08
Sel, Sep

Grid List

MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN

MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG

SEORANG LAGI MANGSA DITEMUKAN, OPERASI CARILAMAT MASUK HARI KETIGA

SEORANG LAGI MANGSA DITEMUI MENINGGAL DUNIA, DUA MASIH HILANG DI TANJUNG LOMPAT

BOT PENUMPANG BAWA LEBIH MUATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

DUA VESEL DITAHAN DISYAKI LAKUKAN AKTIVITI KAPAL KE KAPAL TANPA KEBENARAN

EMPAT REMAJA MASIH HILANG, OPERASI CARILAMAT DIAKTIFKAN DI PANTAI TANJUNG LOMPAT

MARITIM MALAYSIA BANTU PINDAHKAN PESAKIT SERANGAN JANTUNG DARI LANGKAWI

BENGKEL PENGURUSAN KENDERAAN & KEWANGAN IBU MARITIM NEGERI SABAH & W.P LABUAN

SANDAKAN, 17 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah & W.P. Labuan telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Kenderaan & Kewangan Tahun 2026 pada 16 hingga 17 Julai 2026 di Hotel Elopura, Sandakan, melibatkan 35 peserta daripada tujuh Pusat Tanggungjawab (PTJ).

Bengkel telah dirasmikan oleh Pengarah Maritim Negeri Sabah & W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd. Majid @ Razali. Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pengangkutan, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Kepten (M) Nik Kamaruddin bin Yunoh.

Dalam ucapannya, Pengarah Maritim Negeri Sabah & W.P. Labuan menekankan kepentingan pemerkasaan tadbir urus pengurusan kenderaan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta mengelakkan isu berulang dalam penemuan audit.

Sepanjang bengkel, peserta mengikuti sesi perkongsian daripada wakil Bahagian Pengangkutan, Ibu Pejabat Maritim Malaysia dan Bahagian Audit Dalam, Kementerian Dalam Negeri Cawangan Sabah mengenai amalan terbaik dalam pengurusan kenderaan kerajaan. Bengkel ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kompetensi pegawai serta penyelia kenderaan selaras dengan kehendak W.P. 4.1: Pengurusan Kenderaan Kerajaan.

SUMS CIPTA PENGALAMAN BERMAKNA BUAT ANAK-ANAK LILTLE CALIPHS

SUBANG, 17 Julai – Pendidikan awal mengenai peranan agensi keselamatan negara terus diperkasa melalui lawatan sambil belajar seramai 50 orang pelajar dan 10 guru Tadika Khalifah Puncak Alam (Little Caliphs) ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) hari ini.

Delegasi lawatan disambut mesra oleh wakil Ketua Stesen Udara Maritim Subang, Komander Maritim Mohd. Hafizi bin Hj. Mohd. Nor bersama pegawai dan anggota Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial dan penglibatan komuniti Maritim Malaysia dalam usaha memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta meningkatkan kesedaran mengenai peranan penting Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan maritim negara.

Sepanjang lawatan, para peserta didedahkan kepada pelbagai pengisian interaktif termasuk pameran mengenai fungsi dan peranan Operasi Udara Maritim Malaysia, demonstrasi tugas mencari dan menyelamat (SAR), pengenalan kepada aset-aset udara yang digunakan dalam operasi harian serta penerangan berkaitan aspek keselamatan di laut.

Pendedahan ini bukan sahaja memberi kefahaman tentang kepentingan keselamatan maritim, malah menyemai minat serta penghargaan terhadap pengorbanan warga Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Kemuncak program menyaksikan para pelajar berpeluang melawat hangar dan melihat sendiri aset udara Maritim Malaysia dari jarak dekat. Mereka turut diberi peluang memasuki pesawat operasi, sekali gus merasai pengalaman sebenar suasana operasi udara maritim.

Pengalaman eksklusif ini memberi impak yang signifikan kepada para peserta dengan membuka perspektif baharu mengenai kerjaya, peranan dan keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan misi penguatkuasaan, pemantauan serta operasi mencari dan menyelamat demi keselamatan negara.

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA KOMUNITI MENERUSI PROGRAM SANTUNI MADANI DAN SAHABAT MARITIM DI BALOK

KUANTAN, 16 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh hubungan bersama komuniti maritim menerusi penganjuran Program Santuni MADANI dan Sahabat Maritim di Pantai Rekreasi Balok, Kuantan, hari ini.

Program yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah itu menjadi platform mendekati masyarakat pesisir pantai, khususnya komuniti nelayan, pengusaha bot, pemain industri maritim dan ahli Sahabat Maritim, di samping meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan di laut serta memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dan komuniti setempat.

Dalam ucapannya, beliau berkata Program Sahabat Maritim yang diperkenalkan sejak tahun 2007 terus menjadi medium komunikasi dua hala yang berkesan dalam membina kepercayaan masyarakat terhadap Maritim Malaysia. Sehingga 16 Julai 2026, sebanyak 549 Program Sahabat Maritim telah dilaksanakan di seluruh negara sebagai platform memperkukuh hubungan antara agensi dengan komuniti maritim.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasa keselamatan dan kedaulatan perairan negara melalui pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), rondaan keselamatan serta usaha membanteras jenayah di laut termasuk penyeludupan, pencerobohan vesel asing, aktiviti perikanan haram dan pemerdagangan orang.

Sehingga 29 Jun 2026, Maritim Malaysia telah merekodkan sebanyak 1,443,950 pemeriksaan dan 568,965 penggeledahan di seluruh Zon Maritim Malaysia. Dalam tempoh yang sama, agensi berjaya merekodkan 18,230 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang negara dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah hampir RM5 bilion.

Maritim Malaysia turut mengendalikan sebanyak 3,659 operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan 19,059 mangsa, sekali gus membuktikan komitmen berterusan agensi dalam melindungi keselamatan nyawa dan menjaga kedaulatan perairan negara.

Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan sahaja didorong oleh komitmen warga Maritim Malaysia, malah hasil kerjasama erat komuniti maritim yang sentiasa menyalurkan maklumat kepada agensi melalui rangkaian Sahabat Maritim. Hubungan strategik ini menjadi antara faktor penting dalam meningkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan dan keselamatan maritim negara.

Pengunjung, khususnya golongan belia yang berminat dengan kerjaya beruniform, turut berpeluang melihat secara dekat set peralatan menyelam bagi operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) serta kelengkapan pemeriksaan kapal yang digunakan dalam operasi penguatkuasaan di laut.

Selain pameran aset dan kelengkapan operasi, Maritim Malaysia turut mengadakan kempen kesedaran keselamatan di laut serta advokasi berkaitan ancaman jenayah rentas sempadan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan agensi dalam membanteras penyeludupan dadah, pencerobohan vesel asing dan pemerdagangan orang.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ahli Sahabat Maritim dan komuniti nelayan yang sentiasa menjadi rakan strategik agensi dengan menyalurkan maklumat awal berkaitan aktiviti mencurigakan di laut, sekali gus membantu meningkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan dan keselamatan maritim negara.

Sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan komuniti, Maritim Malaysia turut menyampaikan bakul makanan kepada golongan asnaf serta menyerahkan jaket keselamatan kepada komuniti nelayan sebagai usaha memperkukuh budaya keselamatan di laut. Orang ramai turut diseru supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dengan memakai jaket keselamatan serta mendapatkan maklumat cuaca sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut.

Program turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk pameran agensi, pertandingan mewarna, sukan rakyat, kenduri rakyat dan Jualan Rahmah MADANI yang berjaya menarik penyertaan masyarakat setempat.

Maritim Malaysia percaya Program Sahabat Maritim mampu memperkukuh hubungan antara agensi dan komuniti pesisir pantai. Sokongan serta maklumat daripada masyarakat merupakan "mata dan telinga" agensi dalam membantu memastikan perairan Pantai Balok khususnya dan Zon Maritim Malaysia amnya terus kekal selamat, aman dan sejahtera selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Maritim Malaysia akan terus memperkukuhkan kesiapsiagaan operasi, memperkasakan aset serta memperluas jaringan kerjasama dengan komuniti maritim demi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. Agensi kekal komited menggalas tanggungjawab sebagai The Guardian of the Sea dalam melindungi kepentingan maritim negara demi keselamatan rakyat dan kemakmuran Malaysia

TKPP MARITIM MALAYSIA TINJAU FASILITI DAN PERANCANGAN STRATEGIK DI IPMZ BATU PAHAT

 

BATU PAHAT, 17 Julai - Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tuan Haji Nor Hisham bin Ibrahim telah mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Batu Pahat, Johor bagi meninjau fasiliti serta memperkukuh perancangan strategik menerusi Sesi Libat Urus (SLU) bersama warga zon, hari ini.

Ketibaan beliau bersama delegasi yang terdiri daripada wakil Ketua-Ketua Bahagian Pengurusan Maritim Malaysia telah disambut oleh Pengarah Maritim Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini bin Zainal serta barisan pegawai kanan dan warga IPMZ Batu Pahat.

Dalam amanatnya, Tuan Haji Nor Hisham menekankan hala tuju pengurusan agensi serta kepentingan membudayakan nilai integriti, profesionalisme dan prestasi kerja yang cemerlang bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Maritim Malaysia terus diperkasakan.

Selain itu, lawatan turut dijalankan ke bangunan lokap baharu bagi meninjau kemudahan yang disediakan serta menilai tahap kesiapsiagaan, fungsi dan kesesuaian fasiliti dalam menyokong pelaksanaan tugas penguatkuasaan serta memastikan kemudahan berkenaan memenuhi keperluan operasi serta piawaian yang ditetapkan.

Lawatan diteruskan ke Maharani Free Port, Muar bagi meninjau kawasan yang dicadangkan sebagai lokasi penempatan Pos Maritim. Tinjauan itu bertujuan menilai kesesuaian lokasi daripada aspek strategik, logistik dan keperluan operasi bagi menyokong perancangan penempatan Pos Maritim, sekali gus meningkatkan keupayaan pemantauan, tindak balas operasi dan penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan sekitar.

Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara pengurusan tertinggi dan warga kerja, di samping memastikan pembangunan fasiliti serta kesiapsiagaan operasi terus diberi perhatian ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan berintegriti.

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KOMPETENSI ANGGOTA MENERUSI UJIAN KEMAHIRAN MENEMBAK SENJATA KECIL 2026

KAJANG, 16 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor terus memperkukuh kesiapsiagaan operasi menerusi penganjuran Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil (UKMSK) 2026 di Lapang Sasar Penjara Malaysia, Kajang, sebagai usaha berterusan melahirkan pegawai dan anggota yang kompeten, profesional serta sentiasa bersedia menghadapi cabaran penguatkuasaan.

Program selama dua hari bermula 14 hingga 15 Julai itu menghimpunkan pegawai, anggota dan warga kerja Maritim Negeri Selangor, selain penyertaan jemputan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Negeri Selangor, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Negeri Selangor, Jabatan Laut Wilayah Tengah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Penjara Malaysia.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata penganjuran UKMSK bukan sekadar menguji kemahiran mengendalikan senjata api, malah menjadi platform memperkukuh disiplin, keyakinan diri, ketahanan mental dan profesionalisme anggota dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.

"Kecekapan mengendalikan senjata api bukan sahaja mencerminkan kompetensi individu, malah menjadi elemen penting bagi memastikan setiap operasi dilaksanakan secara selamat, berkesan dan berintegriti," katanya.

Beliau berkata, sepanjang ujian berlangsung, peserta dinilai berdasarkan aspek ketepatan tembakan, pengendalian senjata api, disiplin, kawalan emosi serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), bagi memastikan setiap anggota memiliki tahap kompetensi terbaik ketika berdepan situasi sebenar di lapangan.

Program itu turut diserikan dengan kehadiran barisan ketua jabatan daripada agensi keselamatan dan penguatkuasaan, termasuk Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Komander Kawalan Pintu Masuk AKPS Pelabuhan Klang, Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Tengah, Pengarah MKN Negeri Selangor, Ketua Maktab Penjara Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Ketua Cawangan Khas IPK Selangor serta wakil Pengarah Penjara Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Kehadiran mereka mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh sinergi, meningkatkan kesiapsiagaan serta memperkasakan kompetensi warga agensi keselamatan negara.

Penganjuran UKMSK 2026 membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkasa modal insan, memperkukuh budaya kecemerlangan dan meningkatkan kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan serta keselamatan negara bagi mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, inisiatif ini turut memperlihatkan tekad Maritim Malaysia untuk terus melahirkan warga kerja yang berintegriti, berkemahiran tinggi dan sentiasa bersedia mempertahankan keselamatan, keamanan serta kedaulatan Zon Maritim Malaysia melalui pendekatan kolaboratif bersama rakan-rakan strategik.

Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang serta sesi bergambar.

Lebih banyak artikel..

Grid List

SEJARAH TERCIPTA, 127 KADET DITAULIAHKAN SEBAGAI LEFTENAN MUDA PASKAM

PEKAN, 5 SEPTEMBER – Seramai 127 Pegawai Kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) hari ini ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM selepas berjaya menamatkan latihan selama empat semester yang meliputi pembentukan disiplin, kepimpinan, ketahanan fizikal dan mental serta semangat kerja berpasukan.

Pentauliahan ini mencipta sejarah apabila buat julung kalinya dilaksanakan secara bersama melibatkan tiga Universiti Awam, iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 49 kadet daripada UMPSA, 30 kadet daripada UMT dan 48 kadet daripada UniMAP telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.

Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi berkata, pentauliahan itu bukan sekadar menandakan kejayaan menamatkan latihan, malah menjadi manifestasi kejayaan melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, berjiwa patriotik serta mempunyai kepimpinan dan jati diri yang tinggi.

"PASKAM bukan sekadar platform latihan berkawad atau aktiviti kokurikulum, sebaliknya medium membentuk mahasiswa yang memahami erti tanggungjawab, kepimpinan, kesetiaan, keberanian serta kesediaan berkhidmat demi agama, bangsa dan negara," katanya.

Beliau berkata, PASKAM turut berperanan memperkenalkan mahasiswa kepada dunia maritim melalui pendedahan terhadap aspek keselamatan, penguatkuasaan, kepimpinan dan tanggungjawab mempertahankan kepentingan serta kedaulatan negara di laut.

Sehingga kini, seramai 240 kadet aktif PASKAM berada di tiga universiti berkenaan, melibatkan 94 kadet di UMPSA, 65 kadet di UMT dan 81 kadet di UniMAP.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan institusi pengajian tinggi menerusi PASKAM bukan sahaja memperkukuh pembangunan modal insan, malah menjadi platform melahirkan bakal pemimpin muda yang memiliki sahsiah unggul, ketahanan diri, semangat patriotisme dan kesedaran tinggi terhadap keselamatan maritim negara.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed berkata, penganjuran majlis secara bersama melibatkan tiga universiti awam merupakan satu detik bersejarah dalam perkembangan PASKAM di institusi pengajian tinggi negara.

Menurut beliau, sejak penubuhannya pada 21 September 2016, PASKAM telah berkembang daripada sebuah platform latihan beruniform kepada medium pembangunan kepimpinan mahasiswa yang menekankan disiplin, integriti, semangat berpasukan dan kesiapsiagaan.

"PASKAM bukan sekadar membentuk mahasiswa yang berdisiplin, malah melahirkan individu yang mampu membuat keputusan secara matang, memimpin dengan berintegriti serta sentiasa bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan," katanya.

Beliau turut menyifatkan kerjasama antara UMPSA dan Maritim Malaysia sebagai satu ekosistem strategik yang menyokong pembangunan modal insan dan ilmu, termasuk menerusi penerbitan buku OP NAGA BARAT: Analisis Strategi, Ekonomi dan Pendakwaan dari Perspektif Maritim Malaysia, yang memperkukuh pemahaman berkaitan keselamatan maritim daripada perspektif strategik, ekonomi, perundangan dan penguatkuasaan.

Pentauliahan 127 Leftenan Muda PASKAM ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berdisiplin, berintegriti, berwibawa serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi dalam mendukung usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan maritim negara.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC