PANAMA CITY, 24 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyertai The Global Congress on Chemical Security and Emerging Threats anjuran International Criminal Police Organization (INTERPOL) sebagai usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam menangani ancaman keselamatan yang semakin kompleks. Persidangan tersebut berlangsung dari 21 hingga 24 September 2026 di Panama City, Panama.
Maritim Malaysia diwakili oleh Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (BSJM), Laksamana Pertama Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah, yang mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan tersebut bersama pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Persidangan antarabangsa itu menghimpunkan pakar keselamatan kimia, agensi penguatkuasaan undang-undang, angkatan tentera, organisasi antarabangsa serta pengamal industri dari seluruh dunia bagi memperkukuh perkongsian maklumat risikan, kepakaran dan amalan terbaik dalam menangani ancaman keselamatan kimia, khususnya keganasan yang melibatkan bahan kimia dan bahan letupan.
Penyertaan julung kali Maritim Malaysia dalam persidangan ini memberi ruang kepada agensi untuk memperkukuh Maritime Domain Awareness dan keupayaan Maritime Interdiction, di samping memperkasakan jaringan kerjasama strategik bersama INTERPOL serta agensi penguatkuasaan antarabangsa yang lain.
Selain itu, persidangan ini turut memberi pendedahan kepada pegawai Maritim Malaysia mengenai perkembangan, pendekatan dan amalan terbaik terkini dalam aspek pencegahan, pengesanan awal serta tindakan balas terhadap ancaman keselamatan global.
Perkongsian ini dapat menyumbang kepada peningkatan keupayaan dan kesiapsiagaan agensi dalam menghadapi ancaman rentas sempadan, selain memperlihatkan kepentingan keselamatan maritim dalam usaha menangani ancaman keselamatan secara bersepadu.
Maritim Malaysia kekal komited dalam memperkasakan keupayaan warganya serta memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat, aman dan terjamin daripada sebarang bentuk ancaman moden.













.svg.png)

