08
Tue, Sep

MARITIM MALAYSIA PINDAH PESAKIT STROK DARI PULAU TIOMAN KE HOSPITAL MERSING

KUANTAN, 24 JANUARI - Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang disahkan mengalami strok (Cerebrovascular Accident – CVA) berjaya dipindahkan dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke Hospital Mersing dengan bantuan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab berkata, Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) Kuantan menerima panggilan kecemasan daripada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tekek yang memohon bantuan pemindahan pesakit bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut beliau lagi, maklumat kecemasan itu segera disalurkan kepada Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Pahang sebelum tindakan pengoperasian aset diambil tanpa kelewatan.

Beliau berkata, Kapal Maritim (KM) TATAU diarahkan berlepas dari jeti pada kira-kira pukul 11.00 pagi bagi melaksanakan misi pemindahan pesakit ke tanah besar.

Pesakit bersama tiga petugas kesihatan kemudiannya dibawa menaiki KM TATAU dan berlepas dari Pulau Tioman pada pukul 2 .00 petang menuju ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading.

KM TATAU selamat tiba pada pukul 4.00 petang sebelum pesakit diserahkan kepada ambulans Hospital Mersing untuk rawatan lanjut.

Mazlan berkata, operasi itu membuktikan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam memberikan bantuan, khususnya melibatkan penduduk di kawasan pulau dan perairan terpencil.

KM MANJUNG MEDEVAC2
 
KM MANJUNG MEDEVAC3

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN KELAS C ATAS PELBAGAI KESALAHAN PERIKANAN DAN IMIGRESEN

LUMUT, 23 JANUARI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Kapal Maritim (KM) NYALAU di kedudukan 12.6 batu nautika dari Tanjung Batu Kerbau, Pangkor, pada lebih kurang pukul 12.45 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, pemeriksaan mendapati vesel tersebut disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan, iaitu kurang dari 15 batu nautika, selain menggunakan pekerja warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati, kehadiran seorang tekong warganegara tempatan bersama empat orang awak-awak warga Myanmar di atas vesel tersebut.

Daripada jumlah itu, seorang memiliki passport, manakala tiga lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.

“Kesemua individu, vesel, peralatan menagkap ikan serta hasil laut telah ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh bagi penyerahan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, Maritim Negeri Perak tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan pencerobohan zon perikanan, penyalahgunaan lesen dan penggajian pekerja asing tanpa kebenaran yang sah.

Orang ramai, khususnya komuniti maritim, dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 bagi tindakan segera.

NYALAU TAHAN2
 
NYALAU TAHAN3
 
NYALAU TAHAN4

ROKOK SELUDUP RM6 RIBU DIRAMPAS, SUSPEK GUNA FERI KE PULAU BANGGI

KUDAT, 12 JANUARI – Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai menggunakan perkhidmatan feri ke Pulau Banggi berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan rokok seludup di perairan Kudat menggunakan laluan feri awam.

“Bertindak atas risikan, sebuah bot rondaan Maritim Malaysia digerakkan dan pemeriksaan dijalankan ke atas feri terbabit,” katanya lagi.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan seorang lelaki yang disyaki cuba membawa keluar rokok seludup tanpa cukai ke Pulau Banggi.

“Pemeriksaan lanjut menemukan enam kotak berisi rokok seludup dengan nilai anggaran keseluruhan kira-kira RM6 ribu,” jelasnya. Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan membawa rokok yang disyaki tidak bercukai.

Zon Maritim Kudat menegaskan, pihaknya komited membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim, selain menggesa orang awam menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 untuk tindakan segera.

ROKOK SELUDUP2
 
ROKOK SELUDUP3

DUA VESEL NELAYAN DITAHAN, EMPAT WARGA ASING DISIASAT

TAWAU, 22 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau telah berjaya menahan dua vesel nelayan dalam dua operasi berasingan selepas melakukan kesalahan di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, penahanan pertama dilakukan pada pukul 10.40 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia yang melaksanakan OPS SEJAHTERA, OPS PLUTO TIMUR dan OP TIRIS mengesan sebuah vesel nelayan asing di perairan Malaysia.

Menurut Ariffin, pemeriksaan ke atas vesel yang ditahan pada jarak 2.4 batu nautika selatan Tanjung Tinagat mendapati, dua lelaki warga Indonesia berusia 44 dan 48 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak memiliki lesen pendaftaran bot.

“Hasil siasatan awal mendapati, vesel terbabit menceroboh perairan negara dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, sebuah vesel nelayan tempatan ditahan Kapal Maritim Malaysia KM BALUNG pada pukul 11.30 pagi di kedudukan 2.8 batu nautika barat daya Batu Tinagat.

Beliau berkata, dua lelaki warga Indonesia di atas vesel berkenaan mengemukakan dokumen perjalanan yang meragukan, selain permit kerja yang telah tamat tempoh.

“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan gagal mengemukakan dokumen perjalanan asal, manakala kru memiliki permit kerja yang tidak sah,” tambah beliau.

Kesemua mereka yang terbabit bersama vesel dan muatan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk hasil laut, dua buah veswl dan enjin dianggarkan berjumlah lebih RM121 ribu.

Ariffin menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, khususnya aktiviti perikanan haram di perairan Kawasan Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Beliau dalam pada itu menyeru orang ramai, supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

VESEL EMPAT WARGA
 
VESEL EMPAT WARGA3
 
VESEL EMPAT WARGA4

PADAH BEROPERASI LESEN TAMAT TEMPOH, SEBUAH VESEL NELAYAN DITAHAN DI PERAIRAN PULAU PANGKOR

LUMUT, 11 JANUARI – Tindakan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh membawa padah apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan vesel berkenaan ketika rondaan di perairan Pulau Pangkor, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan tersebut dilakukan pada jam sekitar 4.38 petang di kedudukan kira-kira lapan batu nautika barat Pulau Pangkor ketika Kapal Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin.

Jelas beliau, pemeriksaan mendapati vesel berkenaan masih menjalankan aktiviti penangkapan ikan walaupun lesen pengoperasian telah tamat tempoh.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati vesel terbabit dikendalikan oleh empat warga Thailand termasuk tekong, serta 18 awak-awak warga Kemboja. Kesemua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya lagi.

Shukri turut memaklumkan, kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan siasatan di bawah Akta Perikanan 1985.

Shukri dalam pada itu menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi untuk sebarang pelanggaran undang-undang maritim, khususnya melibatkan pengoperasian vesel tanpa lesen sah.

“Tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu akan terus diperkukuh bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan perairan negeri Perak sentiasa terpelihara,” tambah beliau.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 8737 bagi tindakan segera.

SEL LESEN2
 
SEL LESEN3
 
SEL LESEN4




More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON