22
Wed, Apr

DUA BOT PENUMPANG DITAHAN GAGAL PATUHI SYARAT LESEN

PELABUHAN KLANG, 26 MEI – Dua buah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor semalam selepas didapati gagal mematuhi syarat lesen, termasuk tidak menamakan nakhoda dalam dokumen sah.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan dalam dua siri pemeriksaan berasingan oleh bot ronda maritim ketika menjalankan rutin operasi penguatkuasaan di perairan negeri ini.

Menurutnya lagi, penahanan pertama dilakukan pada pukul 6.08 petang melibatkan sebuah bot yang sedang bergerak dari perairan Pelabuhan Barat menuju ke Jeti Royal Selangor Yacht Club.

“Bot tersebut ditahan pada kedudukan 0.3 batu nautika selatan Tanjung Harapan. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 37 dan 39 tahun berada di atas bot berkenaan dan salah seorang daripadanya bertindak sebagai nakhoda,” jelas Abdul Muhaimin.

Tambah beliau, penahanan kedua dilakukan kira-kira 14 minit kemudian, iaitu pada pukul 6.22 petang, membabitkan sebuah lagi bot penumpang yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Barat dari perairan Pulau Angsa.

“Bot tersebut ditahan berhampiran lokasi penahanan pertama. Pemeriksaan awal mendapati bot dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga bertindak sebagai nakhoda,” ujarnya.

Abdul Muhaimin turut memaklumkan, semakan terhadap lesen kedua-dua bot mendapati nama individu yang bertindak sebagai nakhoda tidak dinyatakan dalam lesen sah yang dikeluarkan, dipercayai melanggar peruntukan undang-undang.

“Kedua-dua bot telah diiring masuk ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda serta tidak mematuhi syarat lesen yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan agar komuniti maritim lebih peka dan bertanggungjawab terhadap pematuhan lesen operasi bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuai atau sengaja melanggar peraturan laut. Lesen bot bukan sekadar syarat, tetapi tanggungjawab demi keselamatan semua pihak,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kejadian kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-3176 0627 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

BOT PENUMPANG2
 
BOT PENUMPANG3
 
BOT PENUMPANG4

 

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON