LUMUT, 1 MAC – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) Perak telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak pada Jumaat lalu.
Delegasi PDRM diketuai oleh Ketua Cawangan Khas IPK Perak, SAC Ahmad Asmadi bin Abd Hashim, bersama Insp Izahaq bin Rozi dan Kpl/D Muhamad Zamri bin Mohamed Wazir. Kehadiran delegasi telah disambut mesra oleh Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shukri bin Khotob dan diiringi oleh Timbalan Pengarah Operasi Negeri Perak, Komander Maritim Tan Ah Bik serta Pegawai Operasi, Leftenan Maritim Mohd Syafie bin Mohd Ali Masa.
Pertemuan tersebut menjadi platform memperkukuh hubungan strategik serta mempererat jalinan kerjasama keselamatan antara kedua-dua agensi penguatkuasaan selain membincangkan isu-isu keselamatan semasa, memperkasa perkongsian maklumat risikan serta mempertingkatkan penyelarasan operasi antara PDRM dan APMM.
Perbincangan turut memfokuskan kepada usaha menangani ancaman keselamatan, jenayah rentas sempadan serta sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di perairan Negeri Perak.
Kedua-dua pihak menzahirkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama bersepadu demi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara, selaras dengan mandat serta tanggungjawab yang digalas oleh setiap agensi.
Majlis diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati sebagai simbol penghargaan dan kenang-kenangan, sekali gus mencerminkan semangat solidariti dan hubungan erat antara kedua-dua agensi.




















.svg.png)

