17
Sat, Oct

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN BINTULU, DISYAKI TANGKAP IKAN SECARA HARAM

BINTULU, 20 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Zon Maritim Bintulu menahan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) Vietnam yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia, kira-kira 95 batu nautika di barat laut Tanjung Kidurong pada 18 Julai lalu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 12.50 tengah hari hasil maklumat risikan dan tindakan pantas aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op TIRIS 4.0, Op PERMAI 01/2019 dan Op NAGA.

Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh tujuh kru warga Vietnam termasuk nakhoda, berusia antara 30 hingga 52 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati vesel tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Menurut beliau, jika disabitkan kesalahan, pemilik vesel boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, manakala setiap kru boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.

Vesel bersama tujuh kru terbabit kemudian ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Muhammad Suffian berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pencerobohan dan perikanan haram yang mengancam kelestarian sumber marin serta kedaulatan Zon Maritim Malaysia.

Beliau turut menggesa komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta segera menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN 15 PATI KELUAR NEGARA MELALUI LALUAN TIDAK DIWARTAKAN

PORT DICKSON, 20 Julai – Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 15 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), termasuk seorang tekong, melalui laluan laut yang tidak diwartakan dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Port Dickson, malam semalam.

Timbalan Pengarah Operasi yang menjalankan tugas Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi bin Hassan berkata, hasil maklumat pengesanan radar daripada Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) Lumut membawa kepada kejayaan Maritim Malaysia menahan kegiatan penyeludupan migran yang dikesan masih aktif menggunakan laluan laut bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.

Tambahnya, kira-kira jam 9.00 malam pada 19 Julai, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni dan Op Tiris mengesan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 10 batu nautika ke barat Tanjung Tuan, Negeri Sembilan.

Bot berkenaan diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan, namun tekong bertindak memecut laju dan cuba meloloskan diri daripada diperiksa. Anggota Maritim Malaysia kemudian melaksanakan tindakan pengejaran sebelum berjaya memintas dan menahan bot tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa seramai 15 individu berusia antara 20 hingga 47 tahun, terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita warganegara Indonesia serta tiga lelaki warganegara Bangladesh.

Semakan awal juga mendapati lima individu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan, manakala 10 lagi memiliki pasport tetapi dipercayai tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia sebelum cuba keluar dari negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah menggunakan bot pancung untuk membawa keluar PATI melalui laluan laut yang sukar dikesan bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa. Kesemua PATI bersama seorang tekong serta sebuah bot pancung telah ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan migran dan akan terus memperhebat rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

MEDEVAC : MARITIM MALAYSIA SELAMATKAN PELANCONG DENMARK DARI PULAU TIOMAN

KUANTAN, 17 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan sekali lagi membuktikan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam menjalankan misi pemindahan kecemasan atau MEDEVAC di perairan negara dengan mengatur gerakkan aset bot PERKASA 1246 bagi membantu memindahkan seorang pelancong wanita warga Denmark yang berusia 41 tahun dari Pulau Tioman ke Hospital Mersing, Johor, baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman pada jam 6.05 petang yang memohon bantuan segera untuk membawa pesakit tersebut ke Hospital Mersing selepas beliau disyaki mengalami masalah twisted right ovarian cyst atau acute appendicitis.

Beliau menjelaskan, sejurus menerima maklumat tersebut, bot PERKASA 1246 segera diatur gerak ke lokasi dan tiba di Jeti Pulau Tioman pada jam 8.00 malam bagi mengambil pesakit yang turut diiringi oleh seorang jururawat, sebelum berlepas menuju ke Jeti Pangkalan Maritim Teluk Gading (PMTG).

Pesakit berkenaan berjaya dibawa tiba dengan selamat di Jeti PMTG pada jam 9.40 malam dan seterusnya diserahkan kepada pasukan ambulans untuk dibawa ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan turut menegaskan bahawa kecekapan dan kepantasan tindakan anggota Maritim Malaysia sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan keselamatan nyawa terjamin, tanpa mengira warganegara mangsa yang terlibat. Beliau menambah, Maritim Malaysia sentiasa bersedia sepanjang masa untuk melindungi dan membantu sesiapa sahaja yang berada dalam kecemasan di laut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

MARITIM MALAYSIA SELAMATKAN KRU KAPAL LNG DALAM OPERASI MEDEVAC

BINTULU, 16 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu berjaya melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) terhadap seorang kru kapal dagang gas asli cecair (Liquefied Natural Gas– LNG) yang mengalami simptom apendisitis pada kedudukan kira-kira 15 batu nautika barat laut Tanjung Kidurong, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching menerima emel daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya berhubung permohonan bantuan kecemasan bagi memindahkan seorang kru kapal yang memerlukan rawatan perubatan segera.

Susulan itu, aset Maritim Malaysia, KILAT 44, yang sedang melaksanakan rondaan operasi telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi MEDEVAC dengan segera.

Sebaik tiba di lokasi, anggota Maritim Malaysia telah memberikan bantuan awal kecemasan sebelum mangsa dipindahkan ke bot ronda Maritim Malaysia untuk dibawa ke jeti berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Mangsa dikenali sebagai John Michael, 28 tahun, warganegara Filipina, sebelum diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pelabuhan Bintulu dan seterusnya dibawa menaiki ambulans ke Hospital Kemena untuk menerima rawatan.

Menurut beliau, kejayaan operasi itu membuktikan kesiapsiagaan aset dan anggota Maritim Malaysia dalam memberikan tindak balas pantas terhadap sebarang kecemasan di laut, khususnya yang membabitkan keselamatan nyawa komuniti maritim.

Beliau turut menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan.

Maritim Malaysia akan terus komited memperkukuh keupayaan operasi mencari dan menyelamat serta bantuan kecemasan maritim bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti maritim sentiasa terpelihara.

PENGUATKUASAAN BERTERUSAN: CUBAAN SELUDUP PETROL BERSUBSIDI DIPATAHKAN

SANDAKAN, 17 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak petrol bersubsidi selepas menahan sebuah bot dalam satu operasi di perairan Sungai Sabine, petang semalam.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy bin Hussain berkata, kejayaan itu adalah hasil rondaan dan pemantauan berterusan oleh Bot Peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0. Bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.05 batu nautika barat laut Sungai Sabine sebelum dipintas untuk tujuan pemeriksaan.

"Semasa pasukan operasi menghampiri bot tersebut, dua lelaki yang dipercayai merupakan kru bot bertindak terjun ke kawasan bakau sebelum melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelakkan diri daripada ditahan.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemukan 18 jerican yang disyaki mengandungi minyak petrol bersubsidi dengan anggaran keseluruhan sebanyak 360 liter. Turut ditemukan ialah dua enjin sangkut Yamaha masing-masing berkuasa 40 kuasa kuda dan 15 kuasa kuda," katanya.

Menurut beliau, bot bersama muatan tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah. Selain itu, bot berkenaan turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana menyalahgunakan lesen dengan membawa barangan kargo.

Kesemua barang rampasan bersama bot dianggarkan bernilai RM23,300.00 dan telah dibawa ke Jeti IPMZ Sandakan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Suhairy berkata, cubaan sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan pada waktu siang membuktikan mereka sentiasa mencari peluang untuk mengaburi pihak berkuasa. Bagaimanapun, Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan tanpa mengira masa bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta menyebabkan ketirisan barang kawalan bersubsidi.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera," katanya.

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON