai persediaan melahirkan pelapis yang berkualiti untuk sektor maritim negara.

Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Mohd Marmizi bin Md Nor. Turut hadir ialah Ketua Cawangan PSMM dan PASKAM, Bahagian Sumber Manusia, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Komander Maritim Fadli Hisham bin Muhammad.

Program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dalam memperkukuh jati diri, meningkatkan ketahanan fizikal dan mental serta memupuk nilai kepimpinan dan semangat berpasukan, sekali gus melahirkan kadet PASKAM yang lebih kompeten, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan.

PROGRAM KONSERVASI TAMAN NEGERI PULAU SEMBILAN 2026

LUMUT, 24 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem marin menerusi penyertaan dalam Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Negeri Pulau Sembilan, Perak semalam.

Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’ifullah Shah.

Program ini melibatkan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkepentingan dalam kerjasama strategik dalam memelihara khazanah alam serta memastikan kelestarian ekosistem marin negara.

Dalam program tersebut, IPMN Perak telah menggerakkan penglibatan anggotanya menerusi pelbagai aktiviti pemuliharaan, antaranya propagasi karang, penanaman pokok ambong di Pulau Lalang, pembersihan kawasan pantai serta rondaan di sekitar perairan Kepulauan Sembilan.

Penyertaan ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin, malah turut memperlihatkan peranan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama rentas agensi dan sektor bersama kerajaan, pihak swasta serta pihak berkepentingan dalam melindungi alam sekitar dan sumber marin negara.

Aktiviti pembersihan pantai dan pengurusan sisa yang dilaksanakan sepanjang program turut menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai dan kelestarian ekosistem marin.

PASKAM UMPSA PERKASA ILMU PELAYARAN DAN KEPIMPINAN KADET MELALUI LATIHAN DI PULAU TIOMAN

PULAU TIOMAN, 22 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan Program Latihan Pelayaran PASKAM UMPSA Siri 2/2024 selama dua hari bermula 18 hingga 19 Julai 2026 di Pusat Taman Laut Pulau Tioman.

Seramai 49 kadet mengikuti latihan ini menerusi penglibatan aset Maritim Malaysia iaitu Kapal Maritim (KM) SEBATIK, KM TATAU serta bot PERKASA 1245 dan PERKASA 1246.

Sepanjang program, para kadet diberikan pendedahan secara langsung mengenai operasi di atas kapal Maritim Malaysia menerusi pelaksanaan beberapa evolusi latihan seperti penggeledahan, Man Overboard (MOB), prosedur keselamatan, latihan water confident serta aktiviti perkhemahan dan khidmat komuniti di pulau berkenaan

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan berkata, program seumpama ini merupakan platform terbaik dalam membentuk bakal pegawai maritim yang bukan sahaja memiliki pengetahuan asas pelayaran, malah mempunyai disiplin, ketahanan mental serta semangat kerja berpasukan yang tinggi.

Beliau berkata, pendedahan awal terhadap operasi sebenar di laut akan memberi nilai tambah kepada para kadet sebagai persediaan sebelum menamatkan latihan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan maritim yang berkualiti.

Tambah beliau, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan UMPSA akan terus diperkukuhkan bagi melahirkan lebih ramai graduan yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran dalam sektor keselamatan maritim negara.

Program sepanjang dua hari itu berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik dan semua peserta serta aset yang terlibat berjaya menamatkan latihan dengan selamat.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Mohd Marmizi bin Md Nor di Jeti Taman Laut Pulau Tioman sebelum kesemua peserta bergerak pulang ke Pos Maritim Teluk Gading.

Turut hadir menyertai program ialah Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMPSA, Prof. Madya Dr. Mohd Razali bin Daud, Penolong Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar), Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMPSA serta Komander Maritim Fadli Hisham bin Muhammad, Cawangan PSMM dan PASKAM, Bahagian Sumber Manusia, Ibu Pejabat APMM.

Lebih banyak artikel..

Grid List

SEJARAH TERCIPTA, 127 KADET DITAULIAHKAN SEBAGAI LEFTENAN MUDA PASKAM

PEKAN, 5 SEPTEMBER – Seramai 127 Pegawai Kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) hari ini ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM selepas berjaya menamatkan latihan selama empat semester yang meliputi pembentukan disiplin, kepimpinan, ketahanan fizikal dan mental serta semangat kerja berpasukan.

Pentauliahan ini mencipta sejarah apabila buat julung kalinya dilaksanakan secara bersama melibatkan tiga Universiti Awam, iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 49 kadet daripada UMPSA, 30 kadet daripada UMT dan 48 kadet daripada UniMAP telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.

Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi berkata, pentauliahan itu bukan sekadar menandakan kejayaan menamatkan latihan, malah menjadi manifestasi kejayaan melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, berjiwa patriotik serta mempunyai kepimpinan dan jati diri yang tinggi.

"PASKAM bukan sekadar platform latihan berkawad atau aktiviti kokurikulum, sebaliknya medium membentuk mahasiswa yang memahami erti tanggungjawab, kepimpinan, kesetiaan, keberanian serta kesediaan berkhidmat demi agama, bangsa dan negara," katanya.

Beliau berkata, PASKAM turut berperanan memperkenalkan mahasiswa kepada dunia maritim melalui pendedahan terhadap aspek keselamatan, penguatkuasaan, kepimpinan dan tanggungjawab mempertahankan kepentingan serta kedaulatan negara di laut.

Sehingga kini, seramai 240 kadet aktif PASKAM berada di tiga universiti berkenaan, melibatkan 94 kadet di UMPSA, 65 kadet di UMT dan 81 kadet di UniMAP.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan institusi pengajian tinggi menerusi PASKAM bukan sahaja memperkukuh pembangunan modal insan, malah menjadi platform melahirkan bakal pemimpin muda yang memiliki sahsiah unggul, ketahanan diri, semangat patriotisme dan kesedaran tinggi terhadap keselamatan maritim negara.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed berkata, penganjuran majlis secara bersama melibatkan tiga universiti awam merupakan satu detik bersejarah dalam perkembangan PASKAM di institusi pengajian tinggi negara.

Menurut beliau, sejak penubuhannya pada 21 September 2016, PASKAM telah berkembang daripada sebuah platform latihan beruniform kepada medium pembangunan kepimpinan mahasiswa yang menekankan disiplin, integriti, semangat berpasukan dan kesiapsiagaan.

"PASKAM bukan sekadar membentuk mahasiswa yang berdisiplin, malah melahirkan individu yang mampu membuat keputusan secara matang, memimpin dengan berintegriti serta sentiasa bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan," katanya.

Beliau turut menyifatkan kerjasama antara UMPSA dan Maritim Malaysia sebagai satu ekosistem strategik yang menyokong pembangunan modal insan dan ilmu, termasuk menerusi penerbitan buku OP NAGA BARAT: Analisis Strategi, Ekonomi dan Pendakwaan dari Perspektif Maritim Malaysia, yang memperkukuh pemahaman berkaitan keselamatan maritim daripada perspektif strategik, ekonomi, perundangan dan penguatkuasaan.

Pentauliahan 127 Leftenan Muda PASKAM ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berdisiplin, berintegriti, berwibawa serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi dalam mendukung usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan maritim negara.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC