MIRI, 13 Ogos — Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Miri menjadi lokasi pertama di Sarawak yang menerima kunjungan AFFIN Bank Cawangan Miri bagi penganjuran reruai Pembukaan Akaun dan Permohonan Kad Debit Khas APMM, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Program berkenaan menyaksikan kunjungan empat wakil AFFIN Bank Cawangan Miri yang diketuai Penolong Pengurus Cawangan Miri, Encik Johnwesley Balan, ke IPMZ Miri, hari ini.
Ketibaan delegasi disambut Pengarah Maritim Zon Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad, bersama pegawai-pegawai IPMZ Miri sebelum delegasi diberikan taklimat ringkas berkaitan peranan dan fungsi IPMZ Miri.
Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar berkata, penganjuran program di Bilik Kuliah IPMZ Miri itu bertujuan memudahkan warga APMM, khususnya warga Maritim Zon Miri serta keluarga, mendapatkan perkhidmatan pembukaan akaun AFFIN Bank dan membuat permohonan Kad Debit Khas APMM secara terus di lokasi.
“Program ini bukan sahaja memberikan kemudahan kepada warga Maritim Zon Miri dalam menguruskan urusan perbankan, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama strategik antara APMM dengan AFFIN Bank,” katanya.
Menurut Encik Johnwesley, IPMZ Miri merupakan lokasi pertama di Sarawak yang mengambil peluang mendapatkan tawaran terhad Kad Debit Khas APMM berkenaan.
Penganjuran inisiatif ini turut membawa makna tersendiri dalam menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, apabila warga APMM bersama rakan strategik daripada sektor perbankan terus memperkukuh hubungan dan kerjasama demi kesejahteraan warga agensi.
Semangat kebersamaan itu selari dengan aspirasi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang menekankan nilai perpaduan, kerjasama serta rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.













.svg.png)

