GEORGETOWN, 28 Februari – Maritim Negeri (MN) Pulau Pinang telah menganjurkan taklimat Pengendalian Ujian Saringan Air Kencing (Urin Test) yang bertempat di Tingkat 3, Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang semalam. Taklimat tersebut disampaikan oleh penceramah jemputan khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman iaitu Deputi Superintendan Mohamed Salim bin Gulam, Ketua Unit Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Taklimat yang dihadiri seramai 54 pegawai dan anggota MN Pulau Pinang ini adalah bertujuan untuk diberikan pendedahan berkaitan tatacara pengendalian ujian saringan urin mengikut prosedur yang betul dalam menjaga integriti barang kes dan seterusnya pendakwaan kes di mahkamah terhadap orang yang disyaki (OYDS).
Penceramah turut berkongsi pengalaman dan ilmu kepakaran berkaitan prosedur semasa, pengurusan barang kes dan siasatan ke atas OYDS di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Taklimat tersebut secara umumnya dapat mempertingkatkan tahap kompetensi dan kemahiran Pegawai dan anggota APMM dalam menjalankan tugas di lapangan.