13
Sel, Okt

Grid List

BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN

REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000

LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN

CUBAAN BAWA KELUAR PETROL DIGAGALKAN SEORANG LELAKI TEMPATAN DITAHAN

MARITIM MALAYSIA TAHAN DUA VESEL DISYAKI JALANKAN AKTIVITI STS TANPA KEBENARAN

KOLABORASI STRATEGIK : PROGRAM PEMULIAAN ABU AL-QURAN TAHUN 2026

BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN

KUALA KURAU, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menahan sebuah bot fiber bersama tiga warga Myanmar selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan barat laut Pulau Pasir Hitam, Perak, semalam.

Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil bin Othman berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 10.50 pagi pada kedudukan lebih kurang 4.3 batu nautika barat laut Pulau Pasir Hitam.

“Pemeriksaan mendapati bot fiber berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran yang sah dan disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan, iaitu bubu naga.

“Pemeriksaan lanjut terhadap tiga kru warga Myanmar pula mendapati mereka disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah,” katanya.

Bot fiber bersama ketiga-tiga kru kemudiannya dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang, penggunaan peralatan tangkapan terlarang serta pelanggaran undang-undang imigresen di perairan negara.

REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN

KUANTAN, 10 Oktober - Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan lemas di Pantai Sepat, Kuantan, ditamatkan pada jam 1.00 tengah hari tadi selepas mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Mangsa, Muhammad Raiyan bin Anuar, 16, disahkan meninggal dunia dan dikenal pasti oleh ahli keluarganya.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Dato’ Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima laporan kejadian melalui talian kecemasan NG999 pada jam 9.51 pagi. Susulan itu, operasi CARILAMAT diaktifkan pada jam 10.15 pagi.

Operasi melibatkan Maritim Malaysia Negeri Pahang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan pencarian awal tertumpu di kawasan perairan dalam lingkungan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. Usaha pencarian kemudiannya diperluas di sepanjang pantai dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis pada jam 12.50 tengah hari sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk tindakan selanjutnya.

MRSC Kuantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi penyelamat serta orang awam atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sepanjang operasi CARILAMAT dilaksanakan.

Maritim Malaysia turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi di pantai, khususnya dengan mematuhi arahan keselamatan dan peka terhadap keadaan laut semasa.

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000

LABUAN, 9 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan berjaya menggagalkan kegiatan disyaki penyeludupan minuman beralkohol pelbagai jenama bernilai anggaran RM270,000 di Sungai Melikai, Menumbok, Sabah, awal pagi tadi.

Operasi dilaksanakan susulan maklumat risikan berkaitan kegiatan membawa barangan disyaki tidak berkastam dari perairan Labuan ke tanah besar Sabah.

Pada kira-kira jam 1.45 pagi, bot operasi Penggalang 24 mengesan dan mengekori sebuah bot kargo yang dinaiki tiga individu dari perairan Pulau Labuan menuju ke Menumbok. Bot tersebut kemudiannya dikesan merapat di lokasi pendaratan yang disyaki tidak sah di Jeti Sungai Kampung Melikai.

Serbuan di kawasan darat dilaksanakan dengan bantuan anggota pasukan bot. Bagaimanapun, ketiga-tiga individu berkenaan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran. Usaha mengesan mereka tidak berjaya berikutan faktor cuaca dan keadaan muka bumi.

Pemeriksaan menemukan sebuah bot kargo dengan muatan dianggarkan 200 karton serta dua buah lori yang membawa kira-kira 400 karton minuman beralkohol pelbagai jenama. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak 600 karton bernilai RM270,000.

Kesemua barang kes telah dirampas dan disita di bawah Akta Kastam 1967 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Labuan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Pengarah Maritim Zon Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi bin Haji Idros, menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta melindungi perairan negara daripada aktiviti jenayah maritim.

Maritim Malaysia turut menyeru orang ramai dan komuniti maritim supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan bagi membantu usaha penguatkuasaan.

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS

KUALA PERLIS, 9 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis (IPMZ Kuala Perlis) berjaya menahan sebuah bot fiber yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah pada kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika barat pantai Kurung Tengar, Perlis, lewat malam tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata, penahanan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan selepas menerima maklumat risikan berhubung sebuah bot yang disyaki bergerak dari arah sempadan Thailand menuju ke Malaysia.

Menurut beliau, bot berkenaan dikesan bergerak pada kelajuan tinggi sebelum bertindak melarikan diri dan tidak mematuhi arahan berhenti untuk pemeriksaan.

“Bot suspek turut dipercayai cuba melanggar bot rondaan kami. Demi keselamatan anggota, tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum bot berkenaan berjaya ditahan berhampiran pantai Kurung Tengar, Perlis,” katanya.

Pemeriksaan lanjut menemukan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 39 tahun serta tiga guni yang mengandungi 60 ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 65.05 kilogram. Nilai keseluruhan rampasan itu dianggarkan hampir RM600,000.

Turut dirampas ialah sebuah bot fiber, enjin sangkut berkuasa 115 kuasa kuda serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Kesemua suspek, bersama bot dan barang rampasan, dibawa ke Jeti Tahanan IPMZ Kuala Perlis untuk tindakan serta siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah serta jenayah rentas sempadan, khususnya di perairan Perlis, demi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.

Orang ramai, khususnya komuniti maritim, diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi IPMZ Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau menghubungi talian kecemasan 999.

LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN

SANDAKAN, 8 Oktober – Kapal Maritim KM PERINGGI telah melaksanakan Latihan Penembakan Meriam Oerlikon 20MM di perairan Sandakan dengan melibatkan kru KM PERINGGI dan KM LIBARAN baru-baru ini.

Latihan ini dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan, kemahiran dan kompetensi kru dalam aspek pengendalian, kawalan serta penembakan senjata utama kapal, di samping memastikan tahap kesiapsiagaan aset sentiasa berada pada tahap optimum.

Pelaksanaan latihan turut dipantau oleh Timbalan Pengarah Logistik Maritim Zon Sandakan, Leftenan Madya Maritim Lim Chin Hoo dan Pegawai Staf Operasi, Leftenan Madya Maritim Muhammad Tajudin bin Johar bagi memastikan latihan dilaksanakan mengikut tatacara dan prosedur keselamatan yang ditetapkan.

Latihan turut dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Aura Efektif Sdn. Bhd. yang merangkumi sesi teori dan praktikal berkaitan pengendalian, penembakan serta aspek penjagaan dan penyelenggaraan Meriam Oerlikon 20MM.

Sebanyak 42 butir peluru telah berjaya ditembak menggunakan Meriam Oerlikon 20MM KM PERINGGI dan keseluruhan latihan telah dilaksanakan dengan jayanya.

Latihan penembakan secara berkala merupakan antara usaha berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh tahap kompetensi kru serta memastikan aset sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi mendukung pelaksanaan tugas penguatkuasaan undang-undang, keselamatan dan operasi maritim di perairan negara.

Lebih banyak artikel..

Grid List

49 PEGAWAI LEFTENAN MUDA MARITIM TAMAT LATIHAN DI AMSAS

KUANTAN, 10 Oktober – Seramai 49 pelatih Kursus Asas Leftenan Muda Maritim Siri 13/2025 melakar satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan kerjaya mereka apabila menamatkan latihan menerusi Perbarisan Tamat Latihan (POP) di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Gebeng, Kuantan, Pahang, hari ini.

Perbarisan tersebut bukan sekadar menandakan berakhirnya tempoh latihan selama 10 bulan, malah menjadi titik permulaan kepada amanah dan tanggungjawab mereka sebagai pegawai penguat kuasa maritim dalam menjaga keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.

Kesemua pelatih telah melalui latihan intensif yang merangkumi aspek fizikal, akademik dan teknikal termasuk ilmu kelautan, undang-undang maritim, navigasi, komunikasi, pertolongan cemas, renang, persenjataan dan penguatkuasaan. Latihan turut diperkukuh menerusi transformasi minda serta pendekatan Coaching and Mentoring bagi membentuk disiplin, nilai murni, etika, kepimpinan dan ketahanan diri, sebelum mereka menjalani penempatan praktikal selama tiga bulan di kapal-kapal Maritim Malaysia untuk merasai sendiri realiti kehidupan dan operasi di laut.

Kepelbagaian latar belakang 49 pelatih turut menjadi nilai tambah kepada pembentukan pasukan. Seramai 27 orang merupakan lantikan baharu dalam perkhidmatan awam, manakala 22 orang mempunyai pengalaman perkhidmatan terdahulu yang terdiri daripada 12 orang daripada Maritim Malaysia, enam daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan tiga daripada Jabatan Penjara Malaysia. Perpaduan pengalaman, pengetahuan dan perspektif ini membentuk barisan pegawai yang lebih dinamik serta bersedia memikul amanah penguatkuasaan maritim.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, YBhg. Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, pembangunan modal insan merupakan asas penting kepada kekuatan dan kelangsungan organisasi, justeru usaha melahirkan pegawai serta anggota yang kompeten, berintegriti dan berdaya tahan akan terus menjadi keutamaan Maritim Malaysia.

Sejak penubuhannya pada tahun 2005, Maritim Malaysia telah melahirkan seramai 855 pegawai maritim, termasuk 65 pegawai wanita, serta 2,972 anggota maritim, termasuk 192 anggota wanita. Pencapaian tersebut mencerminkan sumbangan AMSAS dalam membina kompetensi, karakter, kepimpinan dan jati diri warga Maritim Malaysia, sekali gus memastikan organisasi sentiasa mempunyai barisan pegawai dan anggota yang bersedia memenuhi tuntutan tugas penguatkuasaan maritim.

Menurut beliau, pencapaian melahirkan pegawai dan anggota yang berkualiti turut didukung oleh peranan AMSAS sebagai institusi latihan utama Maritim Malaysia yang membentuk warga organisasi secara menyeluruh merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI), selain pengetahuan, kemahiran dan sikap.

AMSAS bukan sekadar tempat untuk melatih pegawai, tetapi merupakan medan pembentukan karakter, kepimpinan dan profesionalisme warga Maritim Malaysia. Kita mahu AMSAS terus diperkasakan sebagai pusat latihan maritim terbaik dan Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) yang menjadi rujukan di peringkat kebangsaan, malah berupaya membina jaringan kerjasama latihan dengan institusi maritim di peringkat serantau dan antarabangsa,” tambah beliau.

Bagi Siri 13/2025, empat anugerah kecemerlangan turut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap prestasi mereka, iaitu Anugerah Pelatih Sukan Terbaik kepada Leftenan Muda Maritim Mohamad Aiman bin Mohd Nissfu, Anugerah Pelatih Akademik Terbaik kepada Leftenan Muda Maritim Wan Farhan Naim bin Wan Mat Khalir, Anugerah Pelatih Kawad Terbaik kepada Leftenan Muda Maritim Muhammad Hafizuddin bin Haron, serta Anugerah Pelatih Keseluruhan Terbaik Leftenan Muda Maritim Siri 13/2025 kepada Leftenan Muda Maritim Mohamad Ismail bin Salleh.

Perbarisan tamat latihan ini menjadi bukti bahawa usaha pembangunan modal insan Maritim Malaysia dilaksanakan secara berterusan, sistematik dan menyeluruh bagi memastikan setiap pegawai dan anggota yang dilahirkan bukan sahaja memiliki kemahiran profesional, malah mempunyai disiplin, integriti, kepimpinan dan kesiapsiagaan yang tinggi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), YBhg. Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, YBrs. Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, YBhg. Laksamana Muda Maritim Nurul Hizam bin Zakaria, Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama Maritim Hamizan bin Harun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang, YS PKBjB Dato' Mohd Razam bin Taja Rahim, pengurusan tertinggi Maritim Malaysia, pengarah-pengarah bahagian dan Maritim Negeri, ketua-ketua jabatan berkaitan serta ibu bapa dan keluarga para pelatih.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC