08
Sel, Sep

Grid List

MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN

MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG

SEORANG LAGI MANGSA DITEMUKAN, OPERASI CARILAMAT MASUK HARI KETIGA

SEORANG LAGI MANGSA DITEMUI MENINGGAL DUNIA, DUA MASIH HILANG DI TANJUNG LOMPAT

BOT PENUMPANG BAWA LEBIH MUATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

DUA VESEL DITAHAN DISYAKI LAKUKAN AKTIVITI KAPAL KE KAPAL TANPA KEBENARAN

EMPAT REMAJA MASIH HILANG, OPERASI CARILAMAT DIAKTIFKAN DI PANTAI TANJUNG LOMPAT

MARITIM MALAYSIA BANTU PINDAHKAN PESAKIT SERANGAN JANTUNG DARI LANGKAWI

HUT-21 | HARI TERBUKA KAPAL MARITIM NEGERI PAHANG DISAMBUT MERIAH DI POS MARITIM TELUK GADING

ROMPIN, 20 FEBRUARI – Kira-kira 1,000 pengunjung membanjiri Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin sempena Program Hari Terbuka Kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-21, pada 15 Februari yang lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu berjaya menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, keluarga dan komuniti sekitar Kuala Rompin serta Endau.

Penganjuran bertemakan “Maritim Diperkasa, Samudera Terpelihara” mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkasa keupayaan operasi dan memperkukuh kesiapsiagaan anggota demi memastikan perairan negara kekal selamat dan terpelihara.

Sepanjang program, tiga kapal iaitu KM TATAU, KM MANJUNG dan KM MERSUJI dipamerkan kepada orang ramai bersama empat bot operasi Penggalang 14, Perkasa 31, Perkasa 44 dan Perkasa 46.

Pengunjung berpeluang menaiki aset, meninjau fasiliti dalaman serta mendapatkan penerangan secara langsung daripada anggota bertugas. Bot Perkasa 46 turut menyediakan aktiviti boat ride bagi memberi pengalaman simulasi operasi maritim kepada pengunjung.

Program turut diserikan dengan reruai pameran Unit Komunikasi Korporat dan Seksyen Keselamatan Maritim Negeri Pahang serta penyertaan agensi luar iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Rompin, Bank Simpanan Nasional Cawangan Rompin dan Pejabat Kesihatan Daerah Rompin yang menyediakan pemeriksaan kesihatan asas kepada pengunjung.

Secara keseluruhan, penganjuran Hari Kapal Terbuka ini mencapai objektif yang ditetapkan dalam memperkukuh hubungan strategik antara agensi kerajaan dan komuniti maritim setempat, di samping meningkatkan kesedaran awam terhadap peranan serta fungsi Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama di perairan negara.

OPEN SHIP
 
OPEN SHIP3
 
OPEN SHIP4
 
OPEN SHIP5

MARITIM MALAYSIA HADIR PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA KDN SEMPENA IHYA' RAMADAN

PUTRAJAYA, 19 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini turut menyertai Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) sempena program Ihya’ Ramadan, yang berlangsung dalam suasana penuh penghayatan dan semangat kebersamaan di Auditorium Kompleks Setia Perkasa 8, Putrajaya.

Maritim Malaysia telah diwakili oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah, selaku wakil rasmi agensi bersama barisan pegawai kanan KDN serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, serta Ketua Setiausaha KDN, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman.

Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada KDN dan seluruh warga agensi penguatkuasaan di bawahnya atas komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan serta keselamatan sempadan negara, menjaga ketenteraman awam, di samping memperkasa integriti, meningkatkan profesionalisme dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa semangat kerjasama strategik antara jabatan dan agensi termasuk Maritim Malaysia akan terus menjadi elemen penting dalam memastikan keselamatan negara kekal terpelihara, khususnya melibatkan aspek keselamatan perairan dan sempadan maritim negara.

Majlis turut diserikan dengan pengisian rohani melalui tazkirah bertajuk 'Madrasah Ramadan' yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Ali@Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, yang menekankan Ramadan sebagai medan tarbiah, pembentukan sahsiah serta pemerkasaan nilai murni dalam kehidupan dan perkhidmatan.

Penganjuran program Ihya’ Ramadan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim antara kepimpinan negara dan warga KDN, malah menjadi platform mempertingkat penghayatan Ramadan serta memperteguh iltizam penjawat awam dalam melaksanakan amanah demi keselamatan dan kesejahteraan negara.

PMX KDN
 
PMX KDN3
 
PMX KDN6
 
PMX KDN5

HUT-21 | DUA DEKAD KECERMELANGAN MARITIM : AMSAS ZAHIRKAN KESYUKURAN

KUANTAN, 15 FEBRUARI – Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) telah menganjurkan Program Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat bersempena Hari Ulang Tahun (HUT) Ke-21 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Al-Mustaghfirin, AMSAS baru-baru ini.

Program ini sebagai tanda kesyukuran atas 21 tahun dedikasi Maritim Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan perairan negara, di samping memperkukuh nilai integriti dan penghayatan spiritual warga akademi.

Majlis turut diisi dengan tazkirah bertajuk “Integriti Tunjang Kedaulatan Maritim” yang disampaikan oleh Ustaz Johari bin Othman, Ketua Cawangan Agama, Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman serta pelaksanaan Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat agar Maritim Malaysia terus dikurniakan kekuatan dan keberkatan dalam mendepani cabaran semasa.

Turut hadir ialah Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama Maritim Hamizan bin Harun, barisan Pengurusan Tertinggi (PTA), pegawai-pegawai Kanan, warga AMSAS dan Pelatih Kursus Asas Leftenan Muda Maritim Siri 13/2025 serta Pelatih Kursus Asas Laskar Kelas II Maritim Siri 19/2025.

SYUKUR AMSAS
 
SYUKUR AMSAS4
 
SYUKUR AMSAS5
 
SYUKUR AMSAS6

MARITIM MALAYSIA DAN UNITAR PERKUKUH PEMBANGUNAN KEPIMPINAN WANITA DI AMSAS

KUANTAN, 17 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh keupayaan modal insan dan profesionalisme warga wanita Agensi menerusi penganjuran 'Leadership Training for Female Officers' dengan kerjasama United Nations Institute Training And Research (UNITAR) yang berlangsung dari 9 hingga 13 Februari 2026 lalu di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS).

Kursus berkenaan dianjurkan sebagai platform pembangunan latihan strategik bagi memberi pendedahan kepimpinan kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia wanita khususnya supaya berketerampilan dan mempunyai kepimpinan terutama dalam membentuk satu organisasi penguatkuasaan maritim secara menyeluruh.

Kursus Kepimpinan tersebut turut memberi peluang kepada peserta menimba ilmu dan pengalaman secara langsung daripada tenaga pengajar berkemahiran tinggi, selain meningkatkan tahap kompetensi dan kemahiran dalam aspek penyampaian latihan serta pengurusan modul latihan profesional.

Seramai 10 pegawai wanita dan 20 pegawai lain-lain pangkat wanita Maritim Malaysia terlibat dalam kursus ini yang dibimbing oleh Annita Clarke, jurulatih UNITAR yang mempunyai kepakaran khusus dalam pembangunan kepimpinan kepolisan, kejurulatihan dan latihan maritim.

Menurut Maritim Malaysia, penganjuran kursus ini membawa manfaat besar dalam memperkukuh kepimpinan dan pengurusan dikalangan pegawai wanita dan pegawai lain-lain pangkat wanita Agensi melalui pembangunan kepimpinan tenaga pengajar yang berpengetahuan, berkemahiran dan bertauliah, sekali gus menyokong pelaksanaan tugasan penguatkuasaan maritim yang semakin mencabar.

Selain itu, kursus ini turut menjadi platform penting mengumpulkan golongan wanita yang merupakan golongan minoriti tetapi penting dalam penguatkuasaan dan CARILAMAT di laut. Pelaksanaan kursus ini mencerminkan bahawa Maritim Malaysia mengangkat kepentingan dan fungsi golongan wanita dalam pertukaran ilmu, kepakaran dan pengalaman serta amalan terbaik antarabangsa.

Selaras dengan kerangka Malaysia MADANI, pelaksanaan kursus kepimpinan ini mencerminkan komitmen Maritim Malaysia dalam memperkasa pembangunan modal insan yang berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Para peserta didedahkan dengan keperluan kepimpinan, kepimpinan organisasi penguatkuasaan, kepimpinan semasa bencana, pengurusan, pengurusan emosi dan sebagainya. Beberapa konsep seperti SMARTER, CAR, METHANE dan JDM telah didedahkan kepada peserta. Kursus tersebut banyak menggunakan teknik 'role play' dalam penyampaian ilmu pengetahuan supaya pengalaman jurulatih dapat dikongsikan secara berkesan disamping memastikan penglibatan semua peserta.

Maritim Malaysia menghargai kerjasama strategik bersama rakan antarabangsa seperti UNITAR dalam memperkukuhkan sumber manusia khususnya dalam kalangan anggota wanita maritim di samping meningkatkan tahap profesionalisme penguatkuasaan maritim negara selaras dengan usaha mempertingkatkan keselamatan perairan dan membanteras jenayah rentas sempadan.

UNITAR AMSAS

LATIHAN KECEKAPAN PENYELAM PENYELAMAT PERKUKUH KEMAHIRAN, HADAPI OPERASI SEBENAR

KUANTAN, 15 FEBRUARI - Pusat Selam Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) telah berjaya melaksanakan Latihan Kecekapan Penyelam Penyelamat APMM Siri 1/2026 yang berlangsung selama lima (5) hari bermula 9 hingga 13 Februari 2026 bertempat di AMSAS baru-baru ini.

Latihan ini melibatkan seramai tiga (3) pegawai dan 15 anggota Penyelam Penyelamat yang terdiri daripada Markas Selam Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (PTK), Skuadron Selam Negeri, Skuadron Gempur Semenanjung (SGS) serta penyelam dari luar unit skuadron. Penganjuran latihan ini bertujuan memperkukuhkan tahap kecekapan, profesionalisme serta kesiapsiagaan pasukan selam Maritim Malaysia dalam melaksanakan operasi menyelam Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

Sepanjang latihan, peserta telah melalui dua fasa utama iaitu latihan di kolam dan tasik, bagi mensimulasikan persekitaran operasi yang berbeza serta mencabar. Antara skop latihan yang dilaksanakan adalah: Pencarian Bawah Air (Underwater Searching), Underwater Confined Space Rescue, Underwater Salvage dan Prosedur keselamatan kecemasan penyelam.

Selain meningkatkan kemahiran teknikal anggota, latihan ini turut memberi penekanan kepada pembangunan operator penyelam senior dalam aspek penyeliaan dan pengurusan latihan serta operasi selaman. Pendekatan ini penting bagi memastikan kesinambungan kepakaran, pematuhan prosedur keselamatan dan standard operasi sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Maritim Malaysia komited dalam memperkasakan keupayaan pasukan selam sebagai antara elemen penting dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), penguatkuasaan serta bantuan kemanusiaan di perairan negara.

Syabas dan tahniah kepada semua anggota yang terlibat atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang latihan ini.

PENYELAM AMSAS3
 
PENYELAM AMSAS4
 
PENYELAM AMSAS
 
PENYELAM AMSAS5




Lebih banyak artikel..

Grid List

SEJARAH TERCIPTA, 127 KADET DITAULIAHKAN SEBAGAI LEFTENAN MUDA PASKAM

PEKAN, 5 SEPTEMBER – Seramai 127 Pegawai Kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) hari ini ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM selepas berjaya menamatkan latihan selama empat semester yang meliputi pembentukan disiplin, kepimpinan, ketahanan fizikal dan mental serta semangat kerja berpasukan.

Pentauliahan ini mencipta sejarah apabila buat julung kalinya dilaksanakan secara bersama melibatkan tiga Universiti Awam, iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 49 kadet daripada UMPSA, 30 kadet daripada UMT dan 48 kadet daripada UniMAP telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.

Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi berkata, pentauliahan itu bukan sekadar menandakan kejayaan menamatkan latihan, malah menjadi manifestasi kejayaan melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, berjiwa patriotik serta mempunyai kepimpinan dan jati diri yang tinggi.

"PASKAM bukan sekadar platform latihan berkawad atau aktiviti kokurikulum, sebaliknya medium membentuk mahasiswa yang memahami erti tanggungjawab, kepimpinan, kesetiaan, keberanian serta kesediaan berkhidmat demi agama, bangsa dan negara," katanya.

Beliau berkata, PASKAM turut berperanan memperkenalkan mahasiswa kepada dunia maritim melalui pendedahan terhadap aspek keselamatan, penguatkuasaan, kepimpinan dan tanggungjawab mempertahankan kepentingan serta kedaulatan negara di laut.

Sehingga kini, seramai 240 kadet aktif PASKAM berada di tiga universiti berkenaan, melibatkan 94 kadet di UMPSA, 65 kadet di UMT dan 81 kadet di UniMAP.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan institusi pengajian tinggi menerusi PASKAM bukan sahaja memperkukuh pembangunan modal insan, malah menjadi platform melahirkan bakal pemimpin muda yang memiliki sahsiah unggul, ketahanan diri, semangat patriotisme dan kesedaran tinggi terhadap keselamatan maritim negara.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed berkata, penganjuran majlis secara bersama melibatkan tiga universiti awam merupakan satu detik bersejarah dalam perkembangan PASKAM di institusi pengajian tinggi negara.

Menurut beliau, sejak penubuhannya pada 21 September 2016, PASKAM telah berkembang daripada sebuah platform latihan beruniform kepada medium pembangunan kepimpinan mahasiswa yang menekankan disiplin, integriti, semangat berpasukan dan kesiapsiagaan.

"PASKAM bukan sekadar membentuk mahasiswa yang berdisiplin, malah melahirkan individu yang mampu membuat keputusan secara matang, memimpin dengan berintegriti serta sentiasa bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan," katanya.

Beliau turut menyifatkan kerjasama antara UMPSA dan Maritim Malaysia sebagai satu ekosistem strategik yang menyokong pembangunan modal insan dan ilmu, termasuk menerusi penerbitan buku OP NAGA BARAT: Analisis Strategi, Ekonomi dan Pendakwaan dari Perspektif Maritim Malaysia, yang memperkukuh pemahaman berkaitan keselamatan maritim daripada perspektif strategik, ekonomi, perundangan dan penguatkuasaan.

Pentauliahan 127 Leftenan Muda PASKAM ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berdisiplin, berintegriti, berwibawa serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi dalam mendukung usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan maritim negara.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC