MIRI, 19 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah vesel tunda pada kedudukan lebih kurang 5.2 batu nautika barat muara Sungai Miri kerana melakukan kesalahan, gagal mengemukakan pas pelepasan pelabuhan dan senarai pertukaran kru kapal semasa diperiksa Maritim Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, vesel tunda berkenaan ditahan pasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan OP PERMAI 01/2019, OP NAGA TIMUR dan OP TIRIS 3.0 sekitar pukul 11.20 pagi tadi.
Menurutnya, vesel tunda tersebut bersama sepuluh kru termasuk nakhoda terdiri daripada tiga warga tempatan, lima warga Indonesia dan dua warga Myanmar dalam lingkungan umur 20 hingga 63 tahun telah ditahan pada posisi 04 24.90U 113 54.52T.
Seterusnya, tiga kru vesel diiring ke Jeti Kompleks Zon Maritim Miri untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan pas pelepasan pelabuhan dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan senarai pertukaran kru kapal semasa diperiksa oleh pegawai agensi.
Maritim Malaysia sentiasa komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi mencegah sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan jenayah maritim di sepanjang perairan Malaysia.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan ke Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085-649 111 atau Maritim Negeri Sarawak (082-432544/082-432016) atau melalui talian bantuan kecemasan 999 untuk maklum balas segera.










