08
Tue, Sep

OP MARDOF BERAKHIR DENGAN KEJAYAAN CEMERLANG DI LABUAN

LABUAN, 19 JULAI – Operasi bersepadu OP MARDOF Siri 4/2025 yang melibatkan kerjasama erat antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan, Jabatan Perikanan (DOF) Wilayah Persekutuan Labuan dan Jabatan Perikanan (DOF) Sabah Daerah Kuala Penyu telah melabuhkan tirainya dengan kejayaan yang membanggakan semalam.

Operasi ini bermula pada 14 Julai dengan sesi taklimat operasi yang diadakan bagi tujuan penyelarasan aset serta strategi pelaksanaan tugas di lapangan.

Sepanjang 15 dan 16 Julai, aset operasi digerakkan melaksanakan rondaan dan pemeriksaan di perairan Semarang, Sipitang, Teluk Brunei serta sekitar perairan Pulau Labuan.

Manakala pada 17 Julai, pemeriksaan di darat telah dijalankan secara menyeluruh di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan kawasan pasar Labuan dalam usaha memastikan pematuhan undang-undang perikanan di sepanjang rantaian pendaratan ikan.

Sebanyak empat aset keselamatan terlibat dalam operasi ini, terdiri daripada Bot PENGGALANG 24 dan Bot KILAT 23 milik Maritim Malaysia, bot PL 601 milik DOF WP Labuan dan PL LAMBIDAN milik DOF Sabah.

Hasil operasi mencatatkan kejayaan penting apabila pasukan penguat kuasa berjaya merampas beberapa peralatan menangkap ikan yang disyaki digunakan secara haram serta menahan sebuah vesel nelayan tempatan yang dipercayai melanggar peraturan perikanan.

Sebagai usaha memperkukuh hubungan antara agensi, satu perlawanan persahabatan bola tampar turut diadakan di Pejabat DOF Labuan yang berjaya mengeratkan lagi semangat kerjasama dan setiakawan antara anggota penguat kuasa.

Sementara itu Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi bin haji Idros berkata, OP MARDOF Siri 4/2025 membuktikan bahawa kerjasama rentas agensi mampu memberikan impak yang besar dalam memelihara sumber laut negara serta memastikan aktiviti perikanan dijalankan secara sah dan beretika.

“Kejayaan operasi ini adalah hasil komitmen tinggi semua agensi terlibat yang sanggup berhadapan cabaran di laut mahupun di darat demi kesejahteraan dan keselamatan maritim negara,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan kerjasama strategik bersama agensi lain dalam memerangi aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU Fishing) serta memastikan kawasan perairan Labuan kekal selamat dan lestari.

Operasi MARDOF Siri 4/2025 yang berakhir secara rasmi pada 18 Julai turut mencerminkan kesungguhan dan profesionalisme semua pihak dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan, kesejahteraan dan kelestarian hasil laut negara.

OP MARDOF LABUAN2
 
OP MARDOF LABUAN

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN, LANGGAR SYARAT LESEN DAN KRU TIADA VISA PERMIT BEKERJA

PASIR PUTEH, 18 JULAI – Maritim Negeri Kelantan berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) pada kedudukan lebih kurang 24 batu nautika dari muara Tok Bali, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi berkata, tangkapan dilakukan oleh sebuah aset penguat kuasa Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan dalam OP DAMAI, OP NAGA BARAT dan OP TIRIS.

Beliau turut berkata, vesel tersebut telah dikesan dalam keadaan mencurigakan yang sedang bersauh lebih kurang pukul 2.00 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tersebut mempunyai 5 orang kru termasuk tekong.Kesemua mereka disyaki warga Thailand berumur di antara 34 hingga 64 tahun,”tambah beliau.

Disamping itu jelas beliau, pemeriksaan awal juga mendapati tangki penyimpanan minyak vesel tersebut telah diubahsuai tanpa kebenaran dan pemeriksaan juga mendapati kesemua kru tiada visa permit bekerja serta dokumen pasport yang meragukan .

Penahanan dibuat bagi tujuan siasatan lanjut di bawah peruntukan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan kesalahan ubah suai tanpa kebenaran dan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana kegagalan mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Maritim Malaysia memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang maritim yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan perairan negara, katanya lagi.

“Usaha penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi memastikan undang-undang dipatuhi oleh semua pihak yang beroperasi di perairan negara,” tegas Erwan.

Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau insiden di laut boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09 – 778 0070.

 

VESEL PASIR PUTEH2

165 VESEL NELAYAN DIPERIKSA, SEBUAH DITAHAN DALAM OP MARDOF LAHAD DATU

LAHAD DATU, 18 JULAI – Sebanyak 165 Vesel Nelayan Tempatan (VNT) telah diperiksa manakala sebuah vesel nelayan ditahan dalam Operasi Bersepadu MARDOF Sabah Siri 4/2025 yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu bersama Jabatan Perikanan (DOF) Lahad Datu bermula 14 hingga 18 Julai lalu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, operasi selama lima hari itu memberi tumpuan terhadap pematuhan syarat lesen vesel, pengesahan identiti tekong dan kru serta pemeriksaan penggunaan alatan menangkap ikan yang sah di sekitar perairan Lahad Datu.

“Sebanyak 165 VNT telah diperiksa melibatkan 264 individu terdiri daripada 253 warga tempatan dan 11 warga asing. Satu tangkapan turut dilakukan melibatkan sebuah VNT yang dikesan melakukan dua kesalahan di perairan Madai, Kunak,” katanya.

Beliau menambah, vesel terbabit ditahan kerana melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 dan gagal memaklumkan pertukaran tekong seperti ditetapkan di bawah Enakmen Jabatan Perikanan Sabah (JPDS).

Operasi ini dijalankan secara berfasa iaitu melibatkan fasa pengenalan, operasi di laut, operasi di daratan serta sesi debrief.

Seramai 30 pegawai dan anggota dari Maritim Malaysia dan DOF terlibat dalam pelaksanaan operasi ini.

Dzulfikhar menegaskan, pihak Maritim Malaysia komited untuk terus memperhebat penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu demi memastikan sumber perikanan negara tidak terus dieksploitasi secara haram dan berterusan.

Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kejadian mencurigakan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui WhatsApp melalui talian 016-9305727 atau terus ke talian kecemasan 999 bagi maklum balas segera.

 

OP MARDOF LD
 
OP MARDOF LD3
 
OP MARDOF LD4

OPERASI MARDOF SABAH CATAT 11 TANGKAPAN, 546 PEMERIKSAAN

KOTA KINABALU, 18 JULAI – Pelaksanaan Operasi MARDOF Sabah 4/2025 berjaya mencatatkan 11 tangkapan serta 546 pemeriksaan sepanjang tempoh operasi bermula 14 hingga 18 Julai lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, pendekatan sinergi antara kedua-dua agensi ini bukan sekadar tertumpu kepada penguatkuasaan, tetapi turut melibatkan diplomasi komuniti serta pertukaran teknikal di lapangan bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan kecekapan operasi.

“Gabungan kepakaran operasi antara Maritim Malaysia dan DOF bukan sahaja memperkukuh pengoperasian aset di laut, malah memperluas impak operasi kepada komuniti nelayan dan pihak berkepentingan.”

“Ini jelas apabila berlaku lonjakan 50 peratus kes tangkapan berjaya dilakukan disamping peningkatan 40 peratus pemeriksaan dijalankan pada tahun ini berbanding tahun lalu,” jelas beliau.

Operasi pada kali ini telah diketuai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Komander Maritim Siti Khairunnisak Abd Aziz telah melibatkan enam Zon Maritim di Sabah dan Labuan serta pangkalan-pangkalan perikanan daerah seluruh negeri.

Sepanjang operasi dijalankan, pelbagai fasa dilaksanakan termasuk taklimat berkaitan Akta Perikanan 1985, perkongsian isu semasa, serta penglibatan bersama komuniti nelayan bagi meningkatkan pematuhan undang-undang perikanan.

Elemen kesiapsiagaan turut diselitkan melalui pendekatan Preventive SAR bagi menghadapi sebarang insiden kecemasan di laut.

Manakala untuk fasa operasi laut yang berlangsung antara 15 hingga 17 Julai, operasi telah menumpukan pemeriksaan ke atas aset Maritim Malaysia dan DOF, rondaan Sea Rider, aktiviti raiding serta pertukaran kepakaran teknikal antara anggota.

Pemeriksaan turut dijalankan ke atas jeti-jeti perikanan utama seluruh zon maritim serta kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap pelanggaran undang-undang.

Menariknya, operasi ini turut diserikan dengan penganjuran aktiviti sukan persahabatan antara anggota Maritim Malaysia dan DOF, simbolik kepada semangat kerjasama antara agensi yang semakin mantap.

Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat pelaksanaan operasi bersepadu seperti ini secara berkala demi memastikan keselamatan, pematuhan undang-undang serta kelestarian perairan Sabah dan W.P. Labuan sentiasa terpelihara.

OP MARDOF SBH4
 
OP MARDOF SBH
 
OP MARDOF SBH3
 
OP MARDOF SBH6

OP MARDOF UTARA BUKTI KESERIUSAN TANGANI AKTIVITI PERIKANAN HARAM

LANGKAWI, 17 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Negeri Kedah telah melaksanakan OP MARDOF Utara Bil. 1/2025 bermula dari 13 Jun sehingga 16 Julai 2025, meliputi kawasan perairan dan daratan sekitar Langkawi, Kedah dan Perlis.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha bersepadu kerajaan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perikanan, membanteras aktiviti perikanan haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU Fishing) serta meningkatkan kesedaran pematuhan Akta Perikanan 1985 di kalangan komuniti nelayan tempatan dan warga asing.

“OP MARDOF kali ini melibatkan operasi dua fasa iaitu fasa laut yang disertai oleh 78 pegawai dan anggota Maritim Malaysia dan 29 anggota daripada DOF. Manakala fasa darat pula melibatkan 30 anggota daripada Maritim Malaysia dan 26 anggota daripada DOF” tambahnya.

Romli turut berkata, sepanjang tempoh operasi ini, pelbagai tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan iaitu 278 pemeriksaan ke atas vesel dan premis dan 141 penggeledahan dilakukan. Operasi ini membawa kepada beberapa rampasan bernilai RM1 juta dan tangkapan dianggarkan bernilai RM6.7 Juta.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk penyeludupan dadah, pengoperasian vesel tanpa lesen sah, pelanggaran syarat lesen, penggunaan peralatan yang dilarang serta penglibatan warga asing tanpa dokumen yang sah.

Antara kekangan utama sepanjang operasi termasuklah keadaan cuaca yang tidak menentu yang menghadkan keberadaan aset laut di lokasi panas, kekurangan aset dan keperluan logistik bagi menampung keluasan kawasan operasi, sistem komunikasi yang perlu ditambah baik dan taktik licik serta pergerakan pantas pihak yang cuba melarikan diri.

Maritim Malaysia menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang di laut tidak akan berkompromi, dan komitmen bersama dengan agensi seperti DOF akan terus diperkukuh bagi menjamin kelestarian sumber perikanan serta keselamatan perairan negara.

Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berkala dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan segala bentuk aktiviti penangkapan ikan secara haram dapat dibanteras dengan lebih efektif.

Maritim Malaysia turut menyeru kerjasama komuniti maritim untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang mencurigakan bagi memastikan perairan negara kekal selamat dan berdaulat.

OP MARDOF UTARA3
 
OP MARDOF UTARA2
 
OP MARDOF UTARA5
 
OP MARDOF UTARA4

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON