PASIR PUTEH, 1 APRIL – Maritim Negeri Kelantan hari ini melaksanakan Majlis Serah Terima Tugas bagi jawatan Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Tok Bali dan Kapal Maritim (KM) Jujur, yang berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan.
Sesi serah terima tugas Pegawai Memerintah KM Tok Bali telah berlaku antara Leftenan Komander Maritim Mohd Husaimi bin Husin kepada Leftenan Maritim Alwi bin Che Hussein manakala KM Jujur, tugasan Pegawai Memerintah telah diserahkan oleh Leftenan Komander Maritim Zaid bin Abu Bakar kepada Leftenan Komander Maritim Mohd Husaimi bin Husin.
Majlis ini turut disaksikan oleh Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal bin Mohamad.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal bin Mohamad dalam ucapannya berkata, pertukaran kepimpinan ini merupakan satu proses lumrah dalam organisasi bagi memantapkan lagi struktur pengurusan serta menyuntik semangat baharu dalam operasi penguatkuasaan di perairan negeri.
“Majlis ini merupakan simbolik kesinambungan amanah dalam memacu kecemerlangan organisasi, khususnya melibatkan aset-aset strategik kita di Kelantan. Saya menaruh kepercayaan tinggi kepada pegawai yang baharu dilantik untuk terus memelihara kedaulatan zon maritim negara dengan penuh dedikasi,” ujar beliau.
Beliau turut menzahirkan penghargaan buat pegawai terdahulu atas jasa dan sumbangan sepanjang menggalas tanggungjawab mengetuai aset-aset tersebut dalam memastikan keselamatan komuniti maritim sentiasa terjaga.

















.svg.png)

