PORT DICKSON, 30 JANUARI – Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (BSJM) dengan kerjasama Bahagian Undang-Undang (BUU) Maritim Malaysia telah menganjurkan Bengkel Moot Court Trial Siri 2/2026 bertempat di Avillion, Port Dickson, dari 26 hingga 30 Januari 2026.
Penganjuran bengkel merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia dalam memperkasa kecekapan dan profesionalisme Pegawai Penguat Kuasa, khususnya dalam aspek pengendalian kes siasatan jenayah maritim serta pelaksanaan tanggungjawab sebagai saksi di mahkamah.
Bengkel menampilkan barisan penceramah berpengalaman dari Jabatan Peguam Negara merangkumi Timbalan Pendakwa Raya iaitu Puan Zilfinaz binti Abbas, Tuan Muhamad Safuan bin Azhar dan Tuan Christopher Enteri anak Mawan. Para penceramah telah berkongsi kepakaran berkaitan prosedur perbicaraan, pengurusan keterangan, etika saksi serta teknik penyampaian keterangan yang berkesan di mahkamah.
26 orang peserta telah menyertai bengkel ini, melibatkan Pegawai Penyiasat dan Pegawai Penangkap dari Maritim Negeri Johor, Pahang, Terengganu dan Sabah, serta pegawai-pegawai BSJM. Penyertaan rentas negeri dan bahagian ini bertujuan memperkukuh keseragaman kefahaman serta penyelarasan pelaksanaan siasatan di peringkat lapangan.
Antara pengisian utama bengkel termasuk pendedahan terhadap prosedur prosiding mahkamah, kepentingan rantaian bukti (chain of custody), serta kaedah penyediaan dan penyampaian pernyataan saksi yang tepat, konsisten dan berintegriti. Penekanan turut diberikan kepada aspek pematuhan undang-undang dan tatacara yang betul bagi memastikan kes yang dikendalikan dapat dibuktikan secara kukuh di mahkamah.
Selain sesi teori, peserta turut menjalani latihan simulasi perbicaraan (moot court) secara menyeluruh bagi membiasakan diri dengan suasana sebenar prosiding mahkamah. Latihan praktikal ini berupaya meningkatkan tahap keyakinan, kefahaman peranan serta kesiapsiagaan pegawai ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan sebenar.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
































.svg.png)

