26
Fri, Apr

CARILAMAT | VESEL BOS AZLINA DITENGGELAMI AIR DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 15 Februari – Zon Maritim Bintulu telah menerima isyarat distress dari Vesel Bos Azlina di posisi sembilan batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, Bintulu semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Iszuadi bin Muhamad Hassan berkata, maklumat awal yang diterima aset maritim BOT KILAT 44 memaklumkan, vesel terbabit dilaporkan telah separuh ditenggelami air dan terdapat lapan kru termasuk master kesemuanya adalah lelaki warga Indonesia berumur dalam lingkungan 31 hingga 48 tahun.

Semasa BOT KILAT 44 dalam rutin rondaan di sekitar perairan Bintulu kira-kira pada pukul 11.56 pagi, aset Maritim itu telah menerima isyarat kecemasan melalui radio very high frequency (VHF) berkenaan insiden Vesel Bos Azlina yang hampir karam.

BOT KILAT 44 terus melaporkan insiden itu kepada Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Bintulu memaklumkan kejadian itu kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching.

Seterusnya BOT KILAT 44 bergegas ke lokasi untuk memberi bantuan kepada vesel tersebut sejurus laporan dibuat.

Menurut kenyataan master vessel terlibat, beliau telah menghubungi teksi air (Kuda Laut 1) untuk menyelamatkan mereka.

Kesemua kru vesel selamat dikeluarkan pada sekitar pukul 12.30 tengah hari dengan bantuan teksi air dan dipantau oleh Maritim Malaysia.

Keadaan tidak dapat dikawal setelah hampir kira-kira satu jam, vessel itu telah ditenggelami air sepenuhnya.

Punca kejadian masih lagi disiasat manakala ejen vesel telah dihubungi dan akan mengambil tindakan bagi membantu mangsa.

Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera.

 

VESEL TENGGELAM 2   VESEL TENGGELAM 3   VESEL TENGGELAM 4

HUT 19 | 19 TAHUN LAKSANA TANGGUNGJAWAB JAGA KESELAMATAN PERAIRAN NEGARA

KUANTAN, 15 Februari – Maritim Malaysia telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara sejak ia ditubuhkan 19 tahun yang lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah berkata, dengan adanya Maritim Malaysia, empat sektor penyumbang ekonomi maritim iaitu perikanan, pelancongan, perkapalan dan hidrokarbon dapat dijalankan dengan selamat.

Katanya lagi, melihat kepada kepentingan berkenaan, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyalurkan peruntukan besar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan Maritim Malaysia mempunyai aset baharu yang berkeupayaan tinggi selain menyelenggara aset-aset sedia ada agar Agensi ini dapat melaksanakan pengawasan dan operasi di Zon Maritim Malaysia dengan sempurna.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke 19 (HUT19) Maritim Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN Dr. Gafar Abu Bakar serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

Mengulas lanjut tentang aset baharu Maritim Malaysia, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar memaklumkan selepas Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) yang telah diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 2 Januari lalu, KDN baru-baru ini telah mengeluarkan Surat Setuju Terima bagi perolehan empat buah helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland 189 untuk Agensi ini mempertingkatkan lagi pemantauan udara di kawasan sempadan negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

Selain pertambahan aset, Maritim Malaysia turut diminta untuk meningkatkan pelaksanaan operasi bersepadu bersama agensi yang berkaitan bagi memastikan perairan negara kekal selamat dari pelbagai ancaman jenayah.

Ini bertepatan dengan arahan yang dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini agar semua pasukan keselamatan negara termasuk Maritim Malaysia dapat berganding bahu membanteras aktiviti penyeludupan yang mengakibatkan negara mengalami kerugian puluhan bilion ringgit.

Untuk rekod pada tahun 2023, lebih 181,000 pemeriksaan, 43,000 penggeledahan dan 1,200 jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan pihak Agensi ini di kawasan perairan negara. Manakala nilai rampasan yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2023 adalah kira-kira RM101.9 Juta.

Bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), Maritim Malaysia telah melaksanakan sebanyak 237 operasi melibatkan pelbagai insiden di laut pada tahun yang sama. Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,369 mangsa telah berjaya diselamatkan oleh agensi ini.

Bersempena HUT19, tema “Maritim Perkasa Melestarikan Madani” telah diangkat bagi mencerminkan tekad, komitmen dan keseriusan Agensi ini dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan Negara seiring Enam Nilai Teras yang terkandung di dalam Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Kemeriahan sambutan pada tahun ini telah diserikan dengan Majlis Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Nasyid, Program Bacaan Yassin dan Doa Selamat serta Penyampaian Anugerah Khas Maritim Malaysia (AKMM) dan penyampaian Reben Penghargaan Khas Ketua Pengarah (RKP) kepada tiga warganya yang telah terpilih.

 

PERBARISAN HUT   PERBARISAN HUT 3   PERBARISAN HUT 5

BERSAUH SECARA HARAM DAN MENCEROBOH TAMAN LAUT, BOT TUNDA BERSAMA TONGKANG DITAHAN

KUANTAN, 14 Februari – Sebuah bot tunda bersama tongkang ditahan Maritim Negeri Pahang kerana bersauh secara haram dan menceroboh taman laut di kedudukan lebih kurang 0.2 batu nautika barat Tanjung Duata, perairan Pulau Tioman semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP MAKMUR dan OP TIRIS di perairan Pulau Tioman telah mengesan sebuah bot tunda dan tongkang dengan muatan arang batu anggaran lebih kurang 7.4 tan metrik sedang bersauh dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda dan tongkang itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan menceroboh kawasan taman laut tanpa kebenaran.

Bot tunda dan tongkang itu dikendalikan 10 kru termasuk nakhoda warga Indonesia dalam lingkungan umur 19 hingga 51 tahun ditahan kerana memiliki dokumen bot yang meragukan.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen melapor ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia.

Kes juga disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh di kawasan taman laut oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera.

 

BOT TUNDA KUANTAN   BOT TUNDA KUANTAN 3   BOT TUNDA KUANTAN 4

TIGA NELAYAN MYANMAR DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KUALA KURAU, 14 Februari – Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda bersama tiga nelayan warga Myanmar di kedudukan 9.9 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang Perak petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata bot itu ditahan semasa pasukan operasi sedang melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.

Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga orang nelayan warga Myanmar termasuk tekong berusia antara 33 hingga 40 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di bot itu.

Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing yang sah.

Sebarang aduan dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

KUALA KURAU MYANMAR 2
 
KUALA KURAU MYANMAR 3

BOT NELAYAN LANGGAR SYARAT LESEN, GUNA KRU ASING TANPA PERMIT DITAHAN

PELABUHAN KLANG, 14 Februari – Maritim Negeri Selangor menahan dua bot nelayan tempatan kelas B dan B1 di sekitar perairan Tanjung Karang, pada Isnin, 12 Februari lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot nelayan itu ditahan oleh KM BAGAN DATUK menerusi rondaan OP EHSAN, OP MURNI danOPTIRIS 3.0 yang sedang melakukan aktiviti perikanan di 9.2 batu nautika barat daya Sungai Burong.

Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot itu dikendalikan oleh lapan kru termasuk tekong warga Indonesia berusia dalam lingkungan umur di antara 25 hingga 52 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Turut ditemukan ialah mata pukat di bahagian keroncong yang kurang daripada 38 mililiter, menggunakan alat perhubungan elektronik tanpa kelulusan dan disyaki mengubahsuai bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesemua warga asing dan bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing dan memasang alat perhubungan elektronik di atas vessel menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia serta kesalahan mengubah suai tangki tambahan yang bertujuan untuk menyimpan bahan api untuk bot dan rumah kemudi selain mengajikan kru warga asing tanpa permit sah di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Maritim Negeri Selangor sentiasa komited dalam meneruskan operasi serta rondaan di sepanjang perairan negeri itu bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undangyang telah ditetapkan.

Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai bolehmenyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627atauMERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera.

 

BOT LANGGAR SEL 2   BOT LANGGAR SEL 3   BOT LANGGAR SEL 4

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON