KUALA KURAU, 7 APRIL – Zon Maritim Kuala Kurau selepas disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menunda terlalu hampir dengan kawasan pantai, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan melakukan aktiviti menunda pada jarak kira-kira 7.6 batu nautika dari pantai, iaitu tidak mematuhi had minimum 12 batu nautika yang ditetapkan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Tindakan ini jelas melanggar syarat lesen yang dikeluarkan dan boleh menjejaskan ekosistem serta keselamatan perairan,” katanya.
Menurut beliau, bot tersebut ditahan di kedudukan kira-kira 7.6 batu nautika barat daya Tanjung Piandang hasil rondaan operasi penguatkuasaan rutin di perairan berkenaan.
“Seramai lima kru lelaki warga tempatan yang berada di atas bot itu turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” tambah beliau.
Bot bersama semua kru kemudiannya diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang perikanan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan sumber laut negara kekal terpelihara.












