27
Sat, Apr

CUBAAN SELUDUP DADAH 1.32 JUTA DIPATAHKAN MARITIM MALAYSIA .

PELABUHAN KLANG, 1 Februari – Maritim Negeri Selangor berjaya  merampas dadah yang disyaki syabu untuk diseludup keluar di jeti nelayan Sekinchan lebih kurang jam 8.30 malam, pada Selasa, 30 Januari lalu.

Ini merupakan satu kejayaan besar dalam membanteras aktiviti penyeludupan berikutan risikan dan intipan berterusan oleh Unit Risikan Maritim Negeri Selangor terhadap aktiviti penyeludupan dadah di perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, Unit Risikan dan Tim Geledah KM BAGAN DATUK yang sedang melaksanakan OP EHSAN / OP TIRIS 3.0 / OP MURNI telah memeriksa sebuah bot nelayan tempatan yang berada di jeti nelayan Sekinchan.

Semasa pemeriksaan dilakukan tiga lelaki bertindak nekad terjun ke dalam air dan melarikan diri, manakala seorang lelaki warga Indonesia berumur 44 tahun berjaya ditahan serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diminta penguat kuasa.

Hasil pemeriksaan telah membawa kepada penemuan dua guni yang disimpan di dalam petak simpanan ikan di atas bot tersebut yang mendapati kedua-dua guni itu berisi 38 bungkusan teh cina yang disyaki dadah jenis syabu.

Warga asing, bot dan dua guni itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah dianggarkan bernilai RM 1.32 juta, kes disiasat di bawah Akta Dadah berbahaya 1952 dan di akta imigresen 1959/63.

Maritim Negeri Selangor akan terus mempergiatkan lagi pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras. Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2024 02 01 at 11.17.20 AM   WhatsApp Image 2024 02 01 at 11.35.40 AM   WhatsApp Image 2024 02 01 at 11.35.39 AM   WhatsApp Image 2024 02 01 at 11.47.22 AM

CUBAAN SELUDUP BENIH KERANG KE NEGARA JIRAN BERJAYA DIPATAHKAN

KUALA PERLIS, 31 Januari – Zon Maritim Kuala Perlis berjaya menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 0.63 batu nautika dari selatan Sungai Baru, Perlis dan merampas sebuah sangkar siput di kedudukan 0.54 batu nautika dari barat daya pesisir pantai Kurung Tengar, Perlis pada Isnin.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain, bot ronda BENTENG 7 Maritim Malaysia tiba di lokasi tangkapan ketika sedang melakukan rondaan OP AMAN dan OP TIRIS 3.0 di sekitar perairan Perlis.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot yang berpengkalan di Kuala Perlis itu melakukan aktiviti menangguk benih kerang secara haram dan cuba menyeludupnya ke negara jiran.

Bot itu dikemudikan oleh seorang tekong dan dua awak-awak kesemuanya warga tempatan dalam lingkungan umur di antara 33 hingga 50 tahun.

Dalam pemeriksaan lanjut, pasukan operasi turut merampas sebuah sangkar siput yang ditinggalkan berhampiran lokasi tangkapan.

Tekong, awak-awak, bot, hasil tangkapan benih kerang dan sebuah sangkar siput yang dianggarkan bernilai lebih RM 31 ribu itu dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (a) kerana mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel di perairan negara tanpa lesen yang sah dan Peraturan 4 (1) (Peraturan-peraturan Perikanan Pemuliharaan Kultur Kerang 2002) iaitu larangan mengambil benih kerang atau kerang dewasa dari habitat semula jadi atau kultur tanpa kebenaran.

Manakala kes rampasan sangkar siput disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 11 (3) (c) iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan sebelum lesen dikeluarkan.

Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh melaporkannya ke MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 / 04-9851162 untuk maklum balas segera.

 

SELUDUP KERANG   SELUDUP KERANG 2   SELUDUP KERANG 3

 

 

MEDEVAC | MARITIM MALAYSIA BANTU BAWA PESAKIT ASMA KE HOSPITAL ROMPIN

KUANTAN, 30 Januari – Dua pesakit asma kritikal memerlukan rawatan segera di Hospital Rompin dibawa dengan bantuan aset laut Maritim Malaysia Ahad lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, misi bantuan 'Medical Evacuation' (MEDEVAC) telah dilaksanakan oleh KM TATAU setelah menerima panggilan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Kedua-dua pesakit itu, Muhd Fawzy bin Raili, 44, dan Rubiah binti Atan, 68 yang menghidap asma kronik mengalami sesak nafas kerana difahamkan organ paru-paru dan saluran pernafasan terganggu sehingga perlu segera dikejarkan ke Hospital Rompin.

Kedua-dua pesakit dibawa dengan KM TATAU dari Jeti Marina Tekek, Pulau Tioman ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading diiringi pengamal perubatan sebelum dipindahkan ke ambulan untuk mendapat rawatan kecemasan di Hospital Rompin.

Maritim Malaysia komited membantu komuniti maritim dan sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2024 01 30 at 3.11.20 PM   WhatsApp Image 2024 01 30 at 3.11.20 PM 2   WhatsApp Image 2024 01 30 at 3.11.19 PM 1

KETUA PENGARAH MARITIM MALAYSIA MENGIRINGI KEBERANGKATAN BALIK YDPA KE-16

SEPANG, 30 Januari – Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menamatkan penggal pemerintahan sebagai Ketua Utama Negara hari ini.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Hamid bin Haji Mohd Amin telah mengiringi Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Kompleks Bunga Raya, KLIA Sepang pagi tadi.

Kehadiran Laksamana Maritim Datuk Hamid adalah bagi mewakili Maritim Malaysia, bersama isteri beliau Datuk Hajah Sapiah binti Dato’ Mohd Nor yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah.

Antara yang hadir mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Merafak Sembah Menjunjung Kasih dan sembah takzim daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Tuanku Sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

Daulat Tuanku!

YDPA BALIK 4   YDPA BALIK 2   YDPA BALIK 5   YDPA BALIK 6

143 UNIT BUBU NAGA DIRAMPAS DI PERAIRAN KERIAN DAN LARUT MATANG

KUALA KURAU, 29 Januari – Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas 143 unit bubu naga di Perairan Kerian dan Larut Matang Perak pada petang semalam dan kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, kesemua bubu naga itu dirampas oleh pasukan operasi Maritim Malaysia ketika sedang melakukan rondaan di perairan Kerian dan Larut Matang.

Kesemua bubu naga itu dikesan melalui penemuan penanda botol dan bendera yang mencurigakan sebelum dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan di lokasi pertama pada kedudukan 5.0 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar pada petang semalam menemukan sebanyak 80 unit bubu naga manakala 63 unit lagi ditemukan kelmarin pada kedudukan 6.14 batu nautika barat Pulau Terong.

Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai lebih lapan ribu ringgit dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa lesen.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

 

BUBU NAGA KURAU 4   BUBU NAGA KURAU 3   BUBU NAGA KURAU

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON