ALOR SETAR, 26 MAC — Prihatin terhadap kebajikan warga kerja serta menghargai jasa mereka yang pernah berkhidmat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak telah mengadakan Ziarah Kasih Aidilfitri dengan mengunjungi seorang anggota tumpangan dari Zon Maritim Bintulu dan seorang bekas anggota Zon Maritim Kuala Kedah yang telah berpencen, hari ini.
Program yang diselitkan dengan nilai kekeluargaan dan kebajikan ini adalah bertujuan menyuntik semangat anggota dengan bertanya khabar serta menyantuni anggota dan bekas anggota Maritim Malaysia, di samping mengeratkan hubungan silaturahim yang menjadi tunjang kekuatan Agensi.
Dalam suasana penuh mesra, program dimulai dengan kunjungan ke kediaman Pegawai Waran II Maritim Misnadi bin Abdul Karim, yang kini merupakan anggota tumpangan di Zon Maritim Kuala Kedah kerana masalah kesihatan.
Seterusnya, program Ziarah Kasih Aidilfitri ini diteruskan dengan berkunjung ke kediaman Bintara Muda Maritim (B) Azarudin bin Mohd Ali, bekas anggota Zon Maritim Kuala Kedah yang telah berpencen pada tahun lepas kerana masalah kesihatan.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak pengurusan Zon Maritim Kuala Kedah dalam memastikan kebajikan warganya sentiasa diberi perhatian, tanpa mengira sama ada masih berkhidmat atau telah menamatkan perkhidmatan.
“Setiap anggota, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara atau bertukar, adalah sebahagian daripada keluarga besar Zon Maritim Kuala Kedah khususnya dan Agensi ini umumnya.
“Kunjungan ini adalah tanda ingatan, penghargaan dan sokongan moral agar mereka terus bersemangat dalam meneruskan kehidupan,” katanya.
Tambah beliau lagi, Aidilfitri merupakan waktu terbaik untuk mempereratkan ukhwah dan menyemai nilai kasih sayang sesama insan, sejajar dengan semangat perayaan yang menekankan kemaafan dan kebersamaan.
Zon Maritim Kuala Kedah akan terus komited dalam melaksanakan program-program kebajikan seumpama ini sebagai usaha berterusan memperkasa kesejahteraan warga kerja serta memupuk budaya organisasi yang prihatin dan inklusif.
















.svg.png)

