PUTRAJAYA, 31 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menampilkan kekuatan, profesionalisme dan kesiapsiagaan warga serta aset agensi menerusi penyertaan Perbarisan Hari Kebangsaan Ke-69 di Dataran Putrajaya.
Seramai 386 pegawai dan anggota terlibat, terdiri daripada 310 kontinjen perbarisan, 37 pelaku aset dan 39 anggota Pancaragam Maritim Malaysia, disokong 10 unit aset operasi termasuk Bot Kelas Ibrahim, Bot Perkasa, Bot Benteng, Airboat, Mobile Surveillance Unit (MSU), Kenderaan Pengkalan Hadapan (PHC) CARILAMAT dan Jet Ski.
Penampilan aset dan warga Maritim Malaysia mencerminkan keupayaan Agensi dalam penguatkuasaan undang-undang, keselamatan maritim serta operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), sekali gus memperlihatkan kesiapsiagaan aset untuk digerakkan mengikut keperluan operasi.
Antara yang menjadi perhatian ialah PHC CARILAMAT (MERAC), iaitu pusat operasi bergerak yang menyokong Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) dalam menyelaras operasi CARILAMAT di lapangan.
Lebih istimewa, penyertaan turut menampilkan sembilan Wira Cilik Maritim Malaysia, melambangkan kesinambungan semangat patriotisme dan usaha memperkenalkan peranan serta kerjaya keselamatan maritim kepada generasi muda.
Gabungan warga, aset, kepakaran dan semangat patriotisme ini membawa mesej jelas bahawa Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan perairan, melindungi rakyat dan mempertahankan kedaulatan negara.
Turut hadir menyaksikan perbarisan ialah Ketua Pengarah Maritim Malaysia, YBhg. Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, bersama pegawai kanan Maritim Malaysia.













.svg.png)

