LUMUT, 22 September – Sambutan Karnival Hari Angkatan Tentera Malaysia 2026 (KHA 2026) berlangsung meriah dengan penglibatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak dalam reruai pameran agensi di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak pada 19 dan 20 September lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penyertaan Maritim Malaysia bukan sekadar memeriahkan sambutan, malah menjadi platform agensi mendekati masyarakat dalam usaha menyampaikan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan, keamanan dan kedaulatan perairan negara.
Reruai Maritim Malaysia mendapat perhatian pengunjung dalam mendapatkan penerangan berkaitan penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia, keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pencegahan jenayah serta tindakan menangani pencerobohan di laut.
Pengunjung turut berpeluang mengenali dengan lebih dekat aset, kelengkapan dan keupayaan operasi Maritim Malaysia, sekali gus memahami cabaran serta tanggungjawab yang dipikul oleh warga penguat kuasa maritim dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal.
Penglibatan dalam KHA 2026 ini turut mencerminkan komitmen Maritim Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui pendekatan “mendekati, memberi kefahaman dan membina kesedaran” mengenai kepentingan keselamatan serta kedaulatan maritim negara.













.svg.png)

